#nasihatAKPK

Pelanggan AKPK kali ini adalah seorang pekerja swasta yang bergaji RM9,000 sebulan. Di samping itu, dia juga mengusahakan perniagaan sendiri bersama-sama adiknya.


Memang sudah menjadi lumrah perniagaan, pasti ada pasang surutnya. Ketika perniagaannya merosot, jumlah hutangnya hampir mencecah RM300,000 melibatkan tujuh (7) kad kredit yang dipakai sebagai modal kerja.


Ibarat gali lubang timbus lubang, kad kredit digunakan untuk membayar hutang kad kredit yang lain. Pendek kata, penggunaan kad kreditnya sudah tidak terkawal. Debt service ratio (DSR) atau nisbah khidmat hutangnya sudah melebihi 100% yakni jumlah bayaran balik hutang setiap bulan sudah pun melebihi gaji bersih.


Akhirnya, dia pergi mendapatkan khidmat nasihat AKPK untuk mengelakkan keadaan kewangannya daripada menjadi lebih parah.


Dengan penstrukturan semula kesemua kad kreditnya, DSR telah dapat dikurangkan kepada 53%. Dengan jumlah pembayaran balik yang kini sudah berkurang, dia boleh membayar balik kesemua hutangnya setiap bulan tanpa tunggakan.


Dia juga dinasihatkan agar sentiasa memantau jumlah hutang yang ada serta pembayaran balik yang dibuat. Untuk perniagaannya pula, kaunselor AKPK menasihatkannya untuk memilih kemudahan pembiayaan yang betul dari institusi kewangan.


Kad kredit tidak sesuai digunakan untuk hutang jangka panjang seperti hutang perniagaan. Wang mudah yang boleh diperolehi melalui kad kredit memanglah menarik tetapi kadar faedah tahunannya adalah jauh lebih tinggi daripada pinjaman peribadi mahupun pinjaman perniagaan. Umumnya, kad kredit hanya sesuai digunakan untuk nilai perbelanjaan yang boleh dilangsaikan dalam satu atau dua bulan.


Tetapi, bolehkah AKPK menstrukturkan semula hutang perniagaan? Jawapannya tidak. AKPK hanya menstrukturkan kembali hutang peribadi berserta syarat-syarat lain. Jadi, bagaimana pula dalam kes ini? Di sinilah usahawan startup, terutamanya, perlu memahami satu lagi risiko penggunaan kad kredit untuk membiayai perniagaan.


Jika anda membuka syarikat atau perkongsian liabiliti terhad (PLT), misalnya, anda secara peribadi terlindung daripada hutang syarikat yakni anda tidak perlu membayar hutang syarikat atau PLT dengan harta anda sendiri. Akan tetapi, jika anda menggunakan kad kredit untuk membiayai perniagaan, sebarang obligasi kewangan perniagaan adalah menjadi tanggungjawab peribadi anda. Sebarang tunggakan pembayaran hutang kad kredit akan menjejaskan skor kredit anda dan ini akan menyukarkan sebarang permohonan pinjaman peribadi, kereta mahupun rumah.