Success Stories

Devi (bukan nama sebenar), 47 tahun merupakan seorang ibu tunggal. Beliau datang ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sambil menangis kerana hampir kehilangan satu-satunya rumah miliknya. Beliau kelihatan bingung kerana memikirkan masa depan ketiga-tiga anaknya yang masih mengharapkan sokongan kewangan daripadanya.

Semenjak lima tahun lalu, Devi menjadi balu apabila suaminya meninggal dunia secara tiba-tiba akibat serangan jantung. Semenjak itu, kualiti kehidupan Devi dan anak-anaknya semakin merosot.

Devi bekerja dengan tekun tanpa mengira masa di kilang pembuatan dengan pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan. Jumlah pendapatan itu hanya cukup untuk memenuhi keperluan anak-anaknya sahaja.

Masih jelas dalam ingatan Devi bahawa mereka sekeluarga belum pernah lagi merasai pakaian baru sejak kematian suaminya, disebabkan mereka tidak mampu.

Walaupun pendapatan Devi sedikit, namun beliau bijak membahagikan wang untuk perbelanjaan harian. Tidak pernah beliau menjangka bahawa beliau sekeluarga akan kehilangan tempat berteduh. Keadaan keluarga Devi bertambah parah apabila beberapa bulan lalu, kilang tempat Devi bekerja terpaksa ditutup dan beliau kehilangan pekerjaan.

Kini Devi hilang segalanya termasuk punca pendapatannya. Saudara-maranya juga tidak dapat memberikan bantuan kerana masing-masing ada masalah sendiri.

Selama berbulan-bulan Devi berusaha gigih untuk mendapatkan pekerjaan lain bagi menyara hidup. Namum, usaha beliau masih gagal mendapatkan pekerjaan. Hal ini menyebabkan beliau turut gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman perumahan bagi bulan berkenaan.

Devi akhirnya tiada pilihan lalu bekerja sebagai tukang cuci yang hanya mendapat upah suku daripada gajinya sebelum ini. Anak lelakinya yang baru sahaja tamat persekolahan turut bekerja bagi meringankan beban ibunya. Kini pendapatan bulanan sekeluarga sebanyak RM1,500 melegakan sedikit beban Devi, walaupun pada hakikatnya ia masih tidak mencukupi. 

Sebik sahaja kehidupannya kembali normal, Devi dikejutkan dengan berita mengenai lelongan kediamannya. Dia terkejut bahawa tarikh lelongan telah ditetapkan.

Keadaan bertambah teruk apabila Devi tidak tahu cara untuk mendapatkan bantuan bagi memperoleh wang untuk menghentikan lelongan itu. Setelah menyuarakan masalah tersebut kepada seorang rakan, Devi telah disyorkan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada AKPK.

Devi kembali tenang apabila kaunselor AKPK memberitahu bahawa AKPK akan berunding dengan pihak institusi perbankan tertabit. Dalam masa beberapa hari, AKPK berjaya berunding dengan pihak institusi perbankan dan lelongan tersebut juga ditangguhkan. Justeru, jumlah pinjaman perumahan Devi juga disusun semula mengikut pelan pembayaran balik yang lebih berpatutan. 

Walaupun Devi menyedari bahawa beliau perlu bekerja keras untuk memenuhi komitmen tersebut, namun Devi yakin kembali berada di landasan kewangan yang betul.