Moratorium : Untuk siapa?

MORATORIUM, UNTUK SIAPA?

Moratorium bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat Malaysia pada hari ini. Ia adalah antara perkara yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Dalam mana-mana grup WhatsApp saya, soalan mengenai moratorium inilah yang sering diajukan. Tidak kurang juga soalan yang datang daripada mereka yang pernah hadir ke sesi taklimat saya, termasuk penganjur taklimat dan juga mereka yang pernah mendapatkan khidmat kaunseling kredit daripada saya. Ada yang bertanya, “Patutkah saya mengambilnya?”, “Apa implikasinya selepas 6 bulan nanti?” dan pelbagai lagi soalan yang saya sendiri tidak mampu untuk menjawabnya satu per satu. Maka lahirlah artikel ini bagi menjawab setiap persoalan berkenaan dengan moratorium ini, dan saya berharap agar ia membantu.

Saya tidak akan menerangkan apa itu moratorium kerana saya yakin ramai yang sudah memahaminya berbanding sebelum ini. Saya hanya ingin memaklumkan bahawa moratorium ini bukanlah sesuatu yang baharu. Setiap kali saya mengupas isu moratorium ini, persoalan yang sering dilemparkan ialah kenapa mereka (peminjam) tidak tahu mengenainya, dan kenapa pihak bank tidak memaklumkan mereka akan kewujudannya? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan bahawa ia hanyalah untuk mereka yang memerlukannya sahaja. Secara tidak langsung, ini sudah pun menjawab persoalan tentang siapakah yang patut mengambil moratorium ini. Walaupun begitu, saya akan menjelaskannya lagi dengan mengajukan persoalan-persoalan berikut:

1. Adakah anda mempunyai masalah dalam pembayaran pinjaman sebelum krisis COVID-19 melanda?

2. Adakah anda tidak mempunyai simpanan atau hanya ada sedikit sahaja simpanan?

3. Anda tidak mempunyai dana kecemasan?

4. Anda tidak mempunyai pendapatan tetap?

5. Adakah anda bekerja sendiri?

6. Adakah anda mempunyai pendapatan yang terhad—cukup makan sahaja

7. Adakah anda merupakan individu yang akan mengalami masalah kecairan (liquidity) dan menghadapi ketidakpastian kewangan dalam masa terdekat?

Sekiranya anda menjawab ‘ya’ pada salah satu daripada soalan di atas, maka kami menyarankan agar anda ambil moratorium ini. Sungguhpun begitu, anda perlu ingat akan tujuan utama anda mengambilnya! Ramai juga yang mempersoalkan tentang kadar—sama ada ia bertambah atau tiada perubahan. Soal kadar ini sebenarnya bukanlah perkara pokok dalam keadaan sekarang ini kerana sekiranya anda tidak memerlukan moratorium ini, maka tidak perlulah khuatir tentang kadar. Bagi mereka yang menerimanya pula, mana satukah keutamaan mereka, moratorium atau kadar?

Moratorium ini banyak manfaatnya dari segi kewangan seandainya kita mampu untuk mengurusnya. Sekiranya kita sememangnya sudah mempunyai masalah dalam pembayaran balik pinjaman tetapi tidaklah sampai tertunggak, maka inilah masanya untuk kita belajar dari kesilapan dan membetul pengurusan kewangan kita agar pinjaman kita tidak melebihi daripada apa yang mampu kita bayar.

Katakanlah anda mempunyai komitmen bulanan bagi kesemua pinjaman yang sebanyak RM1,500. Dengan moratorium, jumlah terkumpul bagi enam (6) bulan adalah sebanyak RM9,000! Kita mungkin tidak mampu untuk menjana simpanan sebanyak itu dalam tempoh enam (6) bulan! Maka, dengan RM9,000 ini, kita mampu untuk menyelesaikan pinjaman yang ada, sama ada dengan institusi kewangan ataupun penyedia kredit yang lain—kalau bukan semua, mungkin sebahagian.

Walau bagaimanapun, ia hanyalah andaian bahawa wang ansuran bulanan yang sepatutnya dibayar kepada institusi kewangan ini tidak digunakan. Seperti artikel yang pernah dikeluarkan sebelum ini, saya sering mengingatkan bahawa antara perkara yang paling penting dalam mengurus kewangan ialah DISIPLIN! Tiada apa yang mampu dicapai andai tidak mempunyai disiplin yang tinggi.

Wang ansuran bulanan merupakan komitmen kita kepada pihak bank setiap bulan tetapi untuk enam (6) bulan ini, komitmen itu tidak ada; bukankah ini satu kelebihan? Oleh itu, manfaatkanlah wang yang ada ini dengan sebaik-baiknya kerana kita tidak tahu bilakah saat dan ketikanya kita sangat memerlukannya. Jadikan krisis hari ini sebagai pengajaran untuk kita merancang kerana dugaan datang tanpa kita sangka!

Saya tinggalkan puisi di bawah untuk renungan bersama:


Apa guna harta benda, wabak tetap datang menyinggah

Apa guna kereta mewah, andai diri terkurung sudah

Apa guna duit melimpah, hati resah jiwa gundah

Apa guna pakaian mewah, kita hanya duduk di rumah


Apa guna akal yang panjang, andai tidak diguna pakai

Apa guna ilmu di dada, andai ia tidak dirungkai

Apa guna bijak pandai, andai perintah dipertikai

#KitaJagaKita, harus kita guna pakai


Usah merintih, usah mengeluh

Bantuan diberi sangatlah jenuh

Duduk di rumah dengan bersungguh

Agar rantaian terputus jauh


Cukup sudah lidah bertikaman

Cukup sudah kita berfahaman

Jadikan musibah satu pedoman

Agar hidup teratur dan aman