#IWD2020 #EachforEqual

“…….Kerana aku seorang wanita”

Kisah 1 - Meesah

Termenung aku mengenangkan cerita wanita bernama Meesah (bukan nama sebenar) sebentar tadi. Banyak kes yang sudah aku dengari, malah ini juga bukan yang luar biasa, namun apa yang menyentuh hatiku, beliau adalah seorang mualaf! Sungguh tergamak beliau diperlakukan begitu. Hancur luluh hati dan berkecai semua harapan.

Perkenalan yang bermula di salah sebuah pejabat PERKIM hingga membibitkan rasa cinta telah menyatukan mereka sebagai suami isteri. Malangnya, jangankan setahun, sebulan juga bukan, hari pertama menjadi isteri, Meesah telah menerima tamparan dari seorang yang bernama suami! Meesah bukan sahaja terkejut, tetapi seolah-olah bermimpi dengan apa yang dialaminya. Penampar yang diterima hanyalah kerana mengejutkan si suami bersolat Subuh!

Datang dalam keadaan penuh duka, tiada senyuman yang terukir, hanya airmata yang mengalir di pipinya yang putih kemerah-merahan. Ternyata wanita ini cantik sebenarnya.

Tidak tergambar olehku, wanita yang bertubuh kecil ini telah di sepak terajang, di tumbuk dan diabaikan selama perkahwinan dengan seorang yang bergelar Ustaz! Sungguh besar harapannya sebagai saudara baru malah perkahwinan yang dibina atas dasar cinta tidak menjanjikan bahagia. Suami yang diharap dapat membimbingnya, rupanya-rupanya lakonan semata-mata. Meesah masih bertahan demi anak-anak, juga kerana Meesah tiada lagi tempat hendak dituju. Sudah lah dibuang keluarga dan saudara mara sendiri kerana berkahwin dengan orang Melayu dan beragama Islam, keluarga mertua juga tidak berkehendakkan Meesah.

Sepanjang perkahwinan, habis gaji Meesah dikerjakan. Tak pernah cukup dengan duit, pinjaman juga dipaksa Meesah buat untuk berniaga katanya. Inilah perangai suami Meesah.