Pilihan di tangan anda – untuk esok yang lebih baik

Membaca tajuk artikel sahaja ternyata kebenarannya! Apa sahaja pilihan kita, kitalah yang menentukannya. Teringat saya akan beberapa petikan mengenai pilihan di dalam Bahasa Inggeris, antaranya ialah:

“Life is a matter of choices, and every choice you make, makes you” — John C. Maxwell”

Saya juga tertarik dengan formula yang diadun dalam ungkapan ini:

“3 C’s in life: Choices, Chances, Changes – You must make a choice to take a chance or your life will never change”

Malah ajaran Islam juga menekankan tentang perlunya kita yang memilih untuk berubah:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka” (ar-Ra’d 13:11)

Sebagai manusia, kita diberi akal fikiran agar mampu untuk berfikir bagi mengatasi setiap permasalahan yang sedang dihadapi seperti yang dinyatakan dalam Surah at-Tiin, ayat 4:

"Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaan)”

Imam Ghazali juga ada menyatakan dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa akal itu ialah sumber ilmu. Akal juga sering ditakrifkan sebagai alat perubahan dalam berfikir yakni menimbang baik buruk sesuatu perkara atau merasakan perubahan dalam sesuatu keadaan sehingga dapat mengambil manfaat daripadanya.

Kali ini kita akan cuba mengupas bagaimana pilihan yang kita buat dapat menentukan destinasi kita dan pastinya ia berkaitan dengan kewangan. Dalam artikel sebelum ini, kita telah pun membicarakan tentang pentingnya untuk menjadi seorang yang positif dan tenang bagi membolehkan kita membangunkan pelan tindakan. Begitu juga dengan keperluan mempunyai mental yang kuat ketika berdepan dengan cabaran yang ada.

Mengapa dikatakan pilihan yang dibuat menentukan destinasi kita? Contohnya, kita mungkin pernah membuat keputusan kewangan yang salah dan sememangnya ia telah mendatangkan masalah. Namun, pilihan kita hari ini mungkin dapat membetulkannya. Kita tidak akan dapat mengembalikan masa yang telah hilang begitu sahaja kerana kesilapan lalu tetapi kita boleh melakukan apa yang betul dengan masa yang ada sekarang untuk berjaya pada akhirnya. Ini adalah kerana kejayaan dalam kewangan bukanlah sesuatu yang segera (Financial Success Is Not Instant). Ia harus dilakukan secara konsisten dengan penuh disiplin dan keazaman yang tinggi.

Dengan hampirnya tempoh tamat moratorium di akhir bulan September nanti, anda juga perlu membuat pilihan. Saya banyak menerima mesej WhatsApp yang rata-rata menzahirkan kebimbangan tentang kewangan dan ketidakupayaan mengurus pembayaran balik pinjaman. Oleh itu, pilihlah untuk bertindak awal sebelum berakhirnya moratorium. Tindakan awal ini perlu dilakukan kerana tindakan terdesak di saat akhir sering membawa kepada ketidakstabilan emosi. Langkah awal yang perlu diambil adalah dengan menyemak semula kedudukan kewangan terkini. Senaraikan kembali sumber pendapatan termasuk semua bentuk bantuan yang diterima, dan juga perbelanjaan.

Pada seminar dalam talian yang bertajuk 'Penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman: Rancang dan bertindak awal' anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) pada 3 Julai lepas, AKPK, dengan sokongan ABM (Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia), telah menasihatkan peminjam agar berjumpa dengan pihak bank lebih awal bagi membincangkan penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman mereka. Ini bagi menggelakkan kesulitan kepada peminjam di saat-saat akhir kerana perlu menyediakan dokumen yang diperlukan untuk berbincang dengan pihak bank serta memikirkan bagaimana hendak membayar balik pinjaman dan segala obligasi kewangan yang lain. Oleh kerana itulah, kami menyeru agar peminjam memilih untuk bertindak awal bagi mengelakkan masalah kewangan yang lebih besar kerana apabila pembayaran balik hutang tertangguh, ia boleh mendatangkan tekanan kewangan yang lebih teruk.

Langkah seterusnya ialah dengan mengkaji semula bajet dan belanjawan keluarga. Adakah pembayaran balik pinjaman nanti akan menjejaskan aliran tunai isi rumah? Atau, bila berakhirnya moratorium nanti, adakah belanjawan keluarga perlu diselaraskan semula dan penjanaan pendapatan baru menjadi satu keperluan? Jangan tunggu sehingga berakhirnya September untuk bertindak kerana ia boleh mendatangkan panik. Selain bank, peminjam juga boleh datang mendapatkan khidmat nasihat serta penjadualan semula pinjaman pasca moratorium di AKPK.

Apa pun keadaannya, buatlah pilihan kerana pilihan di tangan kita dan kita yang menentukannya. Jangan ambil mudah urusan kewangan kita kerana esok yang lebih baik memerlukan tindakan yang betul pada hari ini!