Success Stories

En Bahar dan isterinya, Pn Mizah mempunyai sumber kewangan yang cukup selesa. Mereka berjaya dalam kerjaya mereka sebagai pembekal produk yang sangat terkenal. Perniagaan mereka cukup berjaya apabila dilantik sebagai salah satu daripada pembekal terbesar di Pantai Timur. Dengan perniagaan yang berkembang maju, Pn Mizah mendapat peluang untuk mengembangkan pelaburan beliau. Beliau membeli beberapa hartanah di Pantai Timur untuk meningkatkan lagi pelaburan dan aset mereka.


Memandangkan kedudukan kewangan merekasemakin mantap, pasangan tersebut membuat keputusan untuk membeli empat buah kereta baru, dua daripadanya merupakan kereta mewah. Kesemua ini mereka beli untuk menarik perhatian ‘downline’ dan pelanggan mereka. Walaupun kereta mewah itu terlalu mahal untuk diselenggara, En Bahar dan Pn Mizah berkeras mahu juga miliki kereta-kereta itu. Pasangan itu menggunakan wang simpanan untuk menampung perbelanjaan barangan mewah itu sehinggakan tiada simpanan yang tinggal untuk perniagaan mereka. En Bahar dan Pn Mizah cuba untuk membuat pinjaman melalui bank untuk menyelematkan perniagaan mereka, tetapi gagal. Tiada siapa yang mahu memberikan bantuan kewangan kepada pasangan itu, memandangkan gaya kehidupan mereka yang mewah dan boros berbelanja.


Kecewa dengan keadaan itu, pasangan tersebut terpaksa menggunakan 12 kad kredit untuk menampung perbelanjaan perniagaan mereka. Mereka bukannya tidak tahu akan akibat itu, tetapi mereka sudah tidak mempunyai cara lain lagi untuk menyelamatkan perniagaan mereka selain menggunakan kad kredit. Perniagaan mereka adalah satu-satunya sumber kewangan dan mereka akan membuat apa sahaja untuk menyelamatkan perniagaan tersebut termasuk menggunakan kad kredit yang mempunyai caj faedah yang tinggi.


Pasangan tersebut sedar keuntungan perniagaan mereka merosot akibat terpaksa membayar balik hutang kad kredit dengan faedah yang banyak. Mereka bimbang kemungkinan akan kehilangan pelanggan kerana kekurangan pendapatan menyebabkan mereka terpaksa mengurangkan pembelian stok produk mereka. Mereka tidak dapat menurut kehendak pelanggan dan akhirnya kehilangan pelanggan-pelanggan. Mereka sangat terdesak untuk menyelamatkan perniagaan mereka dan menjamin kedudukan kewangan mereka di masa hadapan sehinggakan mereka terpaksa menanggung hutang lebih RM 1 juta. En Bahar dan Pn Mizah sudah tidak sanggup membelanjakan kesemua pendapatan mereka untuk membayar faedah kad kredit yang tinggi. Dengan kedudukan kewangan yang makin merosot, mereka terpanggil untuk mendapat pertolongan dari Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK).


Kaunselor AKPK menasihati pasangan tersebut untuk menjual beberapa hartanah yang memberi impak yang negatif terhadap perniagaan mereka. Mereka juga dinasihatkan untuk menjual kereta-kereta mewah mereka untuk mengurangkan perbelanjaan terhadap kereta-kereta tersebut. Mereka juga digesa untuk berusaha mendapatkan pinjaman perniagaan selepas pengurangan perbelanjaan yang besar terhadap hartanah dan pinjaman kereta. Pinjaman perniagaan itu akan mengurangkan kegunaan kad kredit, serta tidak perlu membayar caj faedah kad kredit yang mahal dan seterusya dapat meningkatkan balik keuntungan dalam perniagaan mereka.


AKPK juga menstruktur balik kesemua 12 kad kredit dan dapat menurunkan kadar bayaran bulanan kad-kad kredit tersebut. En Bahar dan Pn Mizah sangat berterima kasih terhadap nasihat kewangan yang diberikan AKPK. Mereka sekarang boleh menumpukan untuk meningkatkan balik keuntungan perniagaan mereka  tanpa memikirkan akibat salah penggunaan kad kredit.