Perniagaan Bagaimana Yang Dapat Mengharungi Pandemik Menurut Bank Dunia?

Perniagaan Bagaimana Yang Dapat Mengharungi Pandemik Menurut Bank Dunia?

Perniagaan, khususnya perindustrian kecil dan sederhana (PKS), sedang menghadapi waktu yang mencabar ekoran pandemik COVID-19. Rata-rata PKS terjejas kerana mobiliti pelanggan dan perkhidmatan yang terbatas. Kesannya, hasil jualan dan juga keuntungan berkurang sehingga sukar untuk bertahan. 

Namun, ada juga perniagaan yang masih dapat bertahan malah tidak terlalu terjejas dengan situasi semasa. Apa rahsia mereka?

Mari kita lihat apa yang Bank Dunia dapati.

Kertas kerja Bank Dunia baru-baru ini yang menggunakan Survei Perusahaan Bank Dunia dari tahun 2019 dan 2020 berserta satu siri tinjauan susulan yang dilakukan sejak bermulanya penularan wabak COVID-19 menunjukkan ciri-ciri persamaan antara perniagaan yang terselamat daripada krisis COVID-19. Ciri-ciri tersebut menunjukkan perniagaan-perniagaan ini ialah perniagaan yang lebih lama bertapak dan lebih produktif, cenderung ke arah inovasi, menggunakan teknologi digital, dan beroperasi dalam lingkungan perniagaan yang kurang membebankan.

Pendek kata, untuk meningkatkan kemungkinan untuk PKS kita berjaya mengharungi pandemik COVID-19 ini, mari pertingkatkan 4 perkara asas ini:

1. Produktiviti

Walaupun pergerakan dan interaksi manusia terganggu sepanjang pandemik ini, PKS perlu memikirkan jalan untuk sentiasa meningkatkan produktiviti kerja dan penghasilan syarikat. Kajian di atas mendapati perniagaan yang bertahan sewaktu pandemik mempunyai kadar jualan bagi setiap pekerja yang tinggi. Dalam erti kata lain, produktiviti mereka tinggi. Oleh itu, jika PKS dapat memikirkan bagaimana setiap pekerja dapat difokuskan untuk meningkatkan jualan atau penghasilan, PKS boleh mengurangkan kesan pandemik ini terhadap perniagaan mereka. Contohnya, pekerja yang berkerja dari rumah boleh juga dilibatkan dalam aktiviti mencari pelanggan melalui perhubungan telefon atau dalam talian termasuk di media sosial.


2. Inovasi

Pengenalan produk baharu di pasaran juga menunjukkan pentingnya kemampuan perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan kondisi pasaran yang berubah dengan cepat akibat pendemik COVID-19 ini sebagai satu cara untuk meningkatkan daya tahan perusahaan dalam waktu krisis. Oleh itu, PKS perlu memikirkan kelainan yang boleh diberikan kepada pelanggan dari segi produk, perkhidmatan dan proses transaksi setelah mengambil kira keterbatasan dan cabaran pelanggan mahupun PKS itu sendiri. Contohnya, kedai makan yang terkenal dengan kesedapan sambalnya (yang selama ini tidak dijual pun) kini menjual sambal tersebut dalam botol yang mempunyai nilai komersial. 


3. Pendigitalan

Penggunaan teknologi juga menjadi sangat relevan semasa krisis COVID-19 ini sebagai cara untuk mengimbangi keterbatasan fizikal yang dikenakan untuk penjarakan sosial dan fizikal. Penggunaan teknologi digital sangat penting untuk PKS bertahan dalam waktu yang mencabar sekarang ini. Antara contoh yang mungkin anda tahu ialah penggunaan teknologi digital bagi kelangsungan perniagaan yang secara tradisinya banyak melibatkan sentuhan seperti kelas-kelas kecergasan, gimnasium dan kelas seni mempertahankan diri. Mereka kini bukan sahaja menawarkan kelas dalam talian tetapi juga menjual perkhidmatan dari segi tunjuk ajar seni dan kemahiran melalui rakaman video dan juga buku elektronik.


4. Pentadbiran

Akhir sekali, beroperasi dalam persekitaran perniagaan yang membebankan nampaknya menjadi faktor penyumbang kepada penutupan perniagaan. Secara umumnya, peraturan atau prosedur operasi yang fleksibel (kurang karenah birokrasi) dan pentabdiran perniagaan yang baik, penting untuk kelangsungan hayat syarikat. Ada dua perkara di sini yang perlu diambil perhatian. Pertama, prosedur operasi syarikat hendaklah cukup tetapi mudah untuk kemudahan pekerja memberikan perkhidmatan dan kemudahan pelanggan mendapatkan perkhidmatan. Kedua, operasi syarikat hendaklah teratur dan berjalan lancar tanpa berlakunya pembaziran masa dan tenaga kerana pentadbiran syarikat yang tidak tersusun. Pendek kata, syarikat yang tersusun (organised) dan fleksibel (agile and lean) lebih kukuh dan mudah untuk menyelusuri liku-liku perniagaan dalam waktu pandemik.

Itulah serba sedikit pelajaran yang boleh diambil oleh PKS untuk mengharungi waktu yang mencabar sekarang ini. Jika anda memerlukan sebarang khidmat nasihat tentang pengurusan kewangan PKS atau bantuan bayaran balik pembiayaan, sila hubungi Meja Bantuan PKS AKPK di akpk.org.my/mejabantuanpks.

AKPK Sahabat Kewangan Anda

Rujukan: https://blogs.worldbank.org/developmenttalk/surviving-pandemic-business-perspective