10 Ciri Yang Ada Pada Semua Rumah Idaman

1. RUANG HUNIAN YANG BERKONSEP TERBUKA

Ruangan rumah yang berpetak-petak dengan dinding di sana sini sudahpun ketinggalan zaman. Konsep yang lebih terbuka sesuai untuk keluarga yang mahukan lebih pengawasan terhadap anak-anak, menyelesakan tetamu malah membuatkan rumah terasa lebih besar.

2. KAUNTER DAPUR YANG LEBIH DARIPADA CUKUP

Tanyalah mana-mana suri rumah. Bar sarapan atau kaunter tambahan untuk penyediaan makanan di dapur pasti mengujakan.

3. PANTRI YANG BERASINGAN

Pantri atau rak terbuka yang dikhaskan untuk menyimpan makanan kering dan rempah ratus sangat memudahkan di samping menjimatkan ruang. Anda tidak perlu membuka dua tiga kabinet dalam satu masa ketika menyediakan makanan.

4. KAUNTER PULAU DI RUANG DAPUR

Kaunter pulau bukan sekadar elegan tapi praktikal. Ia memberikan anda lebih ruang untuk memasang lebih banyak kabinet berserta ruang kaunter di sekeliling dapur di samping bar sarapan bersertakan bangku.

5. RUANG PENSTORAN SERATA RUMAH

Kehidupan berkeluarga pasti banyak barangnya. Anda perlu fikirkan cara kreatif untuk menyimpan barang-barang ini seperti mengadakan sistem susunan di dalam almari, memasang rak-rak simpanan di garaj atau rak-rak di bawah mahupun di atas TV yang terpasang pada dinding.

6. SUITE UTAMA BERSERTA BILIK MANDI DAN BILIK PERSALINAN

Selepas seharian bekerja, tidakkah anda teringin balik ke bilik yang bagaikan suite hotel 5 bintang dengan mandian spa di bilik mandi serta pilihan baju yang beraneka di bilik persalinan?

7. DEK ATAU PATIO UNTUK BERSANTAI DI LUAR RUMAH

Dek atau patio adalah satu cara yang jauh lebih murah daripada penambahan bangunan untuk meluaskan kawasan hunian kediaman anda. Bersantai di luar dengan perabot serta dekor luar yang selesa dan cantik mempunyai kelasnya yang tersendiri.

8. LEKAPAN DAN PERKAKAS JIMAT TENAGA

Murah dan bersih, lekapan dan perkakas jimat tenaga untuk pencahayaan, pencucian dan pendinginan ialah gaya kehidupan terkini.

9. GARAJ YANG BOLEH MEMUATKAN DUA KERETA (PALING KURANG)

Ia bukan sekadar untuk kereta. Garaj yang luas juga boleh dijadikan bengkel (atau ofis), bilik permainan mahupun stor.

10. PELANDSKAPAN YANG KURANG MEMERLUKAN PENJAGAAN

Bila tiba hari minggu, kebanyakan daripada kita mahu bersantai. Rumput tiruan dan pokok yang tidak mudah luruh daun dan rantingnya boleh mengurangkan kerja-kerja pembersihan laman.

Demikianlah 10 ciri rumah idaman. Mungkin anda ada senarai anda sendiri. Apapun, semua ini memerlukan kos tertentu selain harga pembelian rumah. Maka, jika anda sukar untuk menyenaraikan ciri rumah idaman anda awal-awal tadi, itu mungkin kerana anda belum benar-benar merancang.

Tanpa perancangan kewangan yang teliti, wang anda hanya tertumpu kepada pembayaran harga rumah. Anda tidak ada duit lebih untuk pembaikan mahupun pengubahsuaian. Ini menyebabkan impian rumah idaman anda hanya tinggal impian. Lebih parah, jika anda berbelanja besar dengan pinjaman tambahan untuk mengubah suai rumah tetapi akhirnya tergadai apabila gagal membayar pinjaman sama sekali.

Kesimpulannya, sesiapa sahaja boleh mendapatkan rumah idaman masing-masing asalkan tahu merancang dan membuat keputusan kewangan dengan teliti. Contohnya, siapa kata rumah idaman itu mesti rumah yang dibeli? Anda juga boleh menyewa dan tinggal di dalam rumah impian anda. Apa yang penting, anda bahagia

Rujukan Artikel: “10 Things Every Dream Home Has In Common”. https://www.elledecor.com/design-decorate/advice/g3008/dream-home-property-brothers/