Biaya Rumah

Pasaran untuk pinjaman perumahan adalah amat kompetitif dan institusi kewangan kini menawarkan pelbagai jenis pinjaman untuk menarik pelanggan. Ada juga pinjaman yang menawarkan hadiah-hadiah percuma untuk dipakejkan bersama pinjaman perumahan.

Buatlah perbandingan dan dapatkan sebanyak mungkin maklumat seperti kadar faedah yang ditawarkan sebelum menentukan pinjaman yang sesuai bagi anda.

Seperti produk pinjaman lain, anda boleh memilih antara pinjaman perumahan konvensional atau perbankan Islam.

Pinjaman perumahan merupakan suatu komitmen kewangan yang sangat besar serta memakan masa yang panjang untuk dijelaskan. Pertimbangkan dengan teliti semua aspek pinjaman sebelum membuat sebarang keputusan. Antara faktor pertimbangan:

  • Adakahpinjaman tersebut untuk membeli rumah yang telah siap atau yang masih dalambinaan? Adakah anda akan membeli tanah untuk membina rumah?
  • Berapakah nilai rumah atau tanah yang ingin anda beli? Berapakah ansuran yang mampu anda bayar setiap bulan, bergantung kepada aliran tunai bulanan anda?
  • Adakah anda mempunyai cukup wang untuk membuat bayaran pendahuluan dan aliran tunai yang memadai untuk bayaran ansuran seterusnya?
  • Apakah fee atau yuran berkaitan atau kos lain yang perlu dibayar? Contohnya duti setem dan yuran guaman, pemprosesan atau pembayaran.
  • Adakah kadar faedah tetap atau kadar faedah berubah selaras dengan perubahan pada kadar asas (BR – Base Rates)?
  • Adakah bayaran pinjaman anda fleksibel? Terdapat beberapa jenis skim pembayaran fleksibel yang ditawarkan. Buat semakan.
  • Adakah dikenakan apa-apa penalti sekiranya anda membuat bayaran balik keseluruhan pinjaman lebih awal daripada tempoh yang dipersetujui? Institusi kewangan biasanya mengenakan penalti sebegini kerana mereka telah menawarkan pakej yang menarik bagi pinjaman perumahan anda.
  • Adakah kadar faedah yang tetap ataupun yang berubah-ubah lebih baik bagi pinjaman anda?

Dengan kadar pinjaman tetap, faedahnya tetap dan anda sedia maklum tentang jumlah ansuran yang perlu dibayar. Manakala bagi kadar yang berubahubah, faedahnya berubah mengikut perubahan pada kadar pemberian pinjaman asas (BLR).

Jika kadar tersebut meningkat, maka kadar faedah yang dikenakan akan meningkat dan begitu juga dengan bayaran ansuran bulanan anda.

Bagaimanapun, sekiranya kadar pemberian pinjaman asas (BLR) menurun, maka anda akan menikmati manfaatnya kerana bayaran bulanan anda juga akan menurun. 

Ada juga kadar pinjaman faedah yang berubah-ubah tetapi bayaran ansuran bulanannya adalah tetap. Sekiranya berlaku perubahan pada kadar faedah, maka yang berubah hanyalah tempoh masa pembayaran pinjaman sama ada mengurang ataupun bertambah.

Pinjaman perumahan boleh dibayar melalui cara-cara berikut:

  1. Skim bayaran berperingkat:
    Kaedah ini membolehkan anda mengurangkan beban pembayaran pada peringkat awal pinjaman. Bayaran ansuran meningkat apabila kemampuan peminjam meningkat.
    Kaedah ini berguna apabila anda baru sahaja mendapatkan pekerjaan dan gaji anda dijangka meningkat dari tahun ke tahun.
  2. Pembayaran awal pinjaman:
    Anda boleh memendekkan tempoh pinjaman dengan membuat pembayaran awal bagi sebahagian daripada baki pinjaman melalui lebihan wang tabungan atau bonus tahunan.
    Jika dibuat pada tahun-tahun awal pinjaman, anda dapat mengurangkan caj faedah yang dikenakan. Walau bagaimanapun, sesetengah institusi kewanganmenghadkan jumlah yang boleh dibuat bagi pembayaran awal.

Jumlah pokok sesuatu pinjaman akan berkurangan setiap kali bayaran ansuran dibuat. Sebagai peminjam, anda hendaklah:

  • Membaca dan memahami keseluruhan terma dan syarat pinjaman.
  • Sentiasa mematuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan.
  • Bertanya mengenai semua aspek pinjaman sehingga anda berpuas hati.
  • Membuat bayaran ansuran mengikut jadual.
  • Pastikan anda mendapat maklumat yang tepat mengenai pinjaman anda.

Sepertimana pinjaman yang lain, sekiranya anda gagal membuat bayaran, institusi kewangan berkenaan berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap anda agar mendapatkan semula pinjaman berkenaan.

Courtesy of Berita Harian