URUS bersama Azraei Muhamad | Moratorium : Bahagian 1

Covid-19: Moratorium Bahagian I (2020)
Oleh Azraei Muhamad


MORATORIUM?


Sebaik kerajaan mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 untuk mengekang penularan wabak Covid-19 yang mula melanda dunia, keadaan menjadi sedikit panik. Pandemik dengan skala sebesar ini tidak pernah berlaku sejak 100 tahun yang lepas! Generasi yang berhadapan dengan wabak ‘Spanish Flu’ yang berlaku pada tahun 1918 pula sudah tidak lagi mampu berkongsi pengalaman mereka. Jadi boleh dikatakan, rata-rata kita tidak pernah melihat pandemik sebesar ini seumur hidup.

Untuk melawan ‘musuh halimunan ini’ yang menjangkiti manusia melalui sentuhan manusia-ke-manusia, penjarakan sosial/fizikal (physical/social distancing) dan kawalan pergerakan (lockdown) adalah kaedah terbaik selagi mana vaksin belum berjaya ditemui atau dicipta. Negara-negara di seluruh dunia yang terkesan dengan wabak ini terpaksa mengambil keputusan untuk menghadkan dan mengawal pergerakan dalam usaha untuk mengurangkan penyebaran virus ini dalam kalangan masyarakat. Walaupun usaha ini berjaya untuk membendung masalah kesihatan daripada terus menular, ia membawa kesan buruk yang lain pula kepada negara dan rakyat – ekonomi dan kewangan.

Ramai yang mula terkesan dengan pandemik ini dari sudut ekonomi dan kewangan. Perniagaan tidak lagi mampu untuk beroperasi seperti biasa, dan orang ramai kehilangan pekerjaan akibat daripada itu. Dalam situasi terbaik, keadaan bakal pulih dalam enam bulan yang akan datang (bergantung juga kepada vaksin). Sebaliknya, ia mungkin mengambil masa 1-2 tahun untuk keadaan kembali pulih jika situasi tidak memihak kepada kita.

Sebagai langkah membantu mengurangkan beban rakyat, masyarakat, dan industri, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan satu langkah yang agak asing dalam kalangan kita – moratorium pinjaman bank. Timbul kekeliruan dan persoalan dalam kalangan orang ramai apabila pengumuman dibuat pada awalnya. Apa dia motarorium ni? Motorarium? Morotorium? Nak mengejanya pun ada yang sampai keliru.

Moratorium (Mo-ra-to-ri-yum) ni sebenarnya adalah satu penangguhan terhadap sesuatu aktiviti/tindakan. Dalam konteks moratorium pinjaman bank yang diumumkan kerajaan, ia adalah penangguhan pembayaran pinjaman kepada institusi kewangan, bertujuan untuk memastikan peminjam dapat penangguhan sementara daripada membayar pinjaman untuk satu tempoh. Objektifnya adalah untuk membantu kita mempunyai cash-in-hand atau wang dalam tangan kita dalam mendepani pandemik ini.

Dengan pengumuman moratorium selama 6 bulan yang diumumkan, maka peminjam dapat menangguhkan pembayaran pinjaman tadi bermula 1 April 2020 sehingga 30 September 2020. Ini sekaligus dapat meringankan beban masyarakat dan para peniaga daripada perlu memikirkan tentang membayar hutang dalam tempoh yang sukar ini.


MORATORIUM MENIMBULKAN MASALAH BAHARU


Namun, realiti masih tidak semudah yang dibayangkan. Pada permulaan pengumuman ini dibuat, moratorium ini adalah bersifat ‘permohonan bersyarat’. Ini bermakna, mereka yang berminat untuk mendapatkan moratorium ini perlu memohon dengan institusi kewangan mereka dan melampirkan dokumen berkaitan seperti kehilangan punca pendapatan atau disahkah positif Covid-19 untuk membuktikan mereka layak menerima pelepasan ini.

Syarat ini menimbulkan beberapa siri masalah. Pertama, peminjam terpaksa keluar ke bank untuk membuat permohonan. Hal ini bercanggah (defeat the purpose) dengan perintah kawalan pergerakan yang bertujuan untuk mengurangkan interaksi sesama manusia.

Keduanya, permohonan bersyarat bermaksud tidak semuanya layak. Syarat pembuktian pendapatan peminjam terjejas ekoran pandemik bermaksud rantaian ini masih menimbulkan masalah lain. Sebagai contoh, penyewa yang terjejas pendapatannya, masih perlu membayar sewa kepada tuan rumah kerana tuan rumahnya tadi tidak tergolong dalam kategori mereka yang layak membuat permohonan.

Dan ketiganya, kekeliruan samada kadar faedah (interest rate) pinjaman akan dikenakan faedah berganda (compounded interest) atau sebarang caj tersembunyi akibat penangguhan ini juga menyebabkan ramai yang merasa tertindas dan tertekan sekiranya mereka memilih untuk memohon kelonggaran ini.

Sehubungan dengan itu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan moratorium automatik tanpa faedah terakru kepada semua pinjaman kecuali kad kredit selama enam bulan bermula April 2020 sehingga September 2020. Ini bermakna, semua peminjam, tak kira kategori dan status, layak menerima kelonggaran ini.


SIMPAN, BELANJA, ATAU LABUR?


Jadi, dengan pengumuman mengenai kaedah moratorium melalui pakej bantuan kerajaan ini, masalah-masalah tadi dapat dikurangkan dan rakyat serta industri sekurang-kurangnya dapat bertenang (peace of mind) daripada memikirkan tentang membayar pinjaman selama setengah tahun. Sekarang, tanggungjawab terletak pula kepada peminjam, iaitu kita sebagai rakyat. Dengan lebihan wang tunai yang ada dalam poket kita ini, apa yang perlu kita lakukan dengan duit tersebut?

Ada beberapa pecahan yang boleh kita lihat dalam menguruskan lebihan wang tunai ini. Untuk tujuan situasi kes, kita ambil contoh termudah, pinjaman pembiayaan kereta dengan jumlah RM500 setiap bulan yang dimiliki oleh Ali:

  • Belanja

    Tujuan utama moratorium diperkenalkan adalah bagi meringankan beban masyarakat, khususnya mereka yang terjejas ekonomi akibat pandemik. Buat mereka yang hilang punca pendapatan, fokus perbelanjaan semestinya adalah menggunakan wang simpanan yang ada untuk keperluan asas seperti makanan demi kelangsungan hidup.

    Dengan RM500 bulanan yang perlu dibayar untuk pembiayaan kereta, moratorium 6 bulan ini akan memberikan Ali sehingga RM3,000 lebihan wang di dalam tangannya yang tidak perlu dibayar ke bank dan sebaliknya boleh digunakan untuk perbelanjaan keperluan asas tadi. Dan jika Ali hilang punca pendapatan akibat diberhentikan kerja misalnya, sekurang-kurangnya untuk 6 bulan, Ali tidak perlu mengeluarkan wang untuk membayar pinjaman.

    Fokus membelanjakan wang untuk keperluan asas ini juga memberi kesan limpahan atau spillover effect dalam merancakkan semula ekonomi yang lembap ketika pandemik. Wang yang dibelanjakan sedikit sebanyak dapat membantu para peniaga untuk meneruskan perniagaan mereka, sekaligus melangsungkan kehidupan.


  • Simpan

    Selain dibelanjakan, moratorium juga membantu masyarakat dalam aspek yang berbeza, untuk kategori golongan yang berbeza, iaitu golongan yang tidak terjejas pendapatannya. Memandangkan pandemik ini menimbulkan keadaan yang tidak menentu, lebihan wang daripada penangguhan pembayaran pinjaman ini tadi boleh digunakan untuk membantu kita membuat simpanan wang kecemasan, takut takut kesan ekonomi terjejas ini berlarutan.

    Ali yang masih mempunyai pekerjaan dan pendapatan bulanan, boleh membuat simpanan kecemasan sebanyak RM3,000 dalam tempoh 6 bulan ini dengan lebihan wang moratorium tadi. Walaupun beliau masih mampu untuk membayar pinjaman bulanan ini, namun tabung kecemasan tadi dapat membantu sekiranya keadaan yang tidak dijangka berlaku, contohnya terpaksa diberhentikan kerja kelak.

    Ini sedikit sebanyak dapat mempersiapkan dirinya untuk menghadapi hari akan datang yang penuh ketidaktentuan.


  • Labur

    Dan akhir sekali, sudah tentu dalam setiap situasi yang berlaku, akan ada golongan yang melihat setiap masalah sebagai satu peluang. Dan pandemik ini juga, dilihat sebagai ‘suci dalam debu’ atau bless in disguise buat sebilangan kecil golongan yang opportunist dan optimistik. Inilah masanya untuk mereka menggunakan pengetahuan dan skill yang mereka ada untuk meningkatkan portfolio pelaburan mereka.

    Sekiranya Ali adalah seorang pelabur berpengalaman dan mempunyai tabung kecemasan yang mencukupi serta pendapatan yang tidak terjejas ketika pandemik ini, lebihan RM3,000 daripada moratorium ini adalah satu peluang untuk beliau menggunakan wang tersebut untuk dilaburkan. Penangguhan pembayaran pinjaman ini adalah satu peluang untuk beliau mengembangkan aset, yang mana keuntungan daripada pelaburan ini akan digunakan semula untuk membayar balik pinjaman apabila moratorium tamat tadi.


MASA DEPAN YANG CERAH (?)


Selepas 6 bulan, keadaan Covid-19 di Malaysia yang semakin bertambah baik sekitar Ogos dan September 2020 menyaksikan ekonomi dibuka semula sedikit demi sedikit. Walaupun belum kembali pulih sepenuhnya, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memberi harapan bahawa negara akan kembali ke landasan yang normal.

Kes harian mencatatkan angka sifar (0), dan program moratorium selama 6 bulan ini juga berjalan baik seiring dengan pelan ini. Pelan moratorium lanjutan yang lebih bersasar pula diperkenalkan untuk mereka yang masih terjejas. Jangkaan tempoh 6 bulan yang diperlukan untuk keadaan kembali pulih seperti sediakala kelihatan tidak mustahil, walaupun vaksin masih belum sepenuhnya berjaya dicipta pada waktu ini.

Ku sangkakan panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Perang virus ini, walaubagaimanapun masih belum berakhir seperti yang dijangka. Kata kata “hope for the best, but prepare for the worst” dalam pengurusan risiko bakal menjadi realiti untuk seluruh dunia.

Tahun 2020 yang sukar khususnya untuk negara kita, rupa-rupanya belum berakhir. Serangan virus Covid-19 menanti gelombang yang lebih dahsyat untuk tiba.

Nantikan sambungan Moratorium Bahagian 2 (2021), dalam artikel yang akan datang.




Azraei Muhamad adalah penulis Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima dan sekuelnya, Enam Angka Menjelang Disember. Beliau menulis pengalaman kewangan untuk memberi inspirasi kepada anak dan sebagai rujukan generasi seterusnya. Beliau juga berkongsi tips dan video kewangan di Instagram / Twitter @azraeimuhamad.


Tulisan pengalaman menguruskan kewangan ketika pandemik ini diharap dapat menjadi panduan untuk generasi akan datang mendepani cabaran mereka nanti.



Penulisan dalam artikel adalah pendapat penulis dan tidak mencerminkan pandangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)