Success
Stories

Sudah Jatuh Ditimpa Tangga Pula

Selepas terlibat dalam kemalangan kereta, Encik Ahmad* bukan sahaja hilang pendengaran malah turut telah hilang pekerjaan. Beliau pernah bekerja sebangai pegawai keselamatan untuk 15 tahun yang lalu di sebuah agensi kerajaan tempatan dengan gaji sebanyak RM2,600 sebulan. Jumlah itu tidak cukup untuk menampung perbelanjaan keluarganya. Disebabkan kemalangan itu, beliau terpaksa melepaskan jawatan tersebut kerana deria pendengarannya yang hilang telah memberi impak besar terhadap tugas sebagai pengawal.

Encik Ahmad berasa sangat kecewa apabila masalah ini berlaku. Beliau mulai bimbang memikirkan wang perbelanjaan bulanan untuk keperluan harian. Pinjaman perumahan yang perlu dijelaskan setiap bulan bernilai RM1,000. Selain itu, beliau juga mempunyai komitmen bulanan iaitu sewa beli dan pinjaman peribadi. Encik Ahmad berusia 48 tahun dan mempunyai 2 orang anak kecil yang masih bersekolah dan isteri yang berada di bawah tanggungannya. Hal ini membuatkan beliau sangat runsing memikirkan tentang jaminan kewangan untuk masa hadapan. Dengan berbekalkan pendidikan dan pengalaman yang sangat terhad, Encik Ahmad sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Tambahan pula masalah pendengaran yang dihadapi itu menyukarkan lagi tugas beliau sebagai seorang pekerja kolar biru.

Dalam kebingungan Encik Ahmad menemui bekas majikan dengan harapan mereka dapat membantu meringankan beban beliau. Bekas majikan Encik Ahmad menasihatkannya mendapatkan surat sokongan rasmi daripada hospital kerajaan untuk mengesahkan ketidakupayaan beliau. Dengan bukti itu, bekas majikannya dapat memohon kepada PERKESO untuk mendapatkan wang bantuan pencen ilat sebanyak RM 1,400 sebulan. Beliau layak menerimanya kerana hilang daya pendengaran akibat kemalangan.

Wang pencen itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan kebimbangan Encik Ahmad. Namun, beliau masih tidak yakin terhadap kemampuan beliau untuk membayar pinjaman bulanan kepada pihak bank. Beliau berkongsi masalah ini dengan adiknya. Adik Encik Ahmad setuju  menghulurkan bantuan sebanyak RM200 setiap bulan untuk membayar tunggakan beliau. Adiknya juga menyarankan agar beliau mendapatkan bantuan daripada AKPK untuk khidmat nasihat tentang cara menangani masalah yang sedang beliau hadapi.

AKPK mengatasi isu tersebut dengan melihat terlebih dahulu baki pinjaman perumahan Encik Ahmad. Beliau dinasihatkan untuk mengeluarkan kesemua wang simpanan daripada Kumpulan wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 2 untuk membayar pinjaman perumahan beliau sepenuhnya. Encik Ahmad baru menyedari bahawa beliau boleh menggunakan wang KWSP untuk tujuan itu. Encik Ahmad sangat gembira apabila mendapat tahu bayaran untuk rumah itu berjaya dilunaskan. Berkenaan komitmen sewa beli bulanan, RM700 adalah terlalu tinggi untuk beliau tanggung. Tetapi dengan bantuan AKPK, tempoh pembayaran semula pinjaman dapat dipanjangkan dan ini membolehkan beliau membayar separuh daripada jumlah asal.

Dengan kedua-dua masalah ansuran bulanan utama berjaya diatasi, AKPK beralih pula untuk membentuk semula pembayaran balik pinjaman peribadi beliau daripada RM350 sebulan kepada RM200 sebulan. Hal ini kerana menurut undang-undang, pencen ilat tidak boleh digunakan untuk membuat pembayaran semula. Dengan itu, perundingan semula dari RM350 kepada RM200 membolehkan adik Encik Ahmad membuat pembayaran semula bagi pihak beliau. Kaunselor AKPK berjaya menyelesaikan keperitan hidup Encik Ahmad dan dapat bekerjasama dalam menyampaikan maklumat yang diperlukan walaupun menggunakan bahasa isyarat untuk membantu beliau memahami keadaan sebenar. Dengan bantuan AKPK, kini Encik Ahmad boleh menarik nafas lega dan dapat meneruskan hidup tanpa dibelenggu masalah kewangan lagi.