Nasi Lemak 60 sen!

Sambil menghirup kopi panas buatan sendiri pada petang dingin akibat hujan yang tidak berhenti semenjak dari pagi, aku teringat kisah kami 2 beradik yang bermandikan hujan sambil mengerat daun pisang. Daun pisang yang akan digunakan oleh emak untuk membungkus nasi lemak. Selalunya abah akan membawa aku dan Ali, satu-satunya adik lelakiku pulang ke kampung yang jaraknya kurang 20 kilometer dari kuarters kami diami untuk mengutip hasil kampung seperti kelapa, daun pandan, daun pisang, pucuk-pucuk kayu seperti putat, pucuk ubi, pucuk gajus dan pucuk kadok. Sesekali bila ada musim, abah akan mengait buah binjai dan pasti hasilnya adalah kari binjai yang dipecah telur.


Kami mengharungi kehidupan yang sederhana dengan pendapatan abah sebagai anggota polis. Sementara emak membantu abah dengan berniaga kecil-kecilan. Hasil jualan itulah yang banyak membantu kami adik beradik membesar serta membiayai pengajian kami di universiti. Ketika itu, sebungkus nasi lemak emak berharga 60 sen, nasi lemak biasa yang didalamnya ada telur rebus yang dibelah empat, hanya satu perempat sahaja untuk sebungkus nasi lemak biasa, sehiris timun dan sedikit ikan bilis beserta sambal. Sebiji kuih pula berharga 20 sen. Seawal jam 6 pagi abah sudah keluar menyorong kereta tolak yang beroda untuk berniaga dan emak pula akan menggantikan tempat abah jam 7 pagi kerana abah harus bersiap untuk ke tempat kerja pula. Untungnya, emak hanya berniaga di kawasan kuarters tempat tinggal kami yang jaraknya hanya beberapa meter sahaja. Rata-rata pelanggan emak adalah penghuni kuarters itu sendiri, pekerja kilang, pekerja hospital swasta dan lain-lain.


Selalunya emak hanya perlu berniaga dari jam 6 pagi hingga 10 pagi dan pendapatan emak ketika itu antara RM150 – RM180 sehari. Sesekali ada juga mencecah RM250! Hasil jualan ini termasuklah beberapa jenis kuih yang emak buat dan juga kuih yang diletak oleh jiran tetangga. Terdapat juga lauk pauk tambahan seperti sambal kerang, sotong kering, sambal ikan masin, telur goreng dan telur dadar. Sesekali emak akan menambah ayam masak ros dan daging masak hitam bergantung kepada harga daging dan ayam.

Ketika itu harga tepung sekilo RM0.90, harga minyak masak sekilo RM1.10 (sepeket), santan kelapa pula hanya RM3.00 sekilo dan daun pandan atau daun pisang hanya 50 sen seikat. Tapi ini dulu, satu ketika dulu, lebih kurang 18 atau 20 tahun dahulu!


Hari ini, lain pula ceritanya. Bukan sahaja lain dek kerana harga, tapi lebih kepada kos sara hidup yang tinggi. Mungkin payah untuk bercakap bahasa ekonomi kepada golongan seperti emak dan abah, tapi emak faham kalau harga barang naik. Muncung mulut emak balik dari pasar membebel kalau harga bawang mahal sepuluh sen dua. Begitu juga dengan harga ikan bilis atau harga cili kering. Sebab itu adalah barangan yang selalu emak gunakan untuk buat sambal nasi lemak.


Golongan seperti emak iaitu pengguna dan pada masa yang sama juga adalah peniaga merasai kesan kenaikkan harga barang. Bila harga tepung naik, emak tidak terus naikkan harga, hanya mengecilkan sedikit saiznya, maknanya kuih karipap emak akan sedikit kecil, begitu juga kuih donat emak, namun tetap gebu. Emak sangat terkenal dengan donat yang gebu dan lembut di kalangan pelanggan tetapnya, sehingga mak dipanggil Kak Mah Donut Gebu! Namun payah untuk ketemu donat yang sebegitu, samada nampak gebu tapi tidak lembut atau lembut tapi kurang rasa. Yang pasti, harganya bukan 30 sen!


Pada era itu, inflasi kekal pada 3% pada 1990-an kecuali pada 1997 dan 1999 (laporan Bank Negara Malaysia – www.bnm.org.my). Faktor penawaran dalam negeri pula turut menyumbang kepada inflasi, terutamanya dalam kategori makanan. Bekalan makanan dibendung oleh keadaan cuaca yang buruk, tanah pertanian yang terus berkurang, pelarasan harga ditadbir oleh kerajaan, kekurangan pekerja dan penggunaan kapasiti yang tinggi. Harga bagi subkategori buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan dan daging meningkat sepanjang tahun 1990-an.


Purata harga tepung hari ini ialah RM2.50 sekilogram, minyak masak pula antara RM21.00 hingga RM25.00 bagi 5 kilo sekilogram dan santan pula adalah di antara RM8.00 hingga RM12.00 bagi sekilo santan (https://www.kpdnhep.gov.my/kpdnkk/wp-content/uploads/2019/02/20190212-HARGA-PURATA-432-BULAN-JANUARI-2019.pdf).

Dari segi bahasa ekonominya, perbezaan harga ini sememangnya berada di dalam putaran Indeks Harga Pengguna di mana Indeks Harga Pengguna (IHP) mengukur perubahan merentas tempoh masa dalam kos pembelian sekumpulan barangan dan perkhidmatan yang merupakan corak pembelian purata yang dibuat oleh kumpulan penduduk tertentu di kawasan bandar dan luar bandar. IHP dikira mengikut 4 zon untuk Semenanjung Malaysia (iaitu utara, tengah, selatan dan timur) dan digabungkan dengan Sabah dan Sarawak untuk menghasilkan indeks Malaysia. Indeks Malaysia ialah indeks komposit, dengan wajarannya berdasarkan wajaran perbelanjaan wilayah daripada indeks ketiga-tiga wilayah tersebut.


Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan sangat terbuka, inflasi dalam negeri juga telah dipengaruhi oleh perkembangan di luar negeri. Inflasi global menurun kepada paras terendah dalam sejarah pada fasa “penurunan besar” iaitu inflasi global secara purata turun daripada 15.4% pada tempoh 1990-1999 kepada 3.9% pada tempoh 2000-2008. Perubahan pada institusi ekonomi, teknologi dan amalan perniagaan telah meningkatkan keupayaan ekonomi untuk menyerap kejutan terhadap pengeluaran dan inflasi (Laporan Tahunan 2010 – Bank Negara Malaysia).


Hari ini, emak tidak lagi berniaga namun sesekali bila ke pasar, emak tetap akan mengenang dan membezakan harga dulu dan sekarang. Bezanya, emak tidak lagi berbelanja, tiba masa kami pula yang berbelanja untuk emak, namun terasa mewah pula kerana sepinggan nasi lemak yang berharga RM3.00, masih terdapat seketul ayam! Namun, ini hanya berlaku bila aku balik kampung.


Pengalaman itu umpama mutiara, atau lebih lagi kerana kita yang merasa, melihat dan menikmatinya, kadang-kadang tidak mampu digambarkan. Dari pengalaman serta pengamatan, dalam kita mengharungi kehidupan, era perubahan itu tetap berlaku, mana mungkin kita menahan. Namun yang paling penting adalah diri sendiri, iaitu bagaimana harus kita menanganinya. Lonjakkan harga tidak mungkin kita mampu mengawalnya, namun kita pasti dapat mengawal perbelanjaan dan yang utama bagaimana mengurusnya.



Dari satu zaman ke satu zaman, emak dan abah sudah melalui pelbagai era perubahan ekonomi, namun kami masih diterapkan perkara yang sama, iaitu berjimat cermat, bersederhana, menabung walau hanya sepuluh sen sahaja (sehingga Tingkatan Lima – awal 1990-an, kami adik beradik hanya di beri 70 sen untuk belanja sekolah), makan apa yang emak masak tanpa banyak soal dan kami amat jarang sekali makan di luar, apatah lagi berhibur. Kerap juga emak pesan, beli setakat hendak pakai dan makan terutamanya bila kami berjauhan dari emak dan abah kerana menyambung pengajian.


Era itu juga belum wujud gajet seperti hari ini, IPad, IPOD, Telefon Pintar, MP3, MP4 dan juga laman sosial seperti Facebook, Twiitter, dan Instagram. Rata-rata yang kata zaman berubah, gaya hidup juga turut berubah, mana mungkin sama dulu dan sekarang, namun yakinlah tidak rugi kiranya kita mengikuti cara orang dulu, tiada dulu tiada sekarang.


Aku kagum cara emak mengawal perbelanjaan, dengan anak seramai 7 orang, dengan pendapatan abah yang dibawah RM1,000, emak masih mampu menyediakan kami belanja sekolah, makan tengahari yang sempurna malah pakaian baru menjelang raya. Malah, emak dan abah turut menyara kami 3 beradik yang berada di IPTA secara serentak! Istilah emak sangat mudah, apa sahaja kita hendak lakukan, tengok kemampuan dan selalu conggak, ditolak, ditambah dan dibahagi, dekat mana untung dan ruginya kita. Mudah! Hari ini, aku cuba untuk jadi macam emak, namun tetap tidak sebagus emak. Emak yang hanya belajar setakat Tingkatan 2 (berhenti tanpa sempat ambil peperiksaan LCE – Lower Certification of Examination mungkin! kerana tidak mampu bayar yuran) mampu mengira dan menyimpan untuk kesemua anak-anaknya. Abah pula, tanamkan sikap menabung semenjak kami di sekolah rendah seawal 6 tahun. Aku masih ingat ketika aku mendaftar sebagai pelajar untuk Ijazah pertama, abah serahkan buku tabung haji aku yang disimpanannya semenjak aku darjah 1! Abah buat potongan gaji untuk kami 3 beradik, along, aku dan alang sebanyak RM10 seorang. Memang jumlahnya tidaklah begitu banyak namun aku kagum, simpanannya tidak pernah dikeluarkan malah abah sangat berdisiplin dalam melakukan simpanan.


Hari ini, siapa pun kita, tidak kira di mana kita berdiri dan berapa sekalipun pendapatan kita, kita harus mensyukuri apa yang kita ada. Hiduplah secara bersederhana, menabung untuk sesuatu yang tidak kita jangka kerana kadangkala perkara yang berlaku adalah diluar kawalan seperti faktor ekonomi yang mungkin menggugat kerjaya dan pendapatan kita, sakit demam yang tidak kita minta, kematian yang tidak pasti bila dan banyak lagi. Kita tidak merancang untuk sebuah kegagalan, namun ramai yang gagal untuk merancang!


Apa-apa pun, yang pasti tiada lagi nasi lemak 60 sen!


Sumber : Jabatan Pendidikan Kewangan, AKPK