“Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran” – Ke mana duit moratorium saya?

Pejam celik, pejam celik, kita sudah pun memasuki bulan September. Ini bermakna, ia ialah bulan terakhir bagi mereka yang mengambil moratorium. Pembayaran balik pinjaman akan kembali normal bermula Oktober. Malah, mungkin ada pembayaran yang harus dilakukan dalam bulan September sendiri kerana tarikh akhir bayaran bagi sesetengah pinjaman adalah pada awal bulan. Apa yang nyata, moratorium ialah kelegaan yang bersifat sementara, namun ia amat bermakna andai digunakan dengan sebaiknya. Terdapat segelintir (atau mungkin majoriti) individu yang tidak berjaya memanfaatkan moratorium yang diambil seperti yang dirancangkan. Bak kata mak saya, “kelabu mata”. Istilah ini menggambarkan betapa duit boleh mengaburi pertimbangan seseorang. Perancangan yang baik pada asalnya hilang entah ke mana dek kerana terlalu mengikutkan nafsu. Akhirnya, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Sudahlah duit moratorium entah ke mana dibelanjakannya, duit yang sedia ada juga turut terpakai. Inilah yang dikatakan tindakan tidak selari dengan matlamat.

Kajian yang kami jalankan mengenai tujuan pengambilan moratorium menunjukkan sebanyak 29% ingin menyimpan, 40% untuk membeli keperluan asas, 25% ingin melangsaikan pinjaman yang kecil sementara 3% ingin melabur termasuk mereka yang tiada perancangan. Persoalannya, adakah tujuan tersebut dicapai? Berjayakah mereka menjana simpanan? Adakah benar ia bagi pembelian keperluan asas sahaja? Sudahkah pinjaman kecil atau hutang yang sedikit dilangsaikan? Ke manakah duit dilaburkan? Malah ada yang mengambil moratorium tanpa tujuan. Jadi, di manakah pengakhiran duit moratorium selama 6 bulan?

Setiap kali saya memberi taklimat kewangan, saya akan memerhatikan peserta tanpa mereka sedar. Saya tiada maksud lain kecuali hanya untuk mengenal pasti sama ada mereka benar-benar minat untuk belajar atau hanya datang kerana diarah, dipaksa atau sekadar memenuhi syarat kursus wajib. Tidak ramai yang membawa buku nota, apatah lagi menyalin nota. Mungkin mereka menggunakan kaedah lain seperti merakam menggunakan telefon pintar.

Apa yang saya ingin tekankan ialah pengurusan kewangan melibatkan pengiraan—ada formula yang akan digunakan dan terdapat panduan pecahan pendapatan kepada pinjaman. Pelbagai nisbah yang ada bagi “menceritakan” kewangan semasa. Kita mungkin tidak mampu untuk mengingati kesemuanya, apatah lagi jika ia adalah kali pertama kita mendengarnya.

Untuk membuktikan poin saya, memadai dengan soalan mudah yang sering saya ajukan, “Berapakah nilai dua campur dua bahagi dua?”. Ramai yang menjawab dua dengan penuh yakin dan begitu pantas tanpa perlu mengira. Anda yakin jawapannya dua? Cuba kira menggunakan telefon pintar anda, atau kalkulator, berapa angka yang tertera? Tiga bukan! Mengikut logik akal, jawapannya dua, namun dengan menggunakan formula asas Matematik, jawapan yang betul ialah tiga.

Inilah gambaran kewangan! Tiada jalan mudah kerana ada formula yang harus diikuti. Selain daripada formula secara teorinya, secara praktikalnya sudah pasti melibatkan diri sendiri. Dalam pengurusan kewangan, “ubat” yang paling mujarab ialah disiplin. Ia perlu dilakukan dengan penuh keazaman. Malah, ia harus dipraktikkan secara konsisten. Matlamat haruslah selari dengan tindakan. Bukan lain di mulut, lain di hati.


Kalau dilihat atau ‘digoogle’, terdapat pelbagai terjemahan mengenai duit moratorium sama ada daripada agensi kerajaan, swasta mahupun pengamal dalam industri pengurusan kewangan. Namun, mereka meringkaskan penceritaan moratorium— sama ada dalam bentuk video, infografik, penulisan, lukisan, grafik dan lain-lain—kepada hanya satu tujuan, iaitu bagaimana untuk memanfaatkan duit moratorium. Dengan moratorium kini menghampiri tamat tempohnya, hanya kita sahaja yang tahu sama ada kita berjaya atau tidak mencapai matlamat kita enam bulan yang lepas. Malah kita juga tahu, sama ada tindakan yang kita lakukan selari atau tidak dengan niat asal kita. Seandainya tidak berjaya sama sekali, usahlah dikesalkan perkara yang sudah berlalu. Bak kata P. Ramlee dalam lagunya, Barang Yang Lepas Jangan Dikenang:

Barang yang lepas hai jangan dikenang

Kalau dikenang meracunlah diri  

Oh tak guna menangis memilu

Makin sedih menambah derita

Lupakanlah semua yang lalu

Tidakkan mungkin kembali semula


Belajarlah sesuatu daripadanya kerana pengalaman hidup ialah “universiti” terbaik dunia. Pengurusan kewangan ialah sesuatu yang serius! Kesenangan bukan datang dengan banyak atau sedikit duit kita tetapi dengan cara kita berbelanja.


Kepada mereka yang berjaya, syabas dan tahniah kerana anda telah berjaya mencapai matlamat memanfaatkan duit moratorium. Ada sedikit kelegaan, bukan? Teruskan usaha dalam “memerangi” kemelut kewangan yang melanda. Anda telah maju setapak dengan kejayaan enam bulan dalam tempoh moratorium. Ini bermakna, anda mampu melakukannya lagi untuk terus berjaya mengubah keadaan. Kalau bukan kita, siapa lagi dan kalau bukan sekarang, bila? Ia sememangnya bukan mudah, namun ia mampu dilakukan dengan keazaman dan disiplin yang tinggi.