PKP Versi Kami

Selamat menyambut Ramadan buat semua rakyat Malaysia, khususnya pembaca sekalian. Tanpa mengira badai yang melanda Ramadan tetap hadir. Bersyukurlah kerana kita dipertemukan sekali lagi dengan bulan al-Quran ini.

Sempena bulan yang mulia ini, saya ingin kongsikan PKP versi kami di AKPK. Bukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ingin saya bawakan kepada anda dalam artikel kali ini tetapi maksud lain di sebalik akronim ini. Setelah lebih sebulan PKP berkuat kuasa, ramai yang sudah mula menerima keadaan atau perubahan yang berlaku dalam kehidupan harian mereka. Rata-rata di media sosial, sama ada bertauliah mahupun tidak, ramai yang kerap memuat naik kata-kata nasihat, semangat, ekspresi diri malah tidak kurang juga kata-kata yang bernada keagamaan berserta hukum-hakam tentang bagaimana seharusnya kita reda agar dapat mendekatkan diri kepada Khalik! Maka, seiring dengan trend tersebut, artikel ini juga senada dan bukan juga daripada seorang pakar. Namun, ia diharap dapat membantu anda agar melihat PKP ini dari dimensi yang lain.

Melihat langit hari ini ternyata indahnya ciptaan Tuhan—begitu cerah dan ceria seakan-akan sedang mendendangkan lagu nan girang. Begitu juga dengan aliran sungai tanpa pencemaran buangan manusia sehingga dikhabarkan Sungai Klang menyaksikan penurunan jumlah sampah sebanyak 43 peratus. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/679632/pkp-sungai-klang-lebih-bersih

Terngiang-ngiang bait lagu nyanyian Ebiet G. Ade yang bercerita tentang makhluk Tuhan yang lain:

Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita

Yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa

Atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita

Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang

Adakah ini bermakna alam sudah mula berkata-kata? Atau, mungkinkah kita lupa bahawa terdapat makhluk lain yang juga sama-sama menghuni bumi ini? Terbuai rasanya mendengarkan setiap bait lagu ini, dan andai dihayati ternyata inilah yang sedang berlaku. Bagaimana harus kita terus bertahan? Bagaimana seandainya PKP dilanjutkan? Bagaimana harus kita menanganinya? Inilah yang saya ingin bawakan kepada anda semua:


1. P - POSITIF

Sila kekal positif dan jangan mudah mengalah dengan keadaan yang berlaku.

Saya teringat kata-kata Prof. Muhaya ketika menjadi penceramah jemputan di sesi FB Live AKPK baru-baru ini tentang bagaimana untuk positif, iaitu dengan melahirkan rasa syukur. Program yang bukan sahaja membicarakan tentang personal (diri) tetapi juga spiritual menekankan bahawa kita harus melihat musibah ini sebagai satu hikmah sehingga terbit rasa syukur. Malah, berfikiran positif juga dapat membuatkan tubuh lebih sihat.


2. K - Kawal Selia

Ramadan ialah bulan yang disarankan untuk kita bersederhana malah ia turut membawa manfaat ekonomi kepada isi rumah kerana ibadah puasa dapat membendung seseorang itu daripada melakukan pembaziran terutamanya dari aspek pembelian makanan, minuman dan barangan yang lain.


Dalam surah al–Israa’, ayat 26–27, Allah berfirman yang mafhumnya, “…dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang membazir (boros) itu ialah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula ialah makhluk yang sangat kufur (ingkar) kepada Tuhannya”.


Kerana itu, amat penting untuk kita mengawal selia perbelanjaan isi rumah supaya tiada pembaziran terutamanya pada saat genting ketika ini.


Ayat 31, surah al–A’raaf menerangkan, “…dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang–orang yang melampaui batas”.


Tidak perlulah sampai mengikat perut tetapi sekadar mengawal perbelanjaan kerana bulan Ramadan ialah bulan yang terbaik untuk kita berbuat demikian. Tambahan pula, tiada bazar Ramadan untuk kita menjamu mata tahun ini kerana melayankan tekak yang teringinkan pelbagai juadah dan penghilang dahaga yang dijaja.


3. P - Panik untuk Simpanan

Di saat getir ini mampukah kita menyimpan? Relevankah untuk kita membuat simpanan? Bagi yang masih mempunyai gaji walaupun hanya sebahagian, bersyukurlah. Mereka yang mendapat moratorium juga harus bersyukur dan mereka yang terputus pendapatan tetapi masih mendapat bantuan juga sepatutnya bersyukur. Mak saya selalu berpesan, “Lihatlah mereka yang di bawah bukan mereka yang di atas, baru wujud rasa syukur!” Oleh kerana itu, ilmu simpanan ini sebenarnya mudah—simpan walau hanya seringgit! Namun, kesilapan yang kerap berlaku ialah kita tidak menyimpan kerana melihat nilainya yang hanya seringgit. Padahal, lebih baik sedikit daripada tiada langsung.


Akhir kalam, mari kita sama-sama mengamalkan PKP versi ini agar kita dapat terus bertahan dengan dugaan dan ujian yang datang.

“Mengeluh hanya akan membuat hidup kita semakin tertekan, sedangkan bersyukur akan sentiasa membawa kita ke jalan kemudahan”.

Semoga Allah melindungi kita semua!

#StayHome

#KitaJagaKita

#AKPKLuarBiasa