Hidup Ini Adil Atau Tidak Bergantung Kepada Siapa?

Ada orang berkata hidup ini tidak adil. Bagi mereka, ia tidak pernah adil dan tidak akan pernah adil, jadi bagaimana?

Ramai orang mengadu tentang bagaimana hidup ini tidak adil dan bagaimana keadaan menjadi buruk dalam hidup mereka. Sedarlah, hidup memang begitu, namun anda perlu melaluinya tanpa mengharapkan untuk sentiasa mendapat apa yang anda mahu.

Jika anda sedang membaca artikel ini, anda tentu mempunyai makanan untuk dimakan, tempat tinggal, pakaian, dan akses kepada komputer dan internet. Ini bermaksud anda mempunyai kelebihan berbanding dengan sesetengah orang di seluruh dunia yang hanya mampu memikirkan satu perkara sahaja—makanan untuk hidup.

Kenapa hidup tidak adil?

Kita akan hilang kebahagiaan jika mengharapkan hidup ini tidak akan pernah menyakitkan dan ia akan sentiasa berjalan lancar. Sekiranya hidup kita begitu, maka kita semua akan tetap menjadi orang purba yang masih menggunakan batu untuk menyalakan api atau masih memakai kulit binatang sebagai pakaian.

Anda tidak boleh mengharapkan hidup ini adil kepada anda hanya kerana anda seorang yang baik atau anda bekerja dengan bersungguh-sungguh. Hidup mempunyai peraturannya sendiri, rumit dan tidak sama untuk semua orang.

Malah, hidup ini sangat tidak adil kerana kita dibawa ke dalam kehidupan tanpa persetujuan kita, dan kematian pula tidak meminta izin kita sebelum membawa kita pergi.

Pernahkah anda terfikir mengapa orang menderita? Mengapa perkara buruk berlaku pada orang baik? Mengapa semua orang di sekitar anda nampaknya berjaya dan semua yang anda lakukan gagal? Mengapa anda selalu tidak merasa istimewa? Mengapa orang mengecewakan anda? Mengapa anda tidak dapat pekerjaan, tawaran atau jawatan yang anda mahukan? Mengapa anda sakit?

Kita menderita kerana kita hanya memikirkan bagaimana hidup tidak adil kepada kita, bertanya mengapa itu dan ini, membandingkan diri kita dengan orang lain, tanpa mahu menerima apa yang berlaku dan terus melangkah maju. Setiap orang dalam kehidupan ini mempunyai bahagian mereka masing-masing. Anda hanya perlu berjuang untuk bahagian anda tanpa perlu membandingkan diri anda dengan sesiapa.

Pada saat anda mula memikirkan bahawa hidup harus adil kepada anda, maka itu ialah satu penyimpangan pemikiran. Oleh kerana itulah, pemikiran bahawa hidup harus selalu sempurna dan adil kepada kita dalam segala hal—padahal ia tidak begitu—akan menyebabkan kemurungan kerana bertentangan dengan pemikiran yang waras.

Hidup bukanlah untuk mereka yang hanya berusaha sekali kemudian menyerah tetapi sebaliknya, untuk mereka yang bertekad dan berfikiran kuat untuk terus berusaha sehingga mereka mendapat apa yang mereka inginkan.

Apa yang perlu saya buat sekarang?

1. Dorong diri anda ke tahap yang lebih tinggi

Bila hidup tidak adil kepada anda, jangan terus menyerah dan bertanya mengapa itu dan ini. Hidup ialah pembelajaran yang tidak pernah berakhir. Sesuatu yang buruk berlaku kepada anda ialah peluang untuk belajar sesuatu yang baharu—tentang diri anda, tentang cara dunia berfungsi, dan siapa di sekitar anda yang boleh mendorong anda ke tahap baharu. 

Hidup kadang-kadang tidak adil kepada kita kerana mahu mengeluarkan kita dari zon selesa dan mempersiapkan kita untuk cabaran yang lebih besar di masa hadapan.

2. Bertanding dengan diri sendiri

Hidup memang satu persaingan tetapi anda hanya bersaing dengan siapa diri anda semalam. Jangan membandingkan diri anda dengan orang lain. Lakukan apa yang anda boleh untuk bahagia.

Semua orang ada perjuangan masing-masing dalam hidup—itu tidak dapat dielakkan. Bayangkan betapa bosannya hidup tanpa cabaran kerana kita tidak akan pernah matang dan belajar tanpa melalui masa-masa sukar; kita hanya akan ke sana ke sini tanpa arah dengan perasaan buntu dan bosan.

3. Sedar bahawa sakit bukan selamanya

Masa-masa sukar serta rintangan membuat kita sentiasa peka dan berwaspada, mendorong kita untuk berubah, menambah baik, dan terus mengatasi keterbatasan agar tidak terjebak dalam perangkap keselesaan. Hanya kerana keadaan kelihatan sukar dan menyedihkan sekarang, tidak bermakna ia akan kekal begitu.

Apa yang pasti, sakit tidak akan kekal selamanya dan kerana rasa sakit itulah anda boleh nikmati rasa gembira nanti. Oleh itu, jangan simpan rasa sakit itu. Biarlah ia berlalu.

4. Kawal hidup anda dengan keputusan anda

Anda tidak dapat mengawal perkara di sekeliling anda; semua perkara di dunia ini telah diprogramkan dan diatur. Walau bagaimanapun, anda mempunyai tahap kawalan yang tinggi terhadap kehidupan anda pada bila-bila masa melalui keputusan anda. Anda boleh memutuskan dengan siapa anda berhubungan, apa yang harus dimakan, di mana anda tinggal, apa pekerjaan yang harus dilakukan, dan bagaimana anda berkelakuan. Walaupun kadang-kadang semua ini dipengaruhi oleh faktor luaran, keputusan untuk menyerah kepada faktor-faktor tetap milik anda. Pada saat anda rasa lemas dengan keputusan anda sendiri, anda hanya perlu keluar daripada keputusan yang telah anda buat. Dan, ya, ia memerlukan keberanian.

5. Fokus kepada masa sekarang

Anda perlu fokus kepada masa sekarang. Terima apa yang telah berlaku dan teruskan hidup. Jangan terlalu memikirkan masa lalu dan apa yang akan berlaku pada masa akan datang; fikirkan masa sekarang.

Ketika dalam krisis, anda boleh merasa seperti dilanda taufan yang menarik anda dari pelbagai arah, sehingga sukar mencari jalan mana yang hendak diambil. Masa lalu sudah terlepas dan masa depan pula dipenuhi dengan kemungkinan yang entah ada entah tidak.

Ambillah jalan masa sekarang kerana walaupun masa lalu menyedihkan dan masa depan membingungkan, anda akan mendapati masa sekarang lebih aman dan terkawal. Oleh itu, fokus kepada masa sekarang.

6. Terima kebenaran: hidup tidak selalu adil

Pada saat anda mula memikirkan mengapa hidup anda sukar, ketika itulah anda mula tidak berlaku adil kepada diri sendiri. Terimalah hakikat bahawa anda tidak boleh selamanya gembira, menang atau tidak jatuh sakit. Setiap cabaran menjadikan anda lebih kuat apabila anda mengatasinya.

Pernah kalah tidak menjadikan anda orang yang kalah. Sekiranya anda terus menang tanpa kalah, anda tidak akan dapat menerima kehilangan apa yang anda hargai ketika anda kalah. Bangga diri yang berlebihan kerana tidak pernah kalah akan membawa kepada ketidakpuasan hati dan kemurungan bila anda akhirnya dipaksa menerima kenyataan hidup.

Ingatlah, ketika jangkaan anda gagal, terimalah kenyataan dan teruskan hidup.


Demikianlah sedikit motivasi untuk kita terus bersemangat mengubah nasib hidup kita. Ambil semangat petikan daripada video pesanan khidmat mayarakat AKPK ‘LAWAN’:

“LAWAN dan BUKTIKAN kepada mereka yang tersayang yang engkau tidak gentar akan kekalahan”

Saksikan video penuh ‘LAWAN’ di YouTube: https://youtu.be/kKjj-r15A6g. Persoalannya bukan hidup ini adil atau tidak tetapi adakah kita adil kepada diri sendiri dan mereka yang tersayang.

AKPK untuk Esok Yang Lebih Baik.


Sumber: Artikel ini diadaptasi daripada artikel “Life Is Unfair, Now What?” oleh Oyetoke Tobi Emmanuel.