Diari Seorang "Aku" - Siri 2

Mampukah anda menjawab persoalan yang dilontarkan pada artikel sebelum ini. Mari kita imbas kembali soalan dari Diari Seorang Aku – Siri 1:

1. Adakah anda akan membiarkan diri berada didalam keadaan cemas setiap bulan? Hidup bersandarkan gaji semata-mata?

2. Dan, berapa lama anda mampu membiarkan ia berlaku?

3. Adakah anda mampu untuk menanganinya?

4. Tidakkah anda mempunyai impian, seperti hidup berkeluarga, membeli rumah dan memiliki hartanah dan menjalani kehidupan yang lebih selesa tanpa tekanan?

5. Pernahkah anda terfikir bahawa apa yang anda usahakan hari ini, adalah untuk persediaan masa depan?


Bagi suku tahun ketiga 2019, Malaysia mempunyai populasi seramai 32.63 juta orang,dan dari jumlah itu, seramai 15.16 juta orang yang bekerja dengan pelbagai kategori pendapatan. Pada tahun 2016, purata pendapatan bulanan di Malaysia ialah diantara RM5,228 dan RM6,958. Menurut hasil penyelidikan Kaji Selidik Kemudahan Asas dan Pendapatan Isi Rumah 2019 dari Jabatan Statistik Malaysia pendapatan golongan B40 telah meningkat sehingga RM3,000.


Siapa B40 ini?


Mereka ini adalah golongan Bottom 40, iaitu kumpulan isi rumah terendah. Seramai 40%penduduk Malaysia terdiri dari kumpulan ini. “Aku” merupakan sebahagian dari B40 yang hidup dibandar dengan keadaan kewangan yang sentiasa meruncing namun masih meneruskan kehidupan. Apakah yang menyebabkan kewangan mereka meruncing? Bagaimana ia terjadi? Apa pilihan yang mereka ada?


Bagi menjawab semua persoalan diatas, perkara yang perlu dititikberatkan, malah perkara utama yang perlu ditanam dalam diri adalah berhemat dalam kewangan. Ini perkara pokok dalam prinsip atau asas kewangan. Ia harus ditanam seawal usia supaya kita tidak terjebak dalam kekangan kewangan.


Berdasarkan anggaran kasar, “aku” mempunyai pendapatan bersih dalam RM2,100.00 sebulan dengan baki RM578 setiap bulan. “Aku” ada pilihan! Diantaranya:


“Aku” boleh memilih hanya menyewa bilik dengan kadar sewa yang lebih rendah;

“Aku” boleh gunakan duit kutu yang diterima bagi melangsaikan hutang motosikal atau ansuran telefon bimbit (kalau bukan kesemuanya, mungkin separuh dari baki pinjaman).

“Aku” boleh kurangkan penggunaan elektrik kerana RM42.00 agak banyak untuk seorang!

Dan, yang paling penting, “aku” harus kuat dan cekal untuk tidak mengambil mana-mana pinjaman dalam masa terdekat. Ini kerana nisbah hutang kepada pendapatan “aku” telah mencecah 50%!



FORMULA:


= Ansuran / Pendapatan Bersih


= RM400 (sewa) + RM230 (ansuran motosikal) + RM260 (ansuran peribadi) + RM180 (ansuran pinjaman pelajaran) / RM2100


= 50.95%


Sekali lagi ditekankan, “aku” tidak akan dapat mencapai semua perkara diatas seandainya tiada kecekalan dan disiplin yang tinggi! Namun, cukupkah dengan melakukan perkara diatas bagi perancangan masa hadapan?


Kita akan terus mengupas isu “aku” dalam siri akan datang…….

Teruskan bersama kami bagi siri seterusnya…


“Tiada apa yang berubah melainkan anda mengubahnya!”