Succes Stories

Tiada siapa yang menyangka bahawa Encik Herman, 40 tahun (bukan nama sebenar) bakal mengalami masalah hutang yang teruk. Kemewahan yang dikecapi beliau adalah hasil daripada menguruskan kedai membaikpulih komputer miliknya. Dengan kemewahan itu, beliau mampu menyara keluarganya. Isteri Encik Herman merupakan suri rumah sepenuh masa dan memberikan sepenuh perhatian kepada anak kecil yang berumur satu tahun dan ibu beliau yang uzur.


Encik Herman dan isterinya pandai menguruskan kad kredit secara berhemat dan sentiasa menepati pembayaran yang ditetapkan. Tambahan pula, beliau juga sedar betapa pentingnya simpanan kecemasan. 


Tiba-tiba keadaan berubah. Oleh kerana tidak sanggup melihat rakannya yang sedang berhadapan dengan masalah kesempitan wang, Encik Herman sanggup membantu rakannya dengan menggunakan kad kredit beliau. Adalah amat sukar untuk meneka apa yang membuatkan beliau sanggup berbuat demikian. 


Malang tidak berbau, beberapa bulan selepas Encik Herman membantu rakannya,  perniagaan Encik Herman telah menghadapi saingan sengit daripada syarikat yang lebih besar yang berhasrat untuk memulakan operasi yang terletak berdekatan syarikat milik beliau.


Akibatnya, perniagaan mula merosot. Encik Herman terpaksa menggunakan kad kredit untuk membiayai perbelanjaan syarikat miliknya yang semakin bermasalah. Beliau beranggapan bahawa beliau mampu membayar kembali hutang kad kreditnya apabila keaadan perniagaannya kembali pulih.


Masa kian berlalu. Tanggapan Encik Herman bahawa beliau bakal bebas daripada masalah kewangan sebaik sahaja perniagaan beliau pulih nampaknya semakin hari semakin meleset. Encik Herman tidak mampu membuat pembayaran semula kad kredit mengikut jadual daripada pendapatan kecil yang beliau perolehi.


Keadaan bertambah buruk apabila pihak bank mula menghubungi Encik Herman. Pada ketika itu barulah beliau sedar yang kini beliau bukan sahaja tidak mampu lagi untuk menyara keluarga bahkan beliau juga turut tidak mampu untuk membuat bayaran semula kad kredit berkenaan.


Penat memikirkan keadaan beliau itu, pada satu hari, En Herman mendapat tahu mengenai AKPK dan perkhidmatannya daripada kenalannya. Tanpa membuang masa, En Herman terus ke pejabat AKPK dan berjumpa dengan kaunselor AKPK untuk mendapatkan bantuan.


Selepas rundingan dijalankan dengan bank-bank berkenaan, AKPK berjaya mengurangkan pembayaran balik hutang bulanan Encik Herman. Kaunselor AKPK juga mencadangkan suatu pelan pembayaran semula yang tidak terlalu membebankan kewangan beliau. Selepas enam bulan dalam tempoh pembayaran balik, Encik Herman berjaya melunaskan kesemua tunggakan tersebut selepas rakannya membayar kembali wang yang pernah dipinjam kepada beliau. Kini Encik Herman berasa lega apaila mengetahui yang beliau mampu untuk mengawal masalah kewangan secara peribadi. Beliau juga lebih berwaspada tentang penggunaan wang. Kata beliau, “Hutang yang tidak mampu saya kendalikan bahkan seperti awan gelap yang mengekori saya setiap hari. Sekarang awan gelap itu sudah tidak ada lagi.”