#nasihatAKPK

Paparan kali ini adalah tentang seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak yang berumur dari 5 hingga 13 tahun. Semenjak berpisah, bekas suami tidak pernah membayar nafkah anak walaupun sekali.

Beliau menyara hidup dengan bekerja di kilang papan dan menerima gaji bulanan sebanyak RM900.00. Apa yang membebankan beliau ialah tunggakan hutang kereta yang sudah berlanjutan selama 12 bulan. Pinjaman kereta ini dibuat menggunakan nama beliau dan bekas suami berhenti membayar balik pinjaman selepas berpisah. Kereta ini dipakai oleh bekas suami.

Pihak bank sudah pun mula mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan kembali wang yang dipinjam (baki hutang berserta tunggakan sejumlah RM47,000 kesemuanya).

Kaunselor AKPK menasihatkan beliau untuk menyerahkan kereta tersebut kepada pihak bank untuk dilelong. Sebarang hutang yang berbaki selepas itu boleh distrukturkan semula di bawah Program Pengurusan Kredit AKPK dengan kadar faedah 0%.

Apa yang perlu dibuat adalah meminta bekas suami menyerahkan kereta tersebut. Beliau boleh juga melaporkan kepada pihak bank tentang keberadaan bekas suami atau kereta tersebut untuk memudahkan kerja penarikan. Kerjasama sebegini adalah langkah yang betul daripada memilih untuk mengelakkan diri daripada pihak bank.

Beliau juga dinasihati untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada jabatan hal ehwal agama negeri untuk urusan menfailkan tuntutan nafkah di mahkamah syariah.