#nasihatAKPK

Encik Hisham (bukan nama sebenar) terpaksa akur untuk bersara seawal umur 50 tahun.

Ia terjadi apabila kesihatannya semakin merosot sehinga tidak dapat lagi menulis. Sungguhpun begitu, pemeriksaan kesihatan dan ujian darah berkali-kali mengesahkan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa penyakit. Beliau kemudian mendapatkan rawatan secara alternatif namun kesemuanya menemui jalan buntu. Akhirnya, disebabkan keadaan beliau yang sudah lemah, beliau mengambil keputusan untuk bersara awal.

Setelah pencen, pendapatan beliau adalah sebanyak RM1,353 sebulan. Pembayaran balik untuk pinjaman perumahan daripada kerajaan sebanyak RM275 sebulan ditolak daripada wang pencen ini menjadikan pendapatan bersih beliau hanya RM1,078 sebulan. Pinjaman untuk rumah tersebut akan lunas apabila beliau mencecah umur 55 tahun. Selain itu, beliau juga ada mengambil pinjaman sewa beli kereta dan pinjaman peribadi untuk pengubahsuaian rumah dengan jumlah pembayaran balik pinjaman sebanyak RM1,030 sebulan.

Oleh kerana pendapatan beliau kini sudah berkurang, beliau tidak lagi dapat mengekalkan komitmen kewangan beliau dan mula ingkar membayar hutang. Semenjak itu, panggilan yang bertalu-talu dari ejen pengutip hutang bagi pihak bank datang mengganggu dan membuatkan beliau berasa sangat risau dan tertekan. Pihak bank pula mula mengambil langkah perundangan. Beliau hampir-hampir berputus asa dan hanya menunggu untuk diisytiharkan muflis sehinggalah pada suatu hari adik lelaki beliau terbaca tentang AKPK di dalam akhbar.

Encik Hisham beruntung kerana mempunyai keluarga yang prihatin. Oleh kerana beliau tidak lagi boleh memandu, pinjaman kereta diambil alih oleh adik lelaki dan beliau dihantar dengan kenderaan jika perlu ke mana-mana. Selepas bercerai, beliau dan anak juga tinggal di rumah ibu bapa beliau selepas bercerai dan penghidupan mereka dibantu oleh ahli keluarga sementara beliau berubat.

Oleh kerana beliau tidak lagi tinggal di rumah ini, beliau bercadang untuk menyewakannya bagi mendapatkan pendapatan tambahan yang sekurang-kurangnya boleh menampung kos pembayaran balik bulanan. Wang tambahan juga boleh membantu menampung kos perubatan beliau.

Pinjaman peribadi beliau dengan pihak bank pula akan distrukturkan semula di bawah Program Pengurusan Kredit AKPK. Dengan baki hutang sebanyak RM37,153, pembayaran balik yang distrukturkan semula pada kadar keuntungan semasa dengan ansuran bulanan yang dikurangkan mengikut kemampuan aliran tunai En Hisham akan melunaskan hutang tersebut dalam tempoh enam (6) tahun.