#nasihatAKPK

Seorang doktor di hospital kerajaan berumur 28 tahun yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berumur 3 tahun menghadapi masalah pinjaman sewa beli yang sudahpun tertunggak selama 6 bulan. Pinjaman ini adalah untuk sebuah Mercedes Benz Sport bernilai RM300,000 dengan pembayaran balik bulanan sebanyak RM3,100 selama sembilan (9) tahun.

Ia bermula dengan satu skim MLM popular yang diperkenalkan oleh kakitangan beliau yang juga memiliki sebuah kereta mewah yang bernilai lebih RM400,000. Kakitangan tersebut yang hanya seorang atendan hospital bergaji RM3,000 telah menunjukkan bukti pendapatan beliau yang melebihi RM10,000 sebulan melalui skim ini.

Dorongan untuk menjana lebih banyak wang dan berkereta mewah membuatkan beliau tekad untuk melabur dalam skim ini yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh yang singkat.

Beliau membuat pinjaman peribadi sebanyak RM100,000 sebagai pelaburan awal bagi mendapatkan 20 unit sistem penulenan air. Jika kesemua stok tersebut dijual, beliau akan mendapat keuntungan RM50,000 daripada pelaburan awal itu.

Syarikat MLM ini juga dengan kerjasama pihak bank telah meminta beliau memilih kereta mewah yang beliau inginkan serta menyokong permohonan pinjaman beliau dengan menyediakan penyata komisen beliau kepada pihak bank. Akhirnya, beliau mendapat kereta impiannya.

Malangnya, beliau tidak berjaya menjual satupun sistem penulenan air, dan dengan gaji RM4,000 sebulan beliau tidak mampu membayar balik hutang. Oleh sebab itu, beliau bertindak secara tergesa-gesa dengan menjual kenderaan beliau kepada pihak ketiga tanpa dokumentasi. Malang menimpa beliau apabila beliau dikejutkan dengan berita kehilangan kenderaan tersebut (bermakna beliau masih perlu membayar hutang kepada bank).

Masa berlalu dan hutangnya semakin bertambah. Pihak bank menelefon beliau berkali-kali untuk menuntut hutang. Beliau malah menggunakan nombor telefon yang baru untuk menghindari panggilan tersebut. Kesihatan beliau mula merosot akibat tekanan.

Pihak bank akhirnya menghantar notis kebankrapan kepada beliau dan menuntut beliau membayar kesemua tunggakan selama 7 bulan sebanyak RM22,000 dengan baki hutang yang perlu dibayar sebanyak RM280,000.


Jika beliau diisytiharkan bankrap, beliau tidak lagi boleh bertugas sebagai pegawai perubatan. Ini sangat membimbangkan beliau kerana ia akan memusnahkan punca pendapatan dan mengganggu kesejahteraan keluarga beliau.


Kini, dengan nasihat AKPK…

Beliau membuat laporan polis berkenaan kehilangan kereta beliau dan jika ditemui, ia akan diserahkan kepada pihak bank.

Beliau memasuki Program Pengurusan Kredit AKPK dengan jadual baru pembayaran balik yang lebih mampu untuk beliau.


Pengajaran:

Walaupun sesuatu skim MLM itu sah, pelaburan melalui pembiayaan adalah berisiko tinggi. Risiko stok pembelian tidak dapat dijual perlu diambil kira, dan jika ia berlaku, kaedah membayar balik hutang perlu dikenalpasti agar diri tidak terbelenggu dengan hutang yang tidak mampu dibayar sehingga jatuh bankrap.