Diari Seorang "Aku" - Siri 5

Diari Seorang Aku – Siri 5

Kita sudah sampai ke penghujung siri, penamat kisah “aku” yang penulis kira ia adalah realiti kehidupan dalam masyarakat hari ini. Samada mereka adalah golongan B40, M40 atau T20 sekalipun, kewangan merupakan isu penting yang harus dititik beratkan oleh semua lapisan masyarakat.

Setiap kategori diatas mempunyai isu tersendiri dan menurut hasil kajian AKPK, Financial Behaviour and State of Financial Well-being of Malaysian Working Adults, diantaranya:

i. Mereka yang berpendapatan bawah RM2,000, simpanan merupakan cabaran kewangan yang paling besar

ii. 3 daripada 10 rakyat Malaysia yang bekerja terpaksa meminjam bagi membeli keperluan asas

iii. Mereka yang berpendapatan tinggi dilihat kurang merancang perbelanjaan mereka

Walau apa isu sekalipun, perubahan itu hanya dapat dilakukan seandainya individu itu memilih untuk berubah. “Aku” masih punya ruang dan waktu untuk berubah, pilih untuk URUS disamping berusaha untuk menambah pendapatan. Di mana ada usaha, disitu ada jalan. Kita tidak mampu untuk mengubah apa-apa, andai kita tidak berusaha kearah itu. Hendak seribu daya, tak hendak, seribu dalih. Biarlah tidak mewah, namun cukup untuk kelangsungan hidup, keperluan asas dan juga sedikit simpanan untuk masa depan. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Merancanglah demi masa depan yang lebih terjamin kerana tidak ada seorang pun yang merancang untuk gagal, tetapi ramai yang gagal untuk merancang.

Akhir kata, terima kasih kerana mengikuti siri ringkas “Diari Seorang Aku”. Semoga kisah ini dapat memberi panduan di dalam kita menguruskan kewangan agar mencapai hidup yang sejahtera. Tanpa pengurusan yang betul, ia mungkin boleh membawa kepada permasalahan lain yang turut menjejaskan prestasi kerja dan juga kesihatan. Jadikan pengurusan kewangan sebagai budaya hidup yang berhemat.