#nasihatAKPK

Pelanggan AKPK kali ini adalah seorang lelaki yang berumur 32 tahun dan sudah berkahwin dengan dua (2) orang cahaya mata. Beliau bekerja sendiri dengan pendapatan sebanyak RM3,700 sebulan yang kebanyakannya datang daripada hasil perkhidmatan Grab.


Sebelum ini, beliau berkerja di Petronas tetapi mengambil keputuan untuk berhenti setelah ibunya jatuh sakit dan memerlukan penjagaan penuh.


Dengan pendapatan beliau sekarang, sebanyak 64% digunakan untuk membayar hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman kereta yang berjumlah RM225,590. Wang selebihnya cukup untuk kehidupan beliau sekeluarga sehari-hari.


Sungguhpun begitu, beliau bimbang kerana tidak mempunyai wang lebih untuk dibuat simpanan. Tahap keberhutangan berdasarkan pendapatan semasa atau debt service ratio (DSR) adalah setinggi 64%. Beliau datang mendapatkan bantuan AKPK untuk mengurangkan DSR supaya beliau ada wang lebih untuk membuat simpanan.


Kaunselor AKPK menerangkan tentang Program Pengurusan Kredit yang menstrukturkan semula pinjaman agar peminjam dapat terus melunaskan hutang dengan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah.


Setelah dibuat pengiraan dengan penstrukturan semula hutang kad kredit dan pinjaman peribadi, beliau dapat mengurangkan DSR kepada 27% dan menaikkan lebihan daripada pendapatannya sebanyak 49%.


Kesimpulannya, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ketahuilah tanda-tanda awal masalah kewangan, antaranya, tidak mempunyai wang lebih untuk simpanan. Jika dibiarkan berlarutan, pembayaran balik hutang akan terjejas dan membawa kepada masalah yang lebih buruk.