Mengurus Pinjaman Pasca Moratorium

COVID-19 memberi kesan domino ke atas kehidupan rakyat bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi pelbagai aspek lain termasuk ekonomi, pendidikan, sosial, emosi, rekreasi dan psikologi. Selaku pemerintah yang prihatin, kerajaan telah mengambil inisiatif yang bijak dengan memperkenalkan moratorium. Moratorium merujuk kepada penangguhan atau penggantungan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan untuk jangka masa yang terhad. Objektif utama pakej ransangan ekonomi ini adalah untuk memberikan bantuan kepada individu dan perniagaan yang menghadapi kekangan kewangan sementara akibat daripada wabak COVID-19.


Walau bagaimanapun, ia hanya bersifat sementara kerana pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan akan disambung semula selepas tempoh penangguhan berakhir. Pemberian enam (6) bulan moratorium bermula April memberi banyak manfaat kepada masyarakat dan pelaksanaan moratorium ini bakal berakhir pada 30 September ini. Bermula bulan Oktober, pembayaran balik akan disambung semula.


Namun, kerajaan sekali lagi menunjukkan keprihatinannya terhadap golongan yang paling terkesan akibat COVID-19, iaitu individu yang diberhentikan kerja atau mereka yang mengalami pengurangan atau penyusutan penggajian. Kerajaan telah mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bersasar untuk membantu golongan ini pada 29 Julai yang lalu. Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini dan belum memperoleh pekerjaan baharu, moratorim lanjutan bersasar akan diberi untuk tempoh tiga (3) bulan sehingga Disember 2020 dengan syarat peminjam perlu membuat permohonan kepada institusi kewangan berkenaan. Sekiranya peminjam masih gagal memperoleh pekerjaan, institusi kewangan boleh melanjutkan lagi tempoh tersebut. Bagi peminjam yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau menyusut, bantuan bersasar adalah berbentuk bayaran ansuran yang dikurangkan— tertakluk kepada jenis pinjaman—selaras dengan kadar pengurangan gaji untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan. Lanjutan masih lagi dibenarkan oleh institusi kewangan bergantung kepada keadaan gaji semasa peminjam yang memerlukannya.


Walau bagaiamanapun, sSemua inisiatif di atas adalah bersifat pilihan dan ia bergantung kepada kedudukan kewangan semasa seseorang. Bagi peminjam yang pendapatannya tidak terjejas tetapi tetap memilih untuk menerima moratorium dijangka tidak mempunyai masalah untuk menyambung semula pembayaran balik pinjaman setelah tamat tempoh moratorium. Peminjam yang menjangka mereka akan menghadapi masalah pembayaran balik pinjaman selepas tamatnya moratorium nanti dinasihatkan supaya tidak panik dan mengelakkan jalan pintas yang boleh menyebabkan mereka lebih terdedah kepada masalah keterhutangan yang serius. Tindakan yang sewajarnya dibuat sendiri oleh peminjam yang tidak mampu untuk menguruskan situasi ini secara bersendirian adalah dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada institusi, agensi dan pakar kewangan. Berikut merupakan beberapa panduan yang boleh membantu peminjam untuk mengurus pinjaman mereka pasca moratorium.


Sediakan senarai hutang atau pinjaman yang dimiliki. Sekiranya sudah berkeluarga, anda disarankan untuk berbincang bersama pasangan dan ahli keluarga mengenai kedudukan kewangan semasa keluarga.


Semak semula aliran tunai. Peminjam dinasihatkan agar mengenal pasti perbelanjaan yang tidak perlu, perbelanjaan yang kurang diperlukan dan perbelanjaan yang boleh ditangguhkan. Lebihan yang ada boleh digunakan untuk perbelanjaan yang lebih penting seperti bayaran balik pinjaman.


Semak status hutang atau pinjaman. Peminjam perlu mendapatkan maklumat mengenai baki dan tempoh pinjaman/pembiayaan terkini daripada institusi kewangan. Hubungi institusi kewangan anda untuk mendapatkan maklumat terkini.


Dapatkan laporan CCRIS atau CTOS untuk mengetahui sekiranya terdapat bayaran tertunggak. Semak juga status nisbah khidmat hutang (Debt-Service Ratio) terkini anda dan pastikannya ia tidak melebih 30% atau satu pertiga daripada pendapatan kasar anda.


Jana pendapatan. Peminjam disarankan untuk mengggunakan kemahiran yang ada atau menggunakan kemudahan teknologi (ekonomi digital) atau melakukan pekerjaan sampingan sebagai strategi untuk menjana dan meningkatkan pendapatan.


Dapatkan khidmat institusi kewangan. Peminjam yang memerlukan kemudahan penyusunan dan penjadualan semula pinjaman selepas 30 September atau selepas tempoh lanjutan moratorium dinasihatkan untuk berbincang dengan institusi kewangan masing-masing. Aturkan janji temu untuk mendapatkan khidmat nasihat mereka yang diberikan secara percuma.


Dapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Peminjam boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada AKPK melalui Program Pengurusan Kredit untuk menstrukturkan semula pinjaman dan meningkatkan kemampuan pembayaran balik pinjaman sekiranya mereka mempunyai pinjaman dengan banyak bank. Aturkan janji temu untuk mendapatkan khidmat nasihat mereka yang diberikan secara percuma.


Dapatkan khidmat perunding kewangan. Peminjam juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada perunding kewangan yang bertauliah dan berlesen untuk membantu mereka memperbaik aliran tunai dan menangani kekangan kewangan akibat daripada kesan COVID-19. Ada perunding kewangan yang mengenakan bayaran untuk perkhidmatan mereka dan ada juga yang menawarkan perkhidmatan mereka secara percuma.


Sebagai kesimpulan, peminjam yang menjangka mereka akan berhadapan dengan masalah pembayaran balik pinjaman perlu bersedia dari segi mental dan emosi, merancang lebih awal untuk mengurus pembayaran balik selepas tamat moratorium serta tidak menggunakan pihak ketiga bagi membantu menguruskan penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman. Perkara paling utama ialah jangan panik dan dapatkan nasihat daripada agensi dan individu yang berautoriti


*Sebahagian kecil daripada penulisan dalam artikel ini telah diterbitkan dalam akhbar KOSMO bertarikh 29 Julai 2020.



Disediakan oleh

Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri

Timbalan Dekan Fakulti Ekologi Manusia, UPM dan Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia