#nasihatAKPK

Pelanggan AKPK kali ini ialah seorang pembantu tadbir dengan gaji bulanan sebanyak RM2,000.

Selain itu, dia juga mendapat wang mudah sebanyak RM1,000 setiap bulan sebagai salah seorang pengarah syarikat milik pakciknya. Sungguhpun bergelar pengarah syarikat, dia tidak pernah ambil tahu tentang perjalanan perniagaan pakciknya itu.

Setelah beberapa bulan menjadi pengarah syarikat, pakciknya meminta agar dia menjamin pembelian lima (5) buah lori untuk mengembangkan perniagaan. Tanpa berfikir panjang, dia terus bersetuju.

Tiada sebarang masalah pada mulanya walaupun dia ada menerima panggilan daripada pihak bank yang meminta agar tunggakan dijelaskan. Namun dia mengabaikan sahaja semua permintaan tersebut dengan sangkaan bahawa pakciknya akan menguruskannya seperti biasa.

Sehinggalah pada suatu hari, dia menerima surat peguam daripada pihak bank yang mengarahkan dia membayar tunggakan yang sudah melebihi setahun berjumlah RM250,000. Jika gagal, dia bakal diisytiharkan bankrap.

Dalam kepanikan, dia menelefon pakciknya berkali-kali tetapi tidak berjawab. Dia bersama keluarganya juga pergi ke rumah pakciknya tetapi diberitahu bahawa mereka telah pun berpindah beberapa bulan yang lepas. Sehingga kini, pakciknya tidak dapat dihubungi.

Dia berasa amat tertekan.

Dalam kes ini, kaunselor AKPK menekankan betapa perlunya menjadi seorang penjamin yang bertanggungjawab yakni menilai kemampuan membayar balik pinjaman sebelum bersetuju menjadi penjamin.

Memandangkan hutang ini dibuat di bawah entiti perniagaan dan bukan persendirian, AKPK tidak boleh membantu menstrukturkan semula pembayaran balik hutang dengan pihak bank.


Maka, kaunselor AKPK telah memberikan beberapa pilihan untuk menyelesaikan masalahnya termasuk memulangkan kesemua lori tersebut kepada pihak bank. Setelah dijual, dia boleh berunding dengan pihak bank tentang pembayaran balik jika masih ada hutang yang berbaki.

Dia juga dinasihatkan agar berhubung dengan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi mendapatkan maklumat lengkap tentang proses kebankrapan serta nasihat tentang pilihan yang ada untuk mengelak daripada diisytiharkan bankrap seperti Perkiraan Sukarela atau Voluntary Arrangement.

Perkiraan sukarela adalah satu mekanisma penyelamat bagi mengelak tindakan undang-undang kebankrapan.