Gaji Besar Atau Kecil, Ikut Panduan Ini Untuk Beli Rumah

Masih ada yang berfikiran kalau ada duit semua boleh jadi.

Kenyataan ini tidaklah salah tapi boleh mendatangkan salah faham. Kenyataan ini menyatakan kepentingan duit. Berbekalkan kenyataan ini yang sudahpun menjadi moto popular di kalangan masyarakat, rata-rata kita mementingkan gaji besar, bonus besar dan keuntungan besar. Siapa yang tidak mahu semua itu, bukan? Malah kita digalakkan untuk mengusahakan pendapatan yang baik untuk kehidupan yang selesa.

Namun, oleh kerana pemahaman yang berat sebelah, kita sering terlupa kepentingan mengurus wang. Kita lebih mementingkan menjana wang. Kita fikir dengan menjana lebih banyak wang kita boleh beli apa sahaja yang kita mahu—rumah, kereta dan percutian lima bintang.

Walau bagaimanapun, ada sahaja orang berduit yang keretanya ditarik atau rumahnya disita, dan ada sahaja orang yang nampak tidak berduit tapi rumahnya cantik dan selesa; siap boleh diwariskan lagi kepada anak cucu tanpa hutang.

Oleh itu, kenyataannya ialah siapa sahaja boleh beli rumah walaupun bergaji kecil asal pandai mengurus kewangan.

Mari lihat tiga (3) panduan kewangan ini untuk membeli rumah:

1. Pendapatan yang berterusan

Ingat tadi kes orang yang berduit tetapi rumah kena sita? Selalunya ini terjadi kerana pendapatan terputus walaupun dia lebih daripada mampu untuk membeli rumah pada awalnya. Bila hilang kerja atau tutup perniagaan, tiada lagi sumber pendapatan untuk membayar ansuran rumah. Tanpa pengurusan kewangan yang bijak seperti mengadakan simpanan berkala untuk kecemasan (meliputi sekurang-kurangnya 6 bulan sara hidup jika terputus pendapatan), mengekalkan sumber pendapatan alternatif atau pendapatan pasif, atau menyimpan aset mudah cair yang boleh dijual untuk tunai segera, anda bakal berdepan dengan risiko kehilangan tempat tinggal. Maka, sama ada anda bergaji besar atau kecil, pastikan dana untuk ansuran bulanan rumah terjamin. Itu kuncinya.

2. Kemampuan yang selesa

Ini juga bukan soal gaji besar atau kecil. Sekali pandang kita akan berkata makin tinggi pendapatan seseorang makin besar kemampuannya termasuk untuk membeli rumah. Walaupun ada benarnya kenyataan ini tetapi ramai juga orang berduit yang berhempas-pulas membayar ansuran rumah. Pernah dengar orang kata, “Ingat orang rumah besar ni banyak duit”? Ungkapan ini boleh jadi digunakan sebagai alasan untuk tidak meminjamkan atau memberi orang wang, namun mungkin ada betulnya. Walaupun berduit, ada sesetengah orang tinggi komitmen kewangannya sehingga tiada lebihan wang yang selesa untuk keperluan lain. Walaupun mereka mampu membayar semua hutang mereka termasuk pinjaman rumah tetapi mereka tidak berada dalam zon kemampuan yang selesa. Pendek kata, sebahagian besar daripada pendapatan mereka dihabiskan untuk bayar hutang. Kedudukan kewangan sebegini berisiko tinggi kerana bila-bila masa sahaja mereka mungkin perlu menggunakan wang lebih daripada biasa kerana berlaku kecemasan seperti ditimpa kemalangan, jatuh sakit dan sebagainya. Di sinilah masalah terlewat atau gagal membayar balik pinjaman bermula walaupun bagi mereka yang berpendapatan tinggi. Untuk pengurusan kewangan yang bijak, bayaran hutang secara bulanan perlulah tidak melebihi 40% daripada pendapatan bulanan anda. Jika gaji bulanan anda ialah RM3,000 dan bayaran ansuran kereta anda ialah sebanyak RM500 sebulan, kemampuan yang selesa bagi anda untuk membayar ansuran rumah adalah tidak lebih daripada RM700 sebulan. Jadi, tidak kiralah jika anda bergaji besar atau kecil, pastikan jumlah ansuran hutang anda (termasuk pinjaman rumah) tidak melebihi 40% daripada pendapatan bulanan anda. Itu kuncinya.

3. Persediaan kewangan selain ansuran rumah

Sama ada berpendapatan tinggi atau rendah, anda perlu membuat persediaan awal yang lebih rapi untuk membeli rumah. Selain ansuran rumah, kos sekali bayar yang perlu diambil kira termasuklah wang pendahuluan (10% daripada harga rumah), kos-kos guaman untuk perjanjian jual beli (SPA) dan perjanjian pinjaman serta duti setem (cukai kepada kerajaan). Jika anda membeli rumah murah yang berharga RM150,000, mungkin peruntukan tunai sebanyak RM10,000 – RM15,000 untuk kos-kos ini sudah cukup selesa. Ini tidak termasuk kos-kos lain seperti pengubahsuaian jika membeli rumah yang baru siap. Mungkin peruntukan dalam anggaran RM10,000 perlu disediakan bergantung kepada perancangan anda. Apa yang penting di sini ialah sebelum membeli rumah, kos-kos ini perlulah diselidiki lebih awal. Bagi mereka yang bergaji kecil, peruntukan untuk kos-kos ini perlulah dibuat dengan rancangan simpanan sedikit demi sedikit. Malah, bagi yang bergaji besar, perkara yang sama perlu dibuat jika ia melibatkan rumah mewah. Elakkan membuat pinjaman baharu (contohnya pinjaman peribadi yang jauh lebih tinggi kadar faedah atau keuntungannya kerana ia pinjaman tidak bercagar) untuk menampung kos-kos yang disebutkan. Sama ada anda bergaji besar atau kecil, bersedialah dari segi kewangan awal-awal lagi (mungkin beberapa tahun) untuk membeli rumah. Itu kuncinya.

Nah! Itu tiga (3) panduan ringkas tapi menyeluruh untuk membeli rumah. Strategi membeli rumah dan mengekalkannya dengan selesa sepanjang tempoh pinjaman sebenarnya mudah dari segi konsep, namun ia memerlukan kesungguhan dan disiplin untuk merancang dari awal.

Membeli rumah ialah satu pelaburan besar untuk jangka panjang dan bukan seperti pembelian barangan runcit yang boleh dibeli bila-bila masa atau menggunakan kad kredit. Untuk membeli barang dapur pun kita disarankan untuk merancang mengikut bajet apatah lagi membeli rumah. Ingatlah, pembelian rumah yang menguntungkan bukan soal anda seorang yang berduit atau tidak tetapi soal pengurusan wang yang bijak.

Untuk KETENANGAN FIKIRAN & kepuasan hidup melalui PERANCANGAN KEWANGAN, dapatkan panduan kewangan dan tip pengurusan kewangan AKPK secara PERCUMA dalam talian melalui http://ask.akpk.org.my