Success Stories

Hassan mempunyai sebuah rumah yang dibeli oleh ayahnya ketika beliau masih belajar di kolej. Rumah tersebut didaftarkan di bawah nama Hassan kerana ingin mendapatkan masa pinjaman yang lama dan pembayaran balik bulanan yang rendah.

Walaubagaimanapun, beberapa tahun kemudian ayah Hassan meninggal dunia. Hassan kemudian tidak dapat menyambung pembayaran rumah tersebut yang dahulunya dibayar oleh ayahnya kerana Hassan masih lagi belajar. Beliau mengabaikan pembayaran bulanan rumah tersebut dan akibatnya pihak institusi kewangan mengambil tindakan undang-undang dan memberi amaran kepadanya akan merampas rumah tersebut untuk dilelong.

Setelah habis belajar, Hassan mendapat pekerjaan yang stabil sebagai Jurutera dan memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM 3,000. Walaubagaimanapun, pendapatan bersih beliau tidak dapat menampung jumlah pembayaran bulanan rumah yang berjumlah RM 1,800. Tambahan pula, beliau menjadi ketua keluarga dan menanggung ibu dan adik perempuannya yang masih bersekolah.

Disebabkan itu, Hassan membuat keputusan untuk menjual rumah tersebut dan menyewa rumah yang lebih kecil untuk tinggal bersama ibu dan adiknya. Dengan itu juga, beliau Berjaya mencari pembeli yang sanggup membeli rumah tersebut dengan harga RM 290,000. Walaubagaimanapun, setelah ditolak dengan kos guaman dan komisen kepada agen hartanah, baki jualan rumah tersebut hanya RM 280,000. Jumlah ini tidak mencukupi bagi Hassan untuk melangsaikan jumlah penuh rumah tersebut yang berjumlah RM 310,000.

Masalah ini mengakibatkan rekod pembayaran Hassan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) menjadi buruk, menyebabkan Hassan tidak dapat membuat pinjaman untuk melangsaikan baki pinjaman perumahan berjumlah RM 30,000. Oleh sebab itu, beliau dengan tidak membuang masa datang ke AKPK untuk meminta bantuan.

Selepas menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK, beban kewangan ditanggung Hassan dapat dikurangkan. Ini bermakna beliau mampu untuk membayar baki RM 30,000 melalui ansuran bulanan dan memudahkan beliau menjual rumah tersebut.