TABUNG KECEMASAN: BERCEMAS-CEMAS DAHULU, BERLEGA-LEGA KEMUDIAN

Itu bukan peribahasa Melayu.

Ia ciptaan spontan yang mengikut susunan kata peribahasa “bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”, sekaligus meminjam semangat yang sama. Serupa juga dengan peribahasa “siapkan payung sebelum hujan” yang bertujuan memberikan nasihat yang sama, iaitu untuk mengecapi keselesaan atau jaminan hidup di masa hadapan yang penuh tanda tanya, kita hendaklah berusaha keras membuat apa sahaja persediaan yang perlu hari ini.

Apa pun, ungkapan spontan itu bertujuan ‘mengusik’ mereka yang suka bertangguh atau leka. Mereka hanya mengambil serius tentang sesuatu perkara bila sudah kesuntukan masa atau kehabisan sumber.

Ini sebenarnya bukan sangat tentang masalah keadaan yang tidak dijangka tetapi lebih kepada masalah mentaliti yang perlu diperbetulkan. Mentaliti salah dalam mengharungi kehidupan ialah apabila kita menjangka bahawa nasib atau keadaan kita kekal sama. Ada dua natijah daripada mentaliti sebegini.

Pertama, kita tidak merasakan keperluan untuk meningkatkan diri kita untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik. “Bersyukurlah dengan apa yang ada” ialah ungkapan yang sering disalahertikan (berdasarkan intonasi bila menyebutnya) untuk menerima sahaja keadaan sedia ada tanpa soal. Padahal, ia sepatutnya bermaksud menjaga nikmat yang telah kita perolehi serta menggunakan apa sahaja yang kita ada untuk memberi nilai tambah kepada kehidupan kita dan orang lain—bukan mengekalkan status quo.

Kedua, kita selesa dengan keadaan sekarang yang ‘memihak’ kepada kita sehingga kita mengabaikan keperluan untuk membuat persediaan awal kalau-kalau kita ditimpa musibah. Mari lihat peribahasa Inggeris pula kali ini, “If it ain't broke, don't fix it”. Ia boleh disalahertikan untuk bermaksud kalau hidup sudah berjalan baik, biarlah; kenapa bersusah-susah untuk mengubahnya? Padahal, ia bermaksud mengekalkan dan tidak mengganggu sesuatu yang sudahpun berjalan dengan baik. Ini satu soalan yang perlu dijawab oleh mereka yang mengabaikan keperluan untuk membuat persediaan awal; bukankah membuat persediaan awal untuk sebarang kemungkinan buruk akan mengekalkan kehidupan yang sedang berjalan dengan baik ketika ini?

Oleh itu, jika anda mensyukuri perjalanan hidup anda yang baik pada hari ini, jagalah nikmat ini dan pastikan ia tetap berjalan dengan baik di masa-masa akan datang dengan membuat segala persediaan hari ini untuk segala kemungkinan hari esok.

Maka apa yang perlu kita buat dari segi kewangan untuk membetulkan dua natijah daripada mentaliti yang diterangkan tadi? Untuk natijah pertama, salah satu perkara penting untuk dibuat ialah menabung untuk masa depan manakala untuk natijah kedua pula, menabung untuk kecemasan.

Baik, dalam keadaan sekarang yang menyaksikan ramai yang terkesan dari segi ekonomi, kebanyakan daripada kita tidak ada duit lebih untuk menyimpan. Betulkah begitu? Ya, mungkin ada betulnya tapi ada caranya jika kita mahu menyimpan. Kata kuncinya ‘mahu’. Ikuti langkah-langkah berikut.


1. Kenali dulu ke mana duit anda dibelanjakan

Cuba duduk sebentar dan luangkan masa menilai perbelanjaan anda setiap bulan. Rata-rata, mungkin boleh dikatakan antara perbelanjaan yang tinggi ialah perumahan (ansuran atau sewa), pengangkutan seperti kereta (ansuran) dan juga barang keperluan rumah atau dapur termasuk pesanan makanan dan barangan secara online (lebih-lebih lagi dalam tempoh PKP ni). Perbelanjaan lain yang lebih kecil mungkin termasuk pakaian dan aksesori, bil utiliti, petrol dan tol, pendidikan serta hiburan. Ini sekadar contoh kerana ada antara kita yang mempunyai keperluan dan seterusnya perbelanjaan yang unik dan berbeza. Bagaimanapun, apa yang penting di sini adalah membutirkan perbelanjaan anda setepat mungkin. Jika kita benar-benar serius, ada kemungkinan besar kita sebenarnya ada duit untuk menyimpan.

2. Kurangkan belanja yang boleh dikurangkan

Ada suatu ketika dahulu, Jobstreet membuat tinjauan tentang perbelanjaan yang dikurangkan oleh rakyat Malaysia bila menghadapi situasi kos sara hidup yang tinggi. Jobstreet mendapati cara yang paling banyak dibuat oleh rakyat Malaysia untuk mengurangkan perbelanjaan adalah dengan mengurangkan keluar makan tengahari bersama-sama kawan sepejabat, iaitu sebanyak 56% daripada responden yang ditinjau.

Cara ini mungkin tidak relevan sekarang kerana kebanyakan daripada kita bekerja dari rumah. Namun, apa yang hendak dibangkitkan di sini ialah kita harus mampu melihat apa kebiasaan kita yang boleh kita kurangkan sebenarnya untuk menjimatkan kos.

Mungkin sekarang ini, dengan kerja dari rumah yang adakalanya tidak mengira batasan waktu serta faktor kebosanan kerana lebih terperap di rumah, kita lebih banyak berbelanja untuk makanan, barangan, gajet, aksesori dan seumpamanya secara dalam talian. Cuba fikirkan; adakah kita sebenarnya boleh mencari ketenangan dengan cara lain (bermeditasi, bersenam, berpuasa, beribadat dan sebagainya) agar kita boleh mengurangkan pergantungan kepada makanan dan minuman serta barangan hanya untuk keselesaan semata-mata? Jika ini yang sebenarnya berlaku dan boleh pula dikurangkan, maka kita sudahpun mempunyai wang lebihan untuk disimpan. Syabas! Ini hanya satu contoh. Ada banyak lagi yang kita boleh fikirkan di mana perbelanjaan boleh dikurangkan.

3. Simpan dahulu sebelum berbelanja

Ya, ini mungkin agak sukar sekarang jika kewangan kita terkesan dengan keadaan semasa. Ini yang kita bincangkan awal-awal tadi, iaitu bersedia untuk sebarang kemungkinan terutamanya pada waktu keadaan masih ‘memihak’ kepada kita. Namun, kita masih belum benar-benar terlambat. Jika kita berjaya mengesan dalam langkah dua tadi perbelanjaan bulanan manakah yang boleh dikurangkan, kita sudahpun boleh memperuntukkan beberapa peratus daripada pendapatan bulanan kita untuk disimpan. Jika pengurangan perbelanjaan dalam langkah dua tadi adalah sebanyak 5% daripada pendapatan bulanan kita, secara mudahnya, kita boleh memperuntukkan 5% daripada pendapatan bulanan untuk simpanan. Simpan siap-siap 5% itu sebelum selebihnya dibelanjakan. Namun, cuba usahakan untuk menyimpan sekurang-kurangnya 10% atau lebih setiap bulan atau setiap kali peluang itu timbul pada bulan-bulan tertentu. Itu adalah lebih baik.

4. Simpan ‘durian runtuh’ anda

Pada waktu ini, bonus, hadiah tunai atau kenaikan gaji yang besar mungkin kelihatan agak mustahil. Namun, ada yang boleh mengecapinya. Rezeki lain-lain bak kata orang. Jika anda beroleh ‘durian runtuh’ sebegini termasuklah imbuhan tunai daripada perniagaan online anda (yang anda ceburi semenjak PKP tahun lalu), pelaburan, dan insentif serta bantuan daripada kerajaan mahupun mana-mana pihak, janganlah terus dibelanjakan. JIka boleh, simpan kesemuanya dalam akaun simpanan anda; sebahagiannya sebagai simpanan masa depan dan sebahagiannya lagi sebagai tabungan kecemasan. Kalau perlu dibelanjakan untuk keperluan mustahak, belanjalah. Namun, usahakanlah sungguh-sungguh agar anda masih boleh menyimpan sebahagian daripada ‘durin runtuh’ ini. Ingat, namanya pun ‘durin runtuh’ yang bererti ia datang bermusim atau sekali-sekala. Jangan lepaskan peluang ini untuk menambah simpanan. Bukan mudah untuk menyimpan secukupnya bagi keperluan masa depan atau kecemasan. Secara amnya, tabung kecemasan anda perlu cukup untuk menyara kehidupan anda dan tanggungan anda selama sekurang-kurangnya enam bulan jika anda terputus pendapatan. Oleh itu, ambillah peluang yang datang bermusim atau sekali-sekala ini untuk mencukupkan tabungan kecemasan anda, terutamanya.


Demikianlah empat langkah untuk membantu anda menyediakan simpanan secukupnya sama ada untuk kegunaan masa depan mahupun kecemasan yang tidak dijangka. Dalam keadaan yang sukar, sememangnya kita cuba menggunakan segala wang yang ada untuk mengekalkan keselesaan yang kita nikmati selama ini. Namun, jika keadaan ini adalah juga disebabkan oleh kelalaian kita selama ini untuk ‘menyiapkan payung sebelum hujan’, adalah lebih bijak jika kita mengorbankan sedikit keselesaan untuk mula menabung sebagai persediaan untuk hari-hari mendatang yang belum tentu pulih sepenuhnya.

Kita mungkin lega sekarang jika kita gunakan wang yang ada untuk mengekalkan keselesaan namun kita mungkin kembali cemas di kemudian hari jika kita tidak mahu berkorban sedikit untuk membina ketahanan kewangan sendiri. Kerana itulah kita perlu BERCEMAS-CEMAS SEKARANG, BERLEGA-LEGA KEMUDIAN.

Semoga kita kekal tabah, selamat dan berhemat.

Anda memerlukan STRATEGI MENYIMPAN YANG BAIK. Kukuhkan kewangan anda dengan tip kewangan AKPK: https://ask.akpk.org.my


AKPK Untuk Esok Yang lebih Baik