#nasihatAKPK

Pn Ani (bukan nama sebenar), berusia awal 20-an baru memulakan kerjaya pertamanya di sebuah agensi kerajaan dengan pendapatan sekitar RM 2,500 sebulan.

Dengan keinginan untuk mencari kehidupan yang lebih mewah, Pn Ani mula berjinak-jinak dengan perniagaan jualan langsung setelah menghadiri satu program yang telah dianjurkan oleh sebuah syarikat. Selepas menghadiri sesi berkenaan, Pn Ani begitu yakin dan bersemangat untuk menggapai impiannya menjadi salah seorang jutawan seperti yang ditunjukkan dalam program berkenaan. Beliau telah bertungkus-lumus siang dan malam bagi mengejar impiannya disamping meneruskan tugas sebagai pegawai kerajaan. Usahanya mula menampakkan hasil, pendapatannya terus meningkat dari ribuan ringgit ke belasan ribu dan akhirnya mencecah puluhan ribu sebulan malah pernah memperolehi RM50,000.00 sebulan! Seperti tidak percaya dengan apa yang dikecapinya malah dengan pendapatannya sebulan kini menyamai hampir 2 tahun gajinya suatu masa dulu. Tidak pernah terbayang dalam dirinya selama ini bahawa kini kehidupannya telah berubah dalam sekelip mata sahaja.

Bagi mengukuhkan lagi perniagaannya, Pn Ani nekad berhenti kerja sebagai seorang kakitangan kerajaan. Kini beliau mampu hidup mewah dengan rumah banglo berharga RM500K, dua buah kereta mewah masing-masing berharga RM150K dan RM300K. Malah, melancong keluar negara menjadi kebiasaan bagi diri dan keluarganya.

Sepertimana pepatah mengatakan, langit tidak selalunya cerah. Itulah yang telah mula membelenggu dirinya. Perniagaannya hanya mampu bertahan 2 tahun sahaja. Pendapatan lumayan yang diterima sebelum ini mula menyusut. Pn Ani mula membuat pinjaman peribadi bagi merancakkan semula perniagaannya malah mula menggunakan kad kredit bagi menampung kos kehidupannya yang mencecah belasan ribu sebulan untuk membayar rumah, kereta, pinjaman peribadi dan kad kredit serta perbelanjaan harian keluarga. Usahanya tidak menampakkan hasil, dan Pn Ani mula berputus asa. Setiap hari, pihak bank menghubunginya menuntut menjelaskan pinjaman-pinjaman yang telah tertunggak.

Akhirnya, Pn Ani nekad untuk menjual sebuah kereta mewahnya yang sudahpun mempunyai beberapa bulan tunggakan dengan menyerahkan kepada rakannya yang mempunyai syarikat menjual kereta terpakai. Umpama jatuh ditimpa tangga, setelah beberapa bulan keretanya berada di syarikat tersebut, malang datang menimpa apabila bilik pameran syarikat terbabit telah terbakar termasuklah keretanya. Lebih malang lagi apabila Pn Ani tidak boleh membuat tuntutan dari pihak insuran kerana kereta tersebut tidak mempunyai perlindungan insuran. Akibat dari kejadian itu, Pn Ani telah mengalami kerugian hampir RM250K!. Pn Ani telah menghubungi bank untuk berbincang namun pihak bank menuntutnya membayar semua tunggakan sebelum perbincangan boleh dibuat.

Termenung dan buntu mengenangkan nasib malang yang menimpa dirinya, Pn Ani nekad datang ke AKPK untuk menyelesaikan masalah kereta berkenaan bersama dengan pinjaman peribadi dan juga kad kredit. Kaunselor AKPK berjaya berunding dengan pihak bank dimana Pn Ani perlu membayar ansuran bulanan pinjamannya dengan sejumlah bayaran yang dipersetujui oleh pihak bank. Kini Pn Ani menceburi bidang lain dengan pendapatan yang agak baik walaupun tidak semewah dulu.

Rasa menyesal dalam diri mula timbul kerana Pn Ani tidak pernah membuat tabungan sebelum ini malah tidak mempunyai dana kecemasan untuk digunakan untuk membantunya di waktu susah sekarang. Malah, beliau telah pun berhenti kerja sebagai kakitangan kerajaan sebelum ini. Walaupun dengan gaji sederhana, sekurang-kurangnya dengan perancangan kewangan yang baik kita boleh hidup secara sederhana. Pn Ani menyifatkan dirinya seperti pepatah “yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran”!

Nasihat AKPK :

Hidup ini melibatkan pilihan dan pilihan sememangnya ditangan kita. Kita boleh memilih samada untuk ‘buat’ duit dengan hutang atau ‘buang’ duit dengan hutang. Sebaik-baiknya pilihlah pilihan yang pertama tersebut. Jika berhutang, pastikan hutang tersebut tidak melebihi 40% dari pendapatan bersih seseorang.

Amalkan menyimpan wang sekurang-kurangnya 10% sebulan sebagai persediaan sewaktu kecemasan. Hidup kita umpama roda yang sentiasa berpusing. Di waktu senang tiada masalah yang akan timbul namun diwaktu susah, wang dari simpanan lah yang boleh kita gunakan.