#IWD2020 #EachforEqual

“…….Kerana aku seorang wanita”

Kisah 2 – Puziah

Leka aku mendengar cerita Puziah (bukan nama sebenar). Terlintas di fikiran aku, benarkah cerita ini? Namun, dari raut wajah duka dan kecewanya, mana mungkin cerita ini mampu direkanya. Ditambah pula dengan dokumen yand dilampirkan. Aku tidak mampu untuk membayangkan penderitaan Puziah. Perkahwinan yang dibina selama hampir 28 tahun musnah begitu sahaja. Bukan sahaja kecewa, tapi Puziah masih belum dapat terima apa yang berlaku. 28 tahun itu satu tempoh yang sangat panjang, malah Puziah merasakan tempoh itu sudah cukup untuk beliau mengenali luaran dan dalaman suaminya.

Terduduk Puziah dengan perbuatan suaminya. Suaminya bukanlah muda untuk bertindak sedemikian rupa, namun itulah yang berlaku. Puziah ditinggalkan begitu sahaja, hilang entah kemana, malah Puziah sendiri tidak tahu ke mana suaminya pergi. Perangai suaminya berubah mendadak apabila Puziah tidak lagi sempurna seperti dahulu. Puziah jatuh dibilik air hingga terpaksa berkerusi roda. Puziah mendapat pencen ilat dan masih mampu untuk meneruskan kehidupan. Namun, Puziah masih ada pinjaman. Ansuran rumah yang perlu dijelaskan serta beberapa keping kad kredit. Ini belum masuk lagi dengan pinjaman peribadi yang ditolak dari gaji. Puziah bukan sahaja kehilangan suami, namun berita dari universiti turut merobek hatinya sebagai ibu. Anaknya kemalangan hingga koma! Terduduk Puziah mendapat perkhabaran itu. Hancur luluh hati seorang ibu. Anak yang diharap dapat membantunya kini memerlukan penjagaan khusus.

Suami yang diharap dapat bersama-sama susah dan senang, rupanya seorang lelaki yang takut dengan kesusahan. Seorang lelaki yang tidak boleh menerima kekurangan. Puziah pernah hilang arah, buntu, kusut, sedih dan mahu sahaja Puziah mengambil nyawa sendiri. Bagaimana harus Puziah tangani, mana dengan masalah pinjaman, suami yang hilang entah kemana dan anak yang sakit lagi. Nasib Puziah masih mempunyai seorang lagi anak, yang kini menjadi tempatnya berpaut. Rezeki Puziah mendapat seorang anak lelaki yang tahu tanggungjawabnya.