Hidup Akur, Ikut Catur – Sihatkah kewangan kita?

Kita sering mengimpikan sesuatu yang indah, bahagia dan gembira.Tidak ada sesiapa di dunia ini yang tidak menginginkan perkara sedemikian. Hidup ini mudah andai kita akur dengan aturannya. Apa sahaja yang kita lakukan pasti ada aturannya yang tersendiri. Jika kita menginginkan kebahagiaan dalam rumah tangga, maka berusahalah untuk saling bertoleransi dari semua segi. Begitu juga jika kita menginginkan kejayaan dalam peperiksaan, maka aturannya ialah kita haruslah mengulangkaji pelajaran dan berdoa dengan mengharapkan rahmat-Nya. Begitu juga dengan kewangan dalam kehidupan harian kita. Keperluan hidup selalunya tidak mahal.Apa yang mahal ialah gaya hidup mewah yang membawa kebanyakan daripada kita ke arah keberhutangan serius. Menurut statistik AKPK setakat Jun 2020, seramai 36.7% yang menyertai program pengurusan kredit AKPK gagal dalam merancang kewangan. Ini bermakna mereka tidak mempunyai aturan kewangan yang betul.

Sesetengah orang merasa agak bosan bila isu kewangan dibangkitkan.Ada pula yang terpalit rasa bersalah, resah gelisah dan tidak selesa kerana isu inilah yang merunsingkan mereka sehingga tidak lena tidur pada waktu malam. Suka atau tidak, kewangan kita ialah perkara yang penting dan harus disemak secara berkala. Setiap fasa dalam kehidupan kita menagih komitmen yang berbeza. Bermula dari zaman bujang, kemudian berkahwin sehinggalah mempunyai keluarga yang besar, komitmen bulanan pastinya tidak sama. Seandainya aturan kewangan yang betul disemai dan dipupuk sedari awal, tabiat itulah yang akan dibawa sampai bila-bila.

Namun masih belum terlambat untuk kita membetulkan apa yang biasa kita lakukan dengan mengubah formula kewangan yang kita anggap betul selama ini. Antara aturan kewangan adalah membayar diri sendiri dahulu bila mendapat gaji. Pernahkah kita rasa ada ketikanya kita berasa amat letih bekerja? Begitu banyak perkara yang hendak dilakukan pada masa yang sama sehingga kita terkejar-kejar ke sana ke mari.Maka tidakkah kita merasakan diri kita patut dihargai lebih-lebih lagi jika kita tahu bahawa penat berkerja ini dihargai oleh Tuhan? Bagaimanakah caranya untuk menghargai diri sendiri? Kita mungkin mahu menghadiahkan sesuatu yang amat kita sukai atau pergi bercuti dan melupakan seketika beban tugas yang tidak pernah habis.

Sungguhpun begitu, andai kita mengenepikan aturan kehidupan, maka kita akan berada di landasan yang mungkin tidak mendatangkan apa-apa yang kita harapkan. Prinsip asas aturan kewangan adalah dengan mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan. Ramai yang pasti tahu akan perkara ini, malah isu ini sering dibangkitkan dan sentiasa diulang-ulang kebelakangan ini kerana dikhuatiri bila berakhirnya moratorium nanti, ramai yang akan menjadi panik. Perkara sepenting ini perlu disebut berulang-ulang supaya kita arif dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.Ia perlu diulang-ulang supaya ia melekat di minda untuk kita mempraktikkannya. Ilmu kewangan tidak ke mana andai tidak diaplikasikan. Sekadar tahu dan faham tetapi tidak dilaksana adalah sia-sia. Adakah kewangan kita sihat? Sudahkah kita menyemaknya? Inilah soalan-soalan yang harus kita tanya pada diri sendiri—bukan sekali tetapi berkali-kali agar kita pasti di mana kedudukan kewangan kita pada hari ini.

Ikutlah aturan yang betul seperti ketika kita bermain catur dengan mengatur langkah setiap buah yang mempunyai tugas dan batasan pergerakan masing-masing untuk menewaskan lawan. King, walau hanya dibenarkan bergerak satu petak dalam satu-satu masa tetapi ia harus dipastikan wajar dan bernas agar tidak terperangkap oleh lawan.Queen pula yang boleh bergerak dalam setiap arah lurus—ke depan, ke belakang, ke tepi, atau secara pepenjuru—sejauh mana yang boleh. Begitu juga dengan perancangan kewangan. Aturannya harus dipatuhi tetapi pada masa yang sama perlu flexible dan adjustable mengikut keadaan. Keputusan kewangan yang dibuat haruslah bijak dan tidak membebankan.

Buah catur yang lain turut berbeza pergerakannya dan kita harus akur dengan peraturannnya untuk mengalahkan lawan. Dalam aturan kewangan pula, ada formula yang harus kita patuhi bagi mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan. Adakah anda masih ingat akan formula nisbah hutang kepada pendapatan?Formula yang menekankan peratusan hutang berdasarkan pendapatan yang ada. Formula ini mengingatkan kita bahawa cukuplah dengan hutang yang sedia ada dan berusahalah untuk menyelesaikannya. Lagi cepat langsai lagi bagus—bukan lagi cepat untuk kita buat hutang baru, ya!

Maka, demi esok yang kita tidak tahu bagaimana aturan kehidupannya, kita haruslah bersedia dari hari ini lagi. Ibarat bermain catur; jangan sekadar bermain tetapi gunalah sedikit akal fikiran untuk mengatur strategi menghadapi lawan. Hidup akur, ikut catur!+