Ejen pihak ketiga

Kami tahu perasaan anda. Anda memerlukan seseorang untuk datang dan membantu anda menyelesaikan kekusutan kewangan yang kian mendesak. Anda mula berasa terancam dan tidak akan teragak-agak untuk mempercayai sesiapa sahaja yang berani berjanji untuk menolong anda membebaskan diri daripada cengkaman hutang.

Maka datanglah seorang pakar runding melalui satu panggilan telefon. Dengan mudah, barangkali, anda yakin anda telah menemukan penyelamat anda. Anda pun menceritakan segala-galanya dan berkongsi maklumat-maklumat sulit, dan sesudah semua itu, anda diminta membuat bayaran. Anda mengeluh, “Sudahlah tinggi, mulanya pun belum” tetapi anda tetap membayarnya walaupun anda berasa sangsi. 

Rupa-rupanya, telahan anda betul. Anda telah diperdaya. Anda teringat bagaimana anda diminta untuk berurusan dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, atau AKPK, bagi menstrukturkan semula pinjaman anda di bawah Program Pengurusan Kreditnya (PPK) sejurus selepas membuat bayaran. Ini membuatkan anda tertanya-tanya, entah-entah pakar runding itu tidak mempunyai sebarang mandat untuk membantu anda. Ternyata betul! AKPK yang sekarang ini sedang menguruskan kes anda tidak pernah melantik mana-mana ejen pihak ketiga untuk mendaftarkan anda ke dalam programnya. Bahkan, AKPK menyediakan perkhidmatan kaunseling kewangan dan PPK tanpa bayaran kepada individu. Anda sebenarnya telah membayar untuk perkhidmatan yang anda boleh dapatkan secara percuma. Lebih malang jika anda membayar menggunakan kad kredit kerana anda telahpun menambah hutang sedia ada padahal itulah yang anda mahu langsaikan pada asalnya. Seperti pepatah Melayu, “Sudah jatuh ditimpa tangga”, masalah anda kini sudah berganda.

Kes sebenar pernah terjadi membabitkan seorang wanita dari Melaka. Setelah beberapa lama membuat pinjaman sebanyak RM200,000 dari sebuah penyedia kredit dia mula ingkar membuat pembayaran balik mengikut jadual. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, seorang pakar runding dari Kuala Lumpur yang memperkenalkan dirinya sebagai ejen AKPK menelefon dan menawarkan bantuan untuk melangsaikan hutangnya. Bayaran upah yang diminta adalah sebanyak 10% daripada nilai pinjaman. 

Termakan dengan janji untuk menamatkan masalah kewangannya, wanita terbabit bersedia untuk membuat bayaran tersebut. Mujurlah seorang saudaranya sempat menyebut tentang perkhidmatan percuma AKPK. Setelah membuat pertanyaan di pejabat AKPK cawangan Melaka, wanita terbabit cepat-cepat mendaftarkan diri ke dalam program AKPK sekaligus mengelakkan dirinya daripada ditipu membayar upah sebanyak RM20,000. 

Sebagai pengajaran, hal berkaitan kewangan yang membabitkan ejen pihak ketiga selalunya berisiko lebih-lebih lagi jika melibatkan bayaran yang tinggi. Periksalah terlebih dahulu dengan pihak berwajib atau institusi-institusi yang sah tentang tatacara yang betul bagi menyelesaikan isu-isu kewangan anda, serta siapa yang dikhususkan untuk membantu anda. Dalam hal ini, AKPK ialah agensi yang diberi mandat oleh Bank Negara Malaysia sejak 2006 lagi untuk membantu dan mendidik pengguna mengurus kewangan mereka sebagai usaha mewujudkan masyarakat celik wang. Ia adalah sejajar dengan visi AKPK iatu, ‘Amalkan Pengurusan Kewangan Berhemat Sebagai Budaya Hidup’.

Perkara terakhir yang anda mahu adalah membayar harga yang mahal untuk perkhidmatan yang anda boleh lakukan sendiri dengan mudah, atau dapatkan secara percuma. Itupun kalau anda dapat. Kalau anda ditipu bulat-bulat tanpa sebarang perkhidmatan diberikan selepas membayar upah yang mahal? Merana badan.

Oleh kerana itu, para pembaca yang dikasihi! Walau apapun masalah kewangan anda, dan separah manapun anda sudah terdesak… “Bawa Bertenang dan Terus Hubungi AKPK” (Keep Calm and Call AKPK) di talian 03-2610 7766 atau layari www.akpk.org.my untuk keterangan lanjut. 

Kami sedia membantu anda… dengan PERCUMA.