KALAU ANDA DILAHIRKAN KAYA TETAPI TIDAK KAYA-KAYA, LALU BAGAIMANA?

KALAU ANDA DILAHIRKAN KAYA TETAPI TIDAK KAYA-KAYA, LALU BAGAIMANA?

Anda dilahirkan kaya.

Itu kata Bob Procter—seorang pakar motivasi terkenal dari Kanada—yang menjadi judul bukunya ‘You are born rich’. Buku ini diterbitkan dalam era 80an. Beliau juga pengarang buku ‘The Secret’ yang mengetengahkan konsep ‘The Law of Attraction’ yang menerangkan bagaimana sesuatu yang terjadi di alam nyata bermula dengan pemvisualannya dahulu dalam pemikiran.

Berbalik kepada buku beliau ‘You are born great’, betulkah anda dilahirkan kaya? Bagaimana kalau anda dilahirkan dalam keluarga miskin; adakah anda tetap dilahirkan kaya?

Untuk memahami maksud Bob Procter, eloklah kita membaca buku beliau itu. Sekarang mudah. Cari sahaja buku berkenaan secara dalam talian, buat pembayaran dan tunggu pautan e-buku tersebut melalui e-mel atau penghantaran naskhah ke rumah. (nota: kalau anda tidak percaya tapi tidak mahu berusaha mengetahui apa yang Bob Procter maksudkan, mungkin betullah apa yang anda percaya).

Walau bagaimanapun, dalam artikel ini, persoalan bahawa kita dilahirkan kaya—walaupun mungkin ibu bapa kita tergolong dalam kumpulan B40 yang paling bawah, iaitu pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,500—akan dihuraikan dengan pendekatan yang tersendiri.

Artikel ini ingin menerangkan bahawa ‘anda dilahirkan kaya’ sebenarnya bermaksud siapa sahaja boleh menjadi kaya tanpa mengira siapa ibu bapanya, dari mana asalnya, malah, dalam sesetengah kes, tanpa mengira apa kondisinya ketika dilahirkan. Oleh itu, ya, anda memang dilahirkan kaya.

Kalau anda kenal siapa Oprah Winfrey dan anda boleh kembali ke tahun 1954 ketika Oprah dilahirkan, apa kenyataan anda terhadap Oprah ketika itu? “Multibillionaire pertama berkulit hitam di Amerika Utara telah lahir” atau “Bayi seorang perempuan remaja kampung tanpa suami telah lahir”? Kenyataan yang pertama, bukan? Padahal, ketika membesar di bawah jagaan neneknya, Oprah memakai karung guni kentang sebagai satu-satunya baju yang beliau miliki.

Maka, jelas Oprah Winfrey dilahirkan kaya walaupun ibu yang melahirkannya terlalu muda dan tidak terurus kehidupan dan kewangannya. Jika faktor ibu bapa boleh dipangkah, faktor dari mana asal seseorang itu juga boleh. Oprah juga dilahirkan dan dibesarkan di kawasan pedalaman Mississippi—negeri yang paling banyak kanak-kanak pedalaman yang miskin di Amerika Syarikat (ini data 2016; bayangkan keadaannya pada era 50an). Faktor kondisi seseorang ketika dilahirkan juga boleh dipangkah. Satu contoh ialah seorang penceramah motivasi warga Australia yang sudah berceramah kepada lebih daripada 3 juta orang di hampir 60 negara termasuk Malaysia. Beliau dilahirkan tanpa tangan dan kaki akibat sindrom tetra-amelia. Walaupun beliau bukan seorang jutawan tapi nilai bersih atau net worth beliau adalah jauh lebih tinggi daripada kebanyakan manusia normal. Dan, apa yang lebih penting ialah sumbangan beliau kepada masyarakat dunia melalui ceramah, penulisan dan kerja-kerja kemasyarakatan melalui organisasi bukan untung yang beliau asaskan, iaitu ‘Life Without Limbs’.

Nampak sekarang bahawa anda sebenarnya dilahirkan kaya?

Walaupun ibu dan ayah miskin, persekitaran tidak memberangsangkan atau kekurangan upaya, semua kisah hidup mereka yang berjaya di luar jangkaan menunjukkan dua faktor yang penting untuk digarap. Ingat formula ini: 2P atau PP.

P yang pertama ialah potensi. Walaupun keadaan hidup tidak memihak kepada kita, tiada siapa yang boleh mengambil potensi diri kita kecuali kita yang mensia-siakannya. Setiap orang ada potensi, iaitu kecenderungan dan bakat semulajadi yang boleh digunakan untuk menjadi orang yang bernilai tinggi. Potensi ini perlu dicari di dalam diri sendiri melalui penilaian kendiri yang bersungguh-sungguh.

P yang kedua ialah peluang. Ia merupakan teman atau pasangan kepada potensi. Tanpa peluang, potensi hanya akan kekal sebagai potensi yang tidak dapat dizahirkan dan dimanfaatkan untuk membina kehidupan yang cemerlang. Peluang ini perlu dicari di luar diri sendiri. Apa yang penting ialah kita peka dan aktif mencari peluang serta bersedia mengambil peluang yang datang. Ada orang yang hidup di zaman dan tempat yang mendatangkan 1001 peluang , namun gagal hidupnya kerana tidak peka, malas bahkan takut untuk mengambil peluang di depan mata.

Dalam konteks kewangan, tidak kira sama ada anda sekarang ini senang atau susah, teruslah mencari segala potensi diri yang boleh dizahirkan untuk kehidupan yang cemerlang. Bak kata orang putih, “Live life to your fullest potential”. Walau serba kekurangan, cuba fikirkan apa bakat dan kecenderungan anda yang boleh menarik minat dan permintaan ramai sehingga boleh menjana pendapatan. Kalau perlu diasah, asah bakat tersebut dengan pelbagai usaha seperti membaca, berguru dan mencuba. Kemudian, cari peluang untuk mengusahakan dan memasarkan apa sahaja produk atau perkhidmatan yang berasaskan bakat dan kecenderungan anda tadi. Persiapkan diri dengan ilmu untuk memanfaatkan peluang serta terus belajar (ambil nota) daripada pengalaman sendiri mahupun orang lain dalam bidang yang anda ceburi.

Jika anda kata, “Biasalah tu. Semua orang buat begitu. Ada yang tak kaya pun?” Ha! Di sinilah formula 2P atau PP itu perlu difahami betul-betul. Formula ini perlu diulang-ulang sehinggalah anda dapat mencungkil lagi bakat terpendam yang lain daripada orang lain. Dan, teruskan mencari peluang-peluang lain yang lebih baik dan lebih unik berbanding dengan apa yang kebanyakan orang guna. Dalam perniagaan, ini dipanggil ‘differentiation’ atau ‘pembezaan’.

Ini kuncinya untuk menambah nilai perusahaan anda. Lagi berbeza anda daripada kebanyakan orang dalam penghasilan dan penyampaian produk dan perkhidmatan anda (yakni lebih sukar ditiru) lebih banyak permintaan yang akan berpihak kepada anda. Ini kunci membina kekayaan melalui ‘pembezaan’dan kuasa ‘pembezaan’ ini ada dalam diri anda dan hanya menunggu untuk ditemui.

Jika setiap manusia berusaha bersungguh-sungguh mencari ‘pembezaan’ ini dalam diri masing-masing dan memperkenalkannya kepada dunia, bayangkan betapa meriahnya dunia ini dengan pelbagai produk dan perkhidmatan yang tak terfikir oleh akal kita sekarang ini.

Oleh kerana itulah, artikel ini berpendapat bahawa anda sememangnya dilahirkan kaya.

Mahu baca lebih banyak lagi artikel AKPK? Layari ask.akpk.org.my.

AKPK Untuk Esok Yang Lebih Baik.