Muhasabah kewangan

Hikmah COVID-19: Inilah masanya untuk muhasabah kewangan


Wabak COVID-19 yang melanda seantero dunia pada ketika ini memberi pelbagai implikasi ekonomi, sosial dan politik kepada penduduk dunia. Kesan yang ketara akibat wabak ini ialah kesediaan anggota barisan hadapan bagi memerangi wabak ini hingga ke garisan penamat. Dalam masa yang sama, kesan kewangan kepada pengguna tidak dapat dielakkan yang memungkinkan kita perlu bersedia untuk mendepani situasi kehidupan dengan normal baharu.


COVID-19 merubah segalanya. Wabak ini secara langsung telah merubah struktur kehidupan masyarakat dan memberi impak kepada landskap kewangan pengguna secara amat dramatik. Walau bagaimanapun, setiap bencana itu pasti ada hikmah-Nya. Bagi mengatasi kesukaran masyarakat dalam menghadapi kesulitan ini, kerajaan Malaysia telah melancarkan pakej bantuan PRIHATIN dalam bentuk bantuan kewangan. Antaranya adalah memberikan pakej moratorium kewangan dengan penangguhan bayaran pinjaman di institusi kewangan yang diharap dapat mengurangkan tekanan ekonomi kepada masyarakat, khasnya pengguna.


Tempoh moratorium kewangan yang diberikan selama 6 bulan dilihat berupaya mengimbangi tekanan kewangan yang dihadapi oleh rakyat jelata dalam suasana bencana ini. Justeru itu, penstrukturan semula aliran tunai perlu dilakukan oleh pengguna dengan serta merta. Peluang yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam menangani isu kewangan perlu diuruskan dengan bijak agar tidak menyimpang daripada matlamat bantuan yang diberikan. Dalam hal ini, pengguna perlu melakukan muhasabah kewangan dengan meneliti semula struktur pendapatan dan perbelanjaan yang sedia ada.


Sesungguhnya, Malaysia bumi bertuah. Di sebalik bencana global COVID-19 yang melanda negara, kerajaan tampil dengan pakej PRIHATIN bagi membantu pengguna menghadapi kesukaran kewangan pada masa kini. Di samping pakej ransangan ekonomi dan moratorium kewangan yang disediakan untuk manfaat pengguna, kerajaan Malaysia sebenarnya telah lama bersedia dalam menghadapi kegetiran masalah kewangan pengguna dengan menyediakan platform khidmat kaunseling kewangan yang diuruskan oleh pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). AKPK memainkan peranan yang utama dalam memberi perkhidmatan kaunseling dan bimbingan kepada pengguna dalam mengamalkan pengurusan kewangan berhemat sebagai budaya hidup.

AKPK yang beribu pejabat di Bangunan Maju Junction, Kuala Lumpur, mempunyai kakitangan yang berkepakaran dalam melaksanakan kaunseling kewangan kepada pengguna yang menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan. AKPK juga beroperasi melalui cawangannya hampir di seluruh negeri termasuklah di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, terpulanglah kepada pengguna untuk menentukan kesejahteraan kewangan masing-masing secara bijak demi manfaat masa hadapan yang lebih baik. Kesemuanya telah disediakan oleh pihak kerajaan dan agensi yang berkaitan. Tepuk dada tanya minda! Bertindaklah sebelum terlambat bagi memastikan iklim kewangan pengguna berada di tahap yang paling kondusif seiring dengan tingkat pendapatan dan perbelanjaan yang direncanakan.


Dalam hal ini, pengguna dinasihatkan agar melakukan muhasabah kewangan terutamanya dalam menentukan objektif penggunan kewangan. Objektif penggunaan pendapatan atau sumber kewangan yang ada perlu disusun semula bagi menyesuaikan bebanan hutang kewangan yang perlu ditanggung. Oleh itu, manfaat moratorium kewangan perlu digunakan sebaik mungkin dengan menyusun semula struktur bebanan hutang yang perlu dilangsaikan oleh pengguna. Sekurang-kurangnya, selepas tamat tempoh moratorium kewangan pada bulan September nanti, bebanan hutang yang ditanggung pengguna hampir berkurangan ataupun telah selesai.


Contohnya, penyelesaian hutang kad kredit boleh dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan moratorium kewangan yang diberikan ke atas pinjaman kenderaan, pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi yang ditanggung oleh pengguna. Kesempatan ini perlu dimanfaatkan dengan baik bagi memulihkan struktur kewangan pengguna. Elemen muhasabah kewangan yang perlu dilakukan adalah dengan mengkaji semula bajet kewangan dengan sebaiknya. Perbelanjaan secara berjimat perlu dilaksanakan berasaskan objektif keperluan dan bukannya untuk memenuhi tujuan kehendak semata-mata. Senarai perbelanjaan yang berobjektif perlu disediakan sebelum sesuatu transaksi perbelanjaan dilaksanakan. Langkah ini dapat mengelakkan masalah ketirisan dalam penggunaan kewangan.


Pada masa kini, kehendak nafsu dalam berbelanja perlu dikawal dengan sepenuh jiwa. Disiplin dan ketegasan dalam perbelanjaan perlu diterapkan dalam diri setiap pengguna. Hal ini amat perlu bagi memastikan matlamat yang telah dirancang berjaya dilaksanakan dengan sebaiknya. Sematkan ingatan dalam diri sendiri bahawa dalam setiap sesuatu perbelanjaan “kita yang mengawal wang! Bukannya wang yang mengawal diri kita!”

Dalam menghadapi situasi kewangan yang penuh mencabar ini, pengguna dinasihatkan agar sentiasa peka dengan status aliran tunai dari semasa ke semasa. Memahami status aliran tunai diibaratkan seperti memeriksa tahap kesihatan diri setiap individu. Aliran tunai merupakan suatu penanda aras kesihatan kewangan pengguna yang perlu dikenal pasti bagi memastikan tahap daya upaya kewangan berfungsi dengan sinergi yang luar biasa.


Pendemik kewangan harus dikawal agar perbelanjaan yang dilakukan tidak melebihi jumlah kemampuan pendapatan yang ada. Hal ini dapat mengelakkan virus defisit dalam kesihatan kewangan pengguna. Defisit adalah kurangan dalam sumber kewangan yang menjadi bebanan kepada pengguna bagi menguruskan keperluan diri dan keluarga.


Virus defisit kewangan boleh menyebabkan simptom jangkitan kewangan yang merebak dalam bentuk penciptaan hutang baharu. Oleh itu, bagi mengelakkan masalah defisit kewangan, amalan berbelanja secara berhemat perlulah diutamakan demi memastikan kesejahteraan aliran tunai dapat berlangsung dengan cekap.


Dalam menghadapi wabak COVID-19, daya tahan kewangan pengguna perlu diperkasa dengan melipatgandakan amalan tabungan yang lebih komprehensif. Terdapat pelbagai platform tabungan yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna seperti tabungan pendidikan anak-anak, tabungan persaraan, tabungan Haji serta pelbagai lagi dana tabungan yang diiktiraf oleh kerajaan.  Hal ini penting agar masa depan kewangan pengguna sentiasa berada dalam keadaan bersedia terhadap segala kemungkinan berbentuk kemelesetan ekonomi dan kewangan.


Bagi mengukuhkan daya tahan kewangan, dalam masa yang sama pengguna juga perlu memberi pertimbangan terhadap perlindungan risiko kewangan berbentuk takaful dan insuran.  Hal ini penting bagi meminimumkan risiko kewangan yang dihadapi dengan sistematik agar tidak menjadi bebanan yang lebih dramatik ketika menghadapi ketidaktentuan ekonomi di masa hadapan.


Ringkasnya, COVID-19 yang sedang kita perangi kini perlulah dihadapi dengan positif melalui muhasabah kewangan yang penuh istiqamah dengan perbelanjaan yang paling berhemah.  Oleh itu, pengguna perlu mengelakkan hutang kewangan dengan meningkatkan tabungan, melakukan modifikasi kewangan demi masa depan ekonomi keluarga yang lebih mapan dan berwawasan.

Artikel ini ialah hasil tulisan dan pandangan daripada Dr. Azwan bin Abdullah, Pensyarah Kanan, Fakulti Keusahawan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan dan Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (INSPEK), Universiti Malaysia Kelantan. Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan AKPK.