Bajet awal tahun: 3 perkara yang mungkin anda lupa nak letak

BAJET AWAL TAHUN: 3 PERKARA YANG MUNGKIN ANDA LUPA NAK LETAK



Minggu kerja pertama tahun baharu 2021 sudah melabuhkan tirainya. Esok weekend. Yes!!!

Bercakap tentang tahun baharu, soalan yang paling selalu ditanya ialah, “apa azam tahun baru awak?” Mungkin ada yang tidak fikir langsung tentang apa yang hendak dicapai untuk tahun baharu tapi rata-rata kita sudah ada resolusi tahun baharu masing-masing.

Namun, persoalannya ialah berapa ramai yang membuat bajet tahun baharu.

Ya. Itu mungkin perkara pertama yang orang lupa, iaitu kita perlu ada bajet awal tahun—selain resolusi tahunan.



Apa yang biasanya ada dalam bajet awal tahun?



Jom senaraikan bajet masing-masing:

1) Bayaran ansuran

2) Anggaran bil air dan api setiap bulan

3) Bil telefon setiap bulan

4) Pelbagai jenis cukai (termasuk cukai jalan)

5) Perbelanjaan isi rumah (termasuk untuk ibu bapa)

6) Pelbagai jenis yuran (cth. yuran sekolah)

7) Peralatan untuk pelbagai keperluan (termasuk peralatan dan buku sekolah)

8) Perbelanjaan ulang-alik kerja (termasuk ke sekolah)

9) Pelbagai kos penyelenggaraan (spt servis kereta)

10) Premium insurans/takaful

11) Pembaharuan lesen (spt lesen kereta)

12) Rancangan perayaan (termasuk kenduri-kendara)

13) Rancangan pembelian besar

14) Rancangan percutian



Kalau ada melanggan TV berbayar, masukkan juga bayaran bilnya setiap bulan.

Seronok, kan? Kalau ada lagi boleh habaq mai di ruangan komen, ya. Bila start buat memang boleh sampai lupa nak pergi makan.



Apa-apa pun, jangan lupa letak 3 perkara dalam bajet awal tahun anda.

Orang selalu ingat bajet ni hanyalah menyenaraikan anggaran perbelanjaan untuk melihat ke mana wang hendak dibelanjakan. Apatah lagi jika kewangan terhad. Bagi mereka yang hidup selesa pula, ada yang tidak nampak keperluan untuk membuat bajet secara terperinci.

Sebenarnya, bajet bukan sahaja penting untuk membantu mengurus perbelanjaan tetapi juga satu alat yang penting untuk meningkatkan dan mengukuhkan kedudukan kewangan anda. Ingat 2 terma ini: Nilai Harta Bersih dan Ketahanan Kewangan.

Itu sebablah dalam bajet tahunan anda, jangan lupa letak 3 perkara ini:



Meningkatkan Nilai Harta Bersih*

1) Kurangkan hutang – Peruntukkan sedikit wang untuk melangsaikan hutang tertunggak (jika ada) dan juga membayar balik hutang lebih daripada jumlah ansuran bulanan agar hutang selesai lebih awal. Tapi, perlu periksa dulu ya dengan pihak bank jika ada sebarang bayaran penalti untuk penyelesaian awal (loan rumah especially).

2) Tambah aset – Peruntukkan sedikit wang juga untuk menambah aset produktif (atau menambah baik aset produktif sedia ada). Aset produktif ialah aset yang boleh dijadikan sebagai pelaburan kerana nilainya yang boleh meningkat dengan waktu atau sebagai modal untuk menjana pendapatan. Antara aset produktif ialah seperti hartanah, unit pelaburan atau lot saham untuk pelaburan, atau lesen operasi/perniagaan kecil, peralatan, perisian dan apa sahaja yang boleh membantu menjana pendapatan. Sebaliknya, aset tidak produktif ialah aset yang menurun nilainya dengan waktu dan tidak pula digunakan untuk menjana apa-apa pendapatan.



Ketahanan Kewangan

3) Simpan untuk kecemasan – Apa yang berlaku pada tahun 2020 mengajar kita tentang kepentingan simpanan kecemasan. Peruntukkan sedikit wang untuk mula membina dana tersebut. Fikirkan jika anda terputus pendapatan, berapa banyak yang anda perlukan untuk sara hidup selama 3 – 6 bulan sementara mencari sumber pendapatan lain. Anggarkan berapa yang diperlukan jika kenderaan anda kemalangan. Kalau anda tiada lindungan insurans/takaful tertentu contohnya untuk ibu bapa di bawah jagaan anda, anggarkan berapa yang perlu anda ada jika mereka terpaksa dikejarkan ke hospital untuk masalah kesihatan tertentu. Begitu juga dengan hal-hal kecemasan yang melibatkan anda dan anak-anak.



Baik. Itu serba ringkas, panduan mudah untuk anda membina satu bajet tahun baharu yang mantap. Gunakan bajet anda bukan hanya untuk mengurus aliran tunai anda tetapi juga meningkatkan kedudukan dan ketahanan kewangan anda.

AKPK, untuk esok yang lebih baik.

*Mengira Nilai Harta Bersih: https://www.facebook.com/AKPKofficial/photos/10160268899378294)