Pinjaman Kereta Seeloknya Berapa Tahun?

Dalam satu persidangan antarabangsa ada seorang pegawai eksekutif wanita dari Pakistan sedang memberikan ucapan. Beliau yang ketika itu menetap di Amerika Syarikat mengimbau kembali kenangan bersama ibunya. Seperti kebanyakan keluarga Asia, hubungannya dengan ibunya adalah sangat rapat. Banyak ilmu dan petua yang diturunkan daripada ibu kepada anak perempuan terutamanya ilmu dan petua memasak.

Masakan ibunya memang sedap-sedap malah diiktiraf oleh jiran tetangga. Antara petua memasak yang diturunkan kepada pegawai eksekutif wanita ini adalah cara menyediakan ayam sebelum direbus. Ayam seekor tidak direbus kesemuanya sebelum dipotong sedikit di bahagian kaki, dan inilah antara petua yang dipegang oleh pegawai eksekutif ini ketika memasak di rumah sehinggalah ditegur oleh suaminya pada suatu hari. Apa rasionalnya memotong ayam di bahagian kaki sebelum direbus? Soalan itu tidak dapat dijawab lalu ditanyakan kepada sang ibu nun jauh di Pakistan.

Sang ibu juga kurang pasti kerana petua ini juga diturunkan oleh ibunya. Tiada siapa yang pernah bertanya tentang rasional petua itu. Setelah diselidiki barulah jelas rasional petua dua generasi keluarga ini. Pada zaman sang nenek, periuk belanga di rumah tidaklah besar mana dan kerana itulah ayam seekor perlu dipotong sedikit di bahagian kaki agar muat untuk dimasukkan ke dalam periuk.

Semenjak itu, pegawai eksekutif wanita itu tidak lagi memotong ayam seekor di bahagian kaki sebelum direbus.

Walaupun kisah ini tidak berkisar tentang kereta tetapi ia memberi kesedaran tentang kepentingan bertindak mengikut rasional dan bukan mengikut kebiasaan. Sebagai contoh, kebanyakan daripada kita apabila membuat pinjaman untuk membeli kereta baharu biasanya akan memilih tempoh pinjaman selama 7 tahun atau 9 tahun?

9 tahun, bukan? Ini ialah tempoh yang biasanya dipilih kerana kita melihat semakin lama tempoh pinjaman semakin kurang jumlah ansuran yang perlu dibayar setiap bulan. Dalam erti kata lain, kita beranggapan kita lebih mampu membeli kereta baharu itu dengan tempoh pinjaman selama 9 tahun berbanding dengan tempoh pinjaman 7 tahun. Ironinya, tanggapan ini tidak rasional.

Mari kita lihat balik kisah tadi. Memotong ayam seekor di bahagian kaki sebelum direbus memang tidak rasional bagi pegawai eksekutif wanita tersebut tetapi rasional bagi sang nenek. Kita boleh faham kenapa sang nenek potong ayam seekor di bahagian kaki sebelum direbus tapi berasa janggal apabila pegawai eksekutif tadi membuat perkara yang sama selama bertahun-tahun tanpa usul periksa.

Begitulah juga dengan tempoh pinjaman kereta. Bagi mereka yang kurang berkewangan tetapi sangat memerlukan kenderaan untuk urusan hidup dan penghidupan, kita faham rasional mereka memilih tempoh maksimum pinjaman kereta iaitu 9 tahun untuk bayaran ansuran yang lebih rendah. Namun, bagi mereka yang berkemampuan, adalah tidak rasional untuk memilih tempoh pinjaman selama 9 tahun sedangkan kos pinjaman keseluruhan adalah lebih murah jika memilih tempoh pinjaman selama 7 tahun, bahkan 5 tahun.

Mari kita selidik sedikit macam pegawai eksekutif tadi.

Kereta ialah aset susut nilai. Nilai kereta semakin lama semakin menurun. Ini bermakna lebih lama masa diambil untuk membayar habis pinjaman kereta lebih rugi kita sebenarnya. Di Malaysia, nilai kereta menurun pada kadar 10% hingga 20% setahun. Banyak tu!

Fikirkan dua perkara ini. Pertama, jika anda memilih untuk membayar ansuran kereta selama 9 tahun, anda rugi dari segi nilai kereta kerana baki hutang masih ada tetapi nilai kereta menurun dengan banyak. Contohnya, jika anda ingin menjual kereta yang baru sahaja dibeli dua tahun lepas, nilai kereta tersebut sudah banyak turun (anda tidak boleh jual dengan harga tinggi) tetapi baki hutang pula masih banyak. Di sini nampak jelas kerugiannya berbanding rumah yang selalunya nilainya semakin naik dengan masa. Kedua, kos pembaikan kereta juga semakin meningkat saban tahun lebih-lebih lagi jika ia kerap digunakan dan perbatuannya (mileage) pun tinggi sedangkan ansuran kereta masih belum habis dibayar.

Jadi secara rasionalnya, jika kewangan seseorang itu rendah tetapi sangat perlu untuk membeli kereta, mungkin memilih tempoh pinjaman selama 9 tahun untuk ansuran yang lebih rendah boleh diterima. Namun, jika anda berkemampuan—jumlah ansuran bulanan termasuk ansuran kereta tidak melebihi 40% daripada gaji bulanan—atau sudah membuat persediaan kewangan awal-awal lagi untuk membeli kereta (seperti mengkhususkan simpanan atau dana untuk membantu membayar ansuran kereta), memilih tempoh pinjaman kereta selama 7 tahun, bahkan 5 tahun, adalah lebih rasional.

Jadi, persoalannya sekarang, adakah anda mahu mengikut kebiasaan, iaitu lebih tertarik kepada bayaran ansuran yang paling rendah (namun kos pinjaman keseluruhan paling tinggi kerana tempoh pinjaman yang paling panjang), atau anda mahu mengikut rasional, iaitu memilih kos pinjaman yang paling rendah dengan tempoh pinjaman yang paling singkat (walaupun bayaran ansurannya paling tinggi)?

Apa pun pilihan anda, pastikan anda ‘mengukur baju di badan sendiri’. Jangan ikut orang dan jangan ambil mudah dengan mengikut sahaja kebiasaan dalam berfikir tanpa membuat sedikit penyelidikan dan persediaan untuk membuat keputusan kewangan yang lebih tepat. Pilihlah keuntungan jangka panjang dan bukan kesenangan jangka pendek yang sedikit (kecuali anda benar-benar tiada pilihan). Inilah antara intipati pengurusan kewangan.

Kewangan boleh jadi mudah! Dapatkan KETENANGAN FIKIRAN & URUS kewangan dengan tip-tip berguna daripada AKPK:  https://ask.akpk.org.my


AKPK Untuk Esok Yang Lebih Baik.