URUS bersama Azraei Muhamad | Moratorium : Bahagian 2

Covid-19: Moratorium Bahagian II (2021) Oleh Azraei Muhamad


MASA DEPAN YANG CERAH (?)


Ogos 2020. Meja-meja di kedai makan kembali meriah. Pusat membeli belah mula dipenuhi manusia semula. Jalanraya juga semakin sesak. Orang ramai mengambil peluang samada untuk pulang ke kampung masing-masing, atau bercuti di dalam negara kerana sempadan masih belum dibuka. Selepas 3 bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), beberapa negeri sudah mula memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Tiada lagi sekatan merentas negeri mahupun daerah, kecuali untuk beberapa kes terpencil melibatkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).


Sektor ekonomi seperti pelancongan, panggung wayang, dan hiburan sudah mula dibuka semula, begitu juga dengan sektor sosial seperti sukan dan aktiviti kemasyarakatan (majlis perkahwinan, perayaan, etc). Ini semua membantu masyarakat untuk melangkah ke kehidupan seperti pra-Covid, walaupun belum sepenuhnya. Pengumuman pemakaian pelitup muka yang diwajibkan di seluruh negara bermula 1 Ogos 2020 adalah antara langkah yang diambil untuk memastikan Prosedur Operasi Standard atau Standard Operating Procedure (SOP) dalam membendung penularan wabak Covid-19 ini sentiasa dipenuhi masyarakat.


Dilaporkan sebagai salah satu negara terbaik di dunia dalam melawan pandemik ini (2020), Malaysia dijangka untuk memasuki 2021 dengan prospek yang cerah. Namun, seperti yang dikatakan awal sebelum ini, hari yang disangka panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya.


PERANG BELUM TAMAT


Walaupun masih belum ada mana-mana vaksin yang berjaya dihasilkan pada saat ini, kehidupan norma baharu ini memberi kita harapan bahawa kita boleh keluar dari pandemik ini tanpanya. Beberapa kelonggaran mula diberikan untuk memasuki kehidupan pasca pandemik. Moratorium juga berakhir dengan baik menjelang 30 September 2020, dengan beberapa pengecualian masih diberikan untuk lanjutan melalui moratorium bersasar untuk mereka yang masih terjejas dari segi ekonomi, terutama untuk sektor yang masih belum boleh beroperasi sepenuhnya.


Dalam pada kita sedang bersedia untuk melangkah ke hari yang baharu tadi, rupa-rupanya virus ini juga sedang berevolusi. Varian-varian baharu yang lebih mengganas mula menyerang bukan sahaja negara, malah seluruh dunia. Malaysia dikejutkan dengan beberapa siri gelombang kedua dan ketiga menjelang penghujung 2020, di samping kelemahan kita sebagai manusia yang juga mungkin semakin lupa dan leka dengan pematuhan SOP dan kawalan kendiri serta penjarakan fizikal.


Bermula dengan kes yang hanya mencatatkan dua angka sahaja setiap hari, angka kes harian mula mencecah ratusan, kemudian ribuan. Dan seperti yang dibimbangkan dari awal lagi, menjelang pertengahan 2021, angka kes harian Covid-19 negara mula mencecah puluhan ribu.


Daripada kes keseluruhan yang tidak sampai 1,000 pun pada awalnya, dan angka kematian yang rendah, kita malangnya mencatatkan angka 1 juta kes kita pada penghujung Julai 2021. Kes kematian juga membimbangkan. Dan angka-angka kesihatan yang membimbangkan ini juga diterjemahkan kepada angka dalam sektor ekonomi. ‘Perang’ yang mengakibatkan krisis kesihatan ini berlarutan mengakibatkan krisis ekonomi juga berlarutan.


Selain lebih banyak bantuan diberikan, rakyat juga mula memohon agar kerajaan menimbangkan semula untuk moratorium menyeluruh berbanding bersasar dikembalikan bagi meringankan beban semua pihak. 


MORATORIUM LAGI


Selepas beberapa bulan saranan, gesaan, dan permintaan daripada pelbagai pihak, akhirnya pihak kerajaan memutuskan untuk mengumumkan semula moratorium selama 6 bulan bermula Julai sehingga Disember 2021 dalam pakej rangsangan PEMULIH. Moratorium yang diumumkan kali ini adalah hampir sama seperti moratorium automatik yang diumumkan pada tahun 2020, melainkan satu perbezaan – semua peminjam yang terkesan dan perlukan moratorium perlu membuat permohonan dengan institusi kewangan masing-masing dan kelulusan automatik akan diberikan.


Berbanding dengan moratorium automatik 2020 yang mana semua peminjam secara automatik menerimanya tanpa perlu memohon, situasi kepada peminjam bagi tahun 2021 adalah mereka perlu membuat keputusan terlebih dahulu samada untuk memohon atau tidak moratorium kali ini. Dari segi kelayakan, tidak perlu dirisaukan kerana kelulusan adalah secara automatik. Cuma persoalannya, adakah perlu peminjam untuk memohonnya?


Dalam artikel Bahagian I bagi moratorium 2020, kita ada bincangkan tentang tiga pilihan atau keputusan yang boleh dibuat dengan lebihan wang bayaran bulanan daripada moratorium ini tadi, samada kita boleh simpan, belanja, atau laburkan. Ini kerana, boleh dikatakan semua orang mendapat manfaat moratorium tersebut (kecuali mereka yang memilih untuk tidak menerimanya).


Namun untuk artikel bahagian kedua ini, untuk moratorium dalam pakej Rangsangan PEMULIH Julai hingga Disember 2021, kita perlu membuat keputusan samada untuk memohon atau tidak moratorium ini. Keputusan yang perlu dibuat sebagai peminjam adalah berdasarkan kepada KEPERLUAN berbanding KEMAHUAN semata-mata.

Kenapa?

Dalam moratorium yang pertama, pilihan MELABUR menggunakan wang penangguhan bayaran bulanan bukanlah keperluan yang mustahak. Namun, memandangkan pemberian moratorium bersifat automatik kepada semua, lebihan wang itu lebih baik dilaburkan daripada dibazirkan kepada perkara yang lebih tidak berfaedah. Sebaliknya untuk 2021, sekiranya kita tidak ada keperluan mustahak dan masih mampu untuk membuat bayaran bulanan pinjaman kita sedia ada, maka sebaiknya kita memilih untuk teruskan membuat bayaran dan tidak memohon moratorium ini. Kita juga tidak perlu berhadapan dengan faedah terakru (accrued interest) yang perlu dibayar nanti. Di kala waktu yang tidak menentu ini, menambah hutang yang tidak memanfaatkan diri bukanlah keutamaan atau priority kita.

Jadi, siapa yang perlu memohon moratorium kali ini?


MOHON MORATORIUM JIKA ANDA…

Berbalik kepada asas utama dalam pengurusan kewangan – “Dahulukan Keperluan Sebelum Kehendak”.

Jika anda tidak terkesan dengan pandemik ini dari sudut ekonomi, maksudnya anda masih mempunyai pekerjaan dan gaji yang stabil, dan masih mampu membayar pinjaman bulanan seperti biasa, maka anda TIADA KEPERLUAN untuk memohon moratorium ini. Moratorium ini bukan melibatkan lebihan wang daripada penangguhan bayaran bulanan pinjaman kita sahaja, sebaliknya mungkin melibatkan lebihan wang yang perlu dibayar pula nanti dalam pinjaman kita (rujuk kepada bank masing-masing untuk jumlah sebenar yang terlibat).


Sebaliknya, sekiranya anda betul-betul terjejas dari sudut ekonomi akibat pandemik ini, samada kehilangan pekerjaan, gaji dipotong, atau perniagaan tidak dapat beroperasi, maka anda terdiri dalam golongan yang memerlukan kelonggaran ini. Keperluan yang kita maksudkan adalah keperluan kelangsungan hidup ketika krisis dan selepas krisis.


Barangkali anda memang cuma ada RM500 sahaja wang simpanan bulanan yang tinggal. Dengan pilihan samada untuk dibelanjakan buat makan keluarga atau membayar pinjaman bank, moratorium ini membantu untuk anda menangguhkan keperluan bayaran pinjaman bank tadi dan memfokuskan wang tersebut kepada kelangsungan hidup keluarga. Itulah keperluan yang kita bincangkan di sini.


Selepas setahun lebih pandemik, walaupun masa depan masih tidak menentu, tetapi keadaan semasa menjadi lebih jelas. Sebilangan besar daripada kita mungkin terkesan dan terjejas teruk daripada pandemik ini, tetapi ada juga sebahagian yang masih boleh meneruskan kehidupan tanpa perlukan bantuan moratorium ini. Dengan mengetahui keutamaan atau priority semasa, kita sendiri perlu menilai diri dan situasi kita dengan jujur samada kita perlukan atau tidak.


Ini kerana, masa depan pasca pandemik juga adalah sesuatu yang perlu kita persiapkan diri kita juga untuk menghadapinya sebaik krisis ini berakhir. Dan, untuk itu, lebih panjang perjalanan yang perlu kita tempuhi, dan lebih banyak situasi yang perlu kita hadapi, dan lebih banyak masalah yang perlu kita selesaikan. Hutang sia-sia atau unnecessary debt seperti moratorium hanya untuk melabur atau membeli barang kemahuan tidak membantu kita mempersiapkan diri menghadapi masa depan yang lebih mencabar.


Sebaliknya bagi mereka yang memerlukan, kelangsungan hidup hari ini yang terjejas memaksa kita untuk tidak melihat terus kepada hari esok. Meringankan beban dalam keperluan yang mendesak mungkin memberi sinar untuk percaya bahawa hari esok masih ada. Jangan khuatir. Kita akan cari jalan bersama.


Untuk artikel akan datang, Insyaallah kita akan bercerita bagaimana kita boleh mempersiapkan diri untuk menghadapi hari hari pasca pandemik, dan juga merancang kewangan bagi sebagai persediaan awal menghadapi pandemik seterusnya.



Azraei Muhamad adalah penulis Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima dan sekuelnya, Enam Angka Menjelang Disember. Beliau menulis pengalaman kewangan untuk memberi inspirasi kepada anak dan sebagai rujukan generasi seterusnya. Beliau juga berkongsi tips dan video kewangan di Instagram / Twitter @azraeimuhamad.

Tulisan pengalaman menguruskan kewangan ketika pandemik ini diharap dapat menjadi panduan untuk generasi akan datang mendepani cabaran mereka nanti.


Penulisan dalam artikel adalah pendapat penulis dan tidak mencerminkan pandangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)