Makcik Kiah Rempeyek Raya

Bangga tidak terkira Mak Cik Kiah bila namanya menjadi sebutan ramai. Popular tanpa dicari! Mak Cik Kiah yakin sesiapa sahaja yang bernama Kiah pasti tersenyum lebar dengan populariti yang dikecapi mereka tanpa publisiti. Kalah artis! Akan tetapi yang membuatkan Mak Cik Kiah lebih bangga ialah rempeyeknya yang viral sehingga Mak Cik Kiah lebih dikenali dengan panggilan Kiah Rempeyek.

Mak Cik Kiah tahu bukan dirinya sahaja yang berniaga rempeyek malahan ramai lagi peniaga rempeyek yang lain. Namun, entah mengapa rempeyek Mak Cik Kiah yang menjadi pilihan. Inilah rezeki namanya. Bila kita reda dengan sesuatu keadaan kemudian mensyukuri nikmat yang Tuhan berikan maka ia akan membangkitkan rasa positif dan akal pula akan fokus untuk mengusahakan sesuatu. Inilah yang Mak Cik Kiah lakukan. Mak Cik Kiah tidak hanya berserah pada nasib dan membiarkan krisis yang melanda sebagai alasan untuk mengalah dan duduk diam tanpa melakukan apa-apa.

Dari waktu PKP fasa pertama lagi, Mak Cik Kiah sudah menjangkakan pisang gorengnya tidak lagi boleh beroperasi. Pada masa yang sama ramai pula yang menjadi akauntan tidak bertauliah bagi pihak Mak Cik Kiah. Mereka awal-awal lagi sudah mengira pendapatan Makcik Kiah selepas mendapat bantuan dan penjimatan. Mak Cik Kiah pula tahu bantuan yang datang hanya bersifat sementara—untuk enam bulan! Kerana itu Mak Cik Kiah berniaga nasi lemak.

Masuk bulan Ramadan, Mak Cik Kiah masih berniaga nasi lemak mengikut tempahan sambil menyelitkan sekali beberapa keping rempeyek bersama setiap tempahan nasi lemaknya bagi tujuan promosi. Mak Cik Kiah yakin dengan formulanya—dalam 10 tempahan nasi lemak pasti ada sekurang-kurangnya satu tempahan rempeyek. Ini belum mengambil kira promosi yang dijalankan oleh Azura—anak perempuan Mak Cik Kiah—melalui media sosial. Untuk anak muda seperti Azura, mudah sangat untuk berniaga dalam talian apatah lagi jika disertakan dengan testimonial.

Mak Cik Kiah memang suka makan rempeyek kerana itu dia gemar membuatnya. Rempeyeknya nipis, ranggup, tidak terlalu berminyak, ada kacang 2 atau 3 butir serta ikan bilis. Ikan bilisnya pula sudah berkopek, bersih dan garing. Mak Cik Kiah hanya jual rempeyek original, seperti zaman kanak-kanaknya dahulu walaupun Mak Cik Kiah sedar akan persaingan daripada pelbagai jenis rempeyek lain seperti rempeyek kacang dhal, kacang hijau, ikan bilis atau kacang tanah sahaja.

Bagi Mak Cik Kiah, modalnya tidaklah begitu mahal malah keuntungannya juga boleh tahan. Yang leceh hanyalah masa yang diambil kerana agak lama juga untuk menghabiskan sekilo tepung. Maklumlah, rempeyek Mak Cik Kiah nipis! Mungkin itulah modal termahal dalam resipi rempeyek tetapi itulah juga keistimewannya.

Bantuan awal yang Mak Cik Kiah dapat itulah yang dijadikan modal. Mak Cik Kiah guna tidak sampai RM300 pun. Tepung, minyak, ikan bilis, kacang tanah serta sedikit rempah ratus buat ramuan rempeyek. Lenguh juga kaki Mak Cik Kiah berdiri menggorengnya. Mak Cik Kiah menjual rempeyeknya dengan harga RM15 ringgit sepaket. Dalam satu peket ada dalam 55 hingga 60 keping rempeyek dengan berat antara 400 ke 420 gram. Ada yang kata murah dan ada yang kata mahal—inilah adat berniaga sebenarnya.

Dari waktu umat Islam baru sahaja menyambut Ramadan lagi, Mak Cik Kiah sudah mendapat tempahan. Walaupun tidak banyak tetapi berbaloi. Rempeyek yang ditempah mungkin untuk dijadikan kudapan selepas selesai sembahyang tarawih. Mak Cik Kiah mengagak, dua minggu sebelum raya ini, tempahannya pasti meningkat. Dia bukan cari duit untuk persiapan hari raya tetapi kerana bimbang kalau-kalau selepas PKP nanti dia tidak berduit. Inilah caranya untuk Mak Cik Kiah jana pendapatan untuk kecemasan.

Hari raya tetap dirai tetapi tahun ini Mak Cik Kiah berazam untuk menyediakan juadah di pagi raya sahaja. Janji ada ketupat dan rendang, iaitu makanan yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak Mak Cik Kiah setiap kali tiba hari raya. Rendang pula Mak Cik Kiah akan gunakan ayam pencen supaya isinya tidak hancur. Harganya juga agak murah berbanding dengan harga ayam biasa. Mak Cik Kiah juga bercadang untuk open order bagi rendang ayam pencennya.

Kelengkapan lain untuk hari raya Mak Cik Kiah rasa tidak perlu. Pakai sahaja apa yang ada. Kalau tidak mahu pakai baju raya tahun lepas sebab takut ada yang perasan, pakai sahaja baju raya tahun-tahun sebelumnya. Begitu juga dengan langsir, perabot dan kelengkapan anak-anak. Pak Mail juga bersependapat dengan Mak Cik Kiah. Baginya, memadai dengan berkain pelekat serta baju Melayu lama.

Mak Cik Kiah merasakan ujian Allah tahun ini sangat indah. Walaupun mencabar, ia digantikan dengan suasana yang jarang sekali Mak Cik Kiah dapat, iaitu berbuka bersama dengan kesemua anaknya, sembahyang tarawih berjemaah bahkan semua anak Mak Cik Kiah menjadi tenaga kerja menyiapkan tempahan memandangkan semuanya ada di rumah. Mak Cik Kiah juga tidak bercadang untuk membuat biskut raya seperti tahun-tahun sebelumnya; memadailah satu atau dua jenis kegemaran anak-anak sahaja kerana mungkin tahun ini tidak ada yang datang bertandang.

Mak Cik Kiah bukan hendak mengajar tetapi krisis yang melanda sangat besar impaknya pada Mak Cik Kiah sekeluarga. Pak Mail tidak lagi membawa Grab dan anaknya Ali pula gajinya dipotong separuh. Sebelum ini, pendapatan Pak Mail dan pemberian Ali banyak membantu dalam menampung perbelanjaan harian mereka sekeluarga. Kerana itu Mak Cik Kiah sangat berhati-hati dengan perbelanjaannya sekarang.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang paling bagus untuk melakukan perubahan dalam formula kewangan kita. Mak Cik Kiah hanya memasak untuk berbuka sahaja manakala waktu sahur Mak Cik Kiah hanya memanaskan lauk berbuka. Anak-anaknya pun kurang makan ketika bersahur, dan bagi Pak Mail pula, dua atau tiga biji kurma serta air suam sudah memadai. Anak-anaknya tidak cerewet. Tidak kira apa masakannya, asalkan Mak Cik Kiah yang masak, ia sudah pasti menyelerakan. Itulah kebahagian buat Mak Cik Kiah.

Bagi Mak Cik Kiah, raya tetap dirai dalam keadaan apa sekalipun tetapi bersederhana itu adalah lebih baik kerana bukan baju baru yang menjadi ukuran berhari raya tetapi nilai diri dalam mensyukuri segala nikmat pemberian-Nya.

Oleh itu, pilihlah yang positif supaya hati kita boleh berasa lega. Pilihlah untuk bersyukur supaya kita lebih tenang dan selebihnya kita berdoalah agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan dan negara kita pulih seperti sediakala.

Inilah cerita Mak Cik Kiah Rempeyek beraya—biar tidak bergaya, janji raya! Cerita Mak Cik Kiah ini juga boleh didapati di ask.akpk.org.my atau power.akpk.org.my


Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.