Raya Virtual

Di hari raya terkenang daku kepada si dia

Kampungku indah nun jauh di sana… ayah serta bondaku

Di tepian mandi danauku hijau yang damai selalu

Di sanalah tempatku bertemu, aku dan dia…


Menitis air mataku tatkala mendengar lagu Dendang Perantau nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berkumandang di radio. Segala keindahan di kampung terus menerjah ingatan. Sayup-sayup terbayang wajah mak yang mengukir senyuman melihat telatah kami adik beradik yang sibuk dengan tugasan masing-masing untuk menyambut hari lebaran—ada yang di dapur, laman hadapan, ruang tamu dan juga yang sedang memanjat untuk mencuci kipas dan tingkap. Semua kerja kami lakukan sendiri sambil mendengar lagu-lagu raya yang rancak berkumandang. Aku masih boleh bayangkan bau rendang mak di atas dapur dan juga gulai ayam.


Boleh dikira dengan jari berapa kali aku tidak beraya di kampung. Tapi kali ini lain ceritanya—bukan tidak mahu pulang tetapi tidak dibenarkan pulang! Walau jiwa dan hati ini diasak-asak dan meronta-ronta untuk segera pulang, aku akur dengan situasi yang melanda, malah aku yakin bukan aku seorang sahaja yang mempunyai perasaan ini. Ramai yang cuba untuk balik kampung walau secara curi-curi, namun aku memilih untuk bersikap terbuka dan positif. Ini pilihan yang aku ada dan yang terbaik ketika ini (https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/05/689590/ada-curi-curi-balik-kampung-sambut-aidilfitri)


Seandainya kepulangan kita membawa musibah dan bencana kepada keluarga, maka kegembiraan Aidilfitri apakah yang kita raikan? Demi kasih sayang kita kepada keluarga, tabahkanlah hati untuk tidak pulang ke kampung kerana tindakan kita  boleh membawa mudarat kepada mereka yang berisiko. Amalan yang biasa kita lakukan sebelum ini tidak lagi boleh dilakukan kerana kunjung-mengunjung, bersalaman dan berpelukan boleh menyebabkan kemudaratan. Ini diguna pakai untuk semua keadaan sama ada raya di kampung atau di mana sahaja. Berdoalah semoga Allah SWT mempertemukan kita dengan Syawal yang akan datang dan seharusnya kita bersyukur kerana masih dapat meraikan Syawal walaupun bukan seperti sebelumnya.


Walau bagaimanapun, kita masih mampu untuk meraikannya sama seperti di kampung dengan menciptakan suasana yang sama. Tidak dinafikan keseronokan beraya di kampung jauh berbeza dengan di bandar. Namun, bagi membangkitkan perasaan yang sama, banyak perkara yang boleh kita lakukan bagi melepas rindu beraya di kampung.


Apa kata kita reka elemen raya dengan cara menghias rumah dan melakukan perkara yang sama seperti di kampung seperti membersihkan persekitaran rumah dan memasang pelita atau panjut bagi meraikan malam tujuh likur. Jangan lupa juga memasang lampu ‘lip-lap’ yang berwarna-warni. Sekiranya ada sampul raya yang terpakai, bolehlah digantung sebagai hiasan berserta ketupat hiasan. Selain daripada itu, menu turun-temurun keluarga boleh dijadikan hidangan di pagi raya. Bagi mereka yang tidak pernah menganyam ketupat, mungkin boleh cuba untuk melakukannya sendiri melalui panduan video di laman sosial ataupun YouTube. Begitu juga dengan lemang dan dodol; tidak ramai yang melakukannya sendiri kerana renyah tetapi inilah keseronokkan beraya di kampung kerana kita melakukannya secara bergotong-royong sesama ahli keluarga. Sambil bekerja cuba pasang lagu raya bagi menaikkan semangat untuk berhari raya. Sebenarnya kitalah yang menentukan kemeriahan raya yang bagaimana untuk kita raikan.


Raya kali ini banyak membawa manfaat kepada kita tanpa kita sedari. Tahukah anda bahawa tidak dibenarkan balik kampung, ziarah menziarahi dan menganjurkan rumah terbuka sebenarnya tidak memberikan tekanan kepada emosi kita? Kali ini, kita boleh menjadi diri sendiri tanpa perlu cuba untuk menunjuk-nunjuk dan ‘impress’ sesiapa. Tidak ada sesiapa yang akan komen atau melihat baju apa yang kita pakai, berapa harganya dan saling membanding sehingga timbul rasa riak dan bangga diri. Malah dengan ketiadaan tetamu, hiasan rumah kita tidak akan menjadi bualan—sama ada dipuji atau dikomen. Memang sifat semula jadi manusia yang suka bila dipuji tetapi sakit hati bila dikeji. Bila kita bertandang pula, ada yang akan melihat kereta apakah yang kita bawa, jenama beg tangan apakah yang kita pakai, berapa banyakkah barang kemas di badan—semuanya menjadi perhatian. Sekurang-kurangnya ini tidak berlaku tahun ini!

Pandanglah raya kali ini dengan penuh hikmah kerana mungkin untuk pertama kalinya kita mengimamkan seluruh ahli keluarga untuk sembahyang sunat Aidilfitri. Untuk sesetengah kita, mungkin juga inilah kali pertama kita beraya di rumah sendiri.


Apapun, siapa kata kita tidak boleh beraya dengan ibu bapa? Dengan kecanggihan teknologi dan aplikasi sedia ada,  kita masih mampu untuk berhubung dengan ahli keluarga melalui panggilan video beramai-ramai tanpa mengira di mana kita berada. Kita masih mampu untuk menatap wajah kedua orang tua dan bermaaf-mafan seperti selalu. Raya kali inilah kemenangan buat kita sebenarnya kerana memilih untuk tidak pulang ke kampung. Itulah pengorbanan dan nilai kasih sayang kita kepada mereka. Raya virtual namanya! Jangan lupa bagi duit raya pada ibu bapa—dalam talian kan ada?


Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.


#SeronoknyaRayadiRumah

#KitaMenang