Diari Seorang "Aku" - Siri 4

“Ligat kepala aku fikir, apa yang aku boleh buat! Takkan selamanya aku nak hidup macam ni. Umur makin lama makin meningkat, tenaga makin berkurangan. Takkan aku tak kahwin, ada anak dan isteri, berkeluarga macam Mail. Mail tu lagi la, gaji lebih kurang aku je, tapi anak dah 2, sekolah pulak tu. Macam mana agaknya Mail urus duit dia, kalau Mail boleh, tak kan aku tak boleh?”.

Dalam siri 1, kita sudah pun mendengar keluhan “aku” dan bagaimana “aku” mengatur perbelanjaannya. Secara anggarannya, pendapatan “aku” tidak mencukupi bagi menampung semua pinjaman dan kelangsungan hidup. Ini berdasarkan nisbah hutang kepada pendapatan yang telah dikongsi dalam Siri 2. Malah, bagaimana untuk mengurangkan perbelanjaan “aku” juga telah dikongsi pada Siri 2.

Siri kali ini, kita membawa bagaimana “aku” boleh mencipta satu pendapatan lain, atau pendapatan sampingan atau lebih dikenali dengan pendapatan pasif dalam konteks kewangan. Sekali lagi, yang penting adalah keazaman untuk melakukan perubahan.

Dalam kekalutan kita cuba mengejar segala perkara termasuklah kecanggihan teknologi yang seringkali dikatakan “dunia tanpa sempadan”, ia sebenarnya turut membuka banyak peluang pekerjaan dan pendapatan. Ramai juga yang memilih untuk berhenti kerja dan melakukannya sepenuh masa dan tidak kurang juga yang melakukannya kerana terpaksa akibat diberhentikan kerja. Waima apa sekalipun sebabnya, kewangan merupakan pendorong kepadanya.

Lambakan peluang yang ada dalam pasaran Perdagangan Bebas Digital (DFTZ- Digital Free Trade Zone) iaitu gabungan zon fizikal serta maya dengan perkhidmatan tambahan dalam talian dan digital telah membuka ruang kepada rakyat untuk menjana pendapatan sebagai usahawan. Perubahan yang dicetuskan oleh pendigitalan bukan sahaja berperanan dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi, tetapi merangkumi peningkatan permintaan pekerja berkemahiran tinggi serta membuka peluang pekerjaan baharu.


“Aku” boleh menggunakan masa senggang yang ada dengan mencipta pendapatan kedua dengan pelbagai cara. Dengan tenaga muda yang ada, “aku” boleh melakukan perubahan pada kedudukan kewangan sedia ada. Mampu atau tidak, itu adalah dari diri sendiri. Mantra yang selalu penulis gunakan, pendapatan kita tidak terhad sebenarnya, namun kita sendiri yang menghadkannya.

Teringat pula penulis pada seorang gadis, yang merupakan riders pada salah satu rangkaian ekonomi digital ini yang menghantar pesanan dirumah penulis baru-baru ini. Berusia 19 tahun dan merupakan seorang pelajar di salah sebuah universiti tempatan. Beliau menjadikan kerja riders ini sebagai kerja separuh masa. Bukan sahaja sebagai pendapatan tambahan, si gadis ini turut menyukainya, dan menggangap ia sebahagian dari ilmu kehidupan yang tidak mungkin ditemui di universiti kerana banyak pengalaman yang dikutip sepanjang menjadi riders ini. Mungkin pendapatan beliau bukan lah sesuatu yang mewah, namun memadai bagi menampung perbelanjaan harian sebagai pelajar!


Sekali lagi, ia bukanlah berapa yang kita ada, namun bagaimana kita menguruskannya. “Aku” boleh pilih untuk URUS!

(U – utamakan perancangan, R – raih simpanan, U – ubah gaya hidup , S –sejahtera kewangan)