Diari Seorang "Aku" - Siri 3

Dalam merancang kewangan, diantara perkara pokok yang perlu adalah ketegasan serta disiplin yang kuat. Kenapa begitu? Hanya mereka yang tinggi disiplinnya mampu mengubah perkara yang biasa dilakukannya kepada yang jarang-jarang dilakukan, diantaranya ialah kewangan.

Kalau kita memang jenis yang tidak menyimpan, memang sukar untuk melakukannya. Kalaulah “aku” hanya bergantung pada RM400 sehingga hujung bulan, dan mengharapkan tidak ada perkara luar jangkaan, ini memang petanda nyata masalah kewangan!

Apa kata, mulai sekarang, kita latih diri simpan RM1 sehari, mudah dan murah bukan, tetapi masih ramai yang tidak mampu melakukannya. Kenapa begitu? Antara sebabnya, jumlah yang terlalu sedikit malah tidak memberangsangkan sebagai simpanan, ini psikologinya!

Siri kali ini, kita akan membicarakan tentang bagaimana “aku” boleh meneruskan kehidupan dengan baki yang hanya tinggal RM400!

Kita sentiasa ada pilihan, dan ia bergantung kepada individu, pilihan yang bagaimana diinginkan. Dalam konteks sara hidup, asakan dan desakan, menyebabkan sesetengah individu tanpa berfikir panjang telah mengambil jalan mudah dalam menangani masalah kewangan, seperti pinjaman “ah long”, ceti, ahli keluarga, rakan, majikan dan yang paling menyedihkan, terdapat segelintir yang mengambil nyawa sendiri dan ahli keluarga akibat terlampau tertekan.

“Aku” mungkin belum sampai ke tahap itu, walau bagaimana pun, tidak mustahil perkara seperti di atas akan berlaku andai tidak ditangani segera. “Aku” masih punya ruang dan waktu dalam memperbaiki kewangan sedia ada, apatah lagi “aku” masih belum berkeluarga, masih muda dan bertenaga. “Aku” juga masih sihat tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan kesihatan. “Aku” boleh melakukannya kerana “aku” mempunyai sikap membayar pinjaman dan bil tepat pada waktunya tanpa berlengah. Ini satu permulaan yang baik.

“Aku” turut sedar akan kedudukan kewangan semasa dan mengakuinya bahawa sesuatu perlu dilakukan. Ini juga sudah dikira cukup baik kerana bukan semua mampu untuk mengaku bahawa mereka berada di dalam keadaan kekangan kewangan. Apa yang dipamerkan, bukanlah keadaan sebenar sesetengah individu.

Teruskan bersama kami bagi membantu “aku” dalam membawa perubahan kepada kedudukan kewangannya. Bukanlah magis yang diperlukan, namun sedikit keinsafan serta keazaman dalam membawa perubahan.

Anda mampu lakukannya!