#nasihatAKPK

Nama saya Lau (bukan nama sebenar). Setelah bekerja selama hampir 30 tahun, dengan pendapatan sekitar RM5,000 sebulan, simpanan saya masih tidak cukup untuk persaraan. Pendapatan isteri pula hanya cukup untuk perbelanjaannya dan pembiayaan anak-anak.


Suatu ketika, saya berbual panjang dengan seorang rakan lama. Saya menyedari kelemahan saya dalam mengurus kewangan sehingga tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk bersara dalam beberapa tahun lagi. Dia mencadangkan agar saya membuat pelaburan bagi mendapatkan pendapatan tambahan. Saya menjadi bersemangat dan tidak sabar untuk memulakan pelaburan.


Tanpa ilmu yang cukup, saya melabur dalam saham yang berisiko tinggi. Saya bernasib baik. Saham yang saya beli melonjak naik dan memberi keuntungan yang berlipat ganda. Selepas beberapa kali beroleh keuntungan, saya mula tamak akan keuntungan yang lebih banyak dan lebih cepat. Akhirnya, saham saya jatuh menjunam dan saya mengalami kerugian yang banyak.


Saya kerugian hampir RM 60,000. Habis semua simpanan saya di dalam bank terpaksa dikeluarkan untuk membayar kerugian. Ketika itu saya sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan kembali wang kerugian itu.


Mujurlah saya terlihat papan iklan AKPK. Tanpa berlengah, saya terus ke AKPK untuk mendapatkan bantuan. Kaunselor AKPK menjelaskan bahawa pelaburan memang sesuatu yang digalakkan untuk meningkatkan tabungan, tetapi kita haruslah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup mengenai sesuatu pelaburan itu di samping mengenalpasti jenis-jenis pelaburan yang sesuai dengan kita mengikut pulangan yang kita inginkan. Pada kebiasaannya, lebih tinggi pulangan lebih tinggi risikonya.


Bagi menyelesaikan masalah kerugian yang saya hadapi, kaunselor AKPK telah menunjukkan cara-cara membuat bajet dan aliran tunai untuk membina kembali tabungan saya. Saya juga dinasihatkan untuk hidup di bawah kemampuan agar kedudukan kewangan saya beransur pulih kepada sediakala.


Secara umum, inilah tips pengurusan kewangan oleh AKPK:

1. Rancang Kewangan Anda

2. Berbelanja Ikut Kemampuan

3. Dapatkan Bantuan Awal

4. Berurusan Dengan Institusi Yang Sah