#nasihatAKPK

Pelanggan AKPK kali ini datang bukan kerana kesempitan wang untuk hidup tetapi hilang kawalan dalam berbelanja dan berhutang untuk hidup mewah.

Beliau adalah seorang pengurus yang sudah bekerja lebih daripada 10 tahun di sebuah syarikat simen. Gaji beliau melebihi RM13,000 sebulan dengan jumlah bersih sebanyak RM 9,200. Walaupun bergaji tinggi, beliau tidak dapat menampung pembayaran balik kesemua hutang beliau setelah ditolak kos perbelanjaan hidup.

Ini ialah akibat daripada hilang kawalan ke atas penggunaan kad kredit untuk menampung gaya hidup mewah beliau sekeluarga. Bayangkan! Beliau mempunyai 15 akaun kad kredit dengan tunggakan hutang sekitar RM340,000. Di samping itu, beliau juga mempunyai dua (2) pinjaman perumahan dan pinjaman sewa beli. Jumlah pembayaran balik hutang setiap bulan adalah sekitar 70% daripada pendapatan bersih beliau.

Bagi menyelesaikan masalah ini, kaunselor AKPK mencadangkan agar semua hutang kad kredit beliau distrukturkan semula di bawah Program Pengurusan Kredit AKPK. Melalui program AKPK ini, beliau dapat mengurangkan pembayaran balik hutang dan menampung kos belanja hidup setiap bulan.

Kaunselor AKPK juga menasihati beliau agar memotong mana-mana perbelanjaan yang bukan satu keperluan. Perubahan sikap adalah penting dalam kes-kes seperti ini.

Pendek kata, berbelanjalah dengan betul lebih-lebih lagi apabila menggunakan kad kredit. Pastikan baki hutang kad kredit boleh dibayar sepenuhnya setiap bulan tanpa tunggakan jika tidak mahu hutang kad kredit bertambah melalui faedah atau caj lain yang dikenakan.