Simpan Dahulu Sebelum Belanja – Teknik Mudah Menyimpan

Simpan Dahulu Sebelum Belanja – Teknik Mudah Menyimpan


Sejak kecil lagi kita biasa mendengar pepatah mengenai kepentingan menyimpan iaitu “Berdikit-dikit lama-lama jadi bukit”. Sepatutnya aktiviti menyimpan ini menjadi amalan dan budaya dalam kehidupan seharian kita. Namun, ramai dalam kalangan masyarakat kita sebenarnya tidak memahami konsep asas menyimpan. Bagi kebanyakan orang, mereka akan menyimpan apabila mempunyai wang lebihan. Pada hakikatnya, berapa ramai dalam kalangan kita yang mempunyai wang lebihan pada akhir bulan (sebelum menerima gaji berikutnya)? Ini diperkukuhkan oleh dapatan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Sudut Permintaan 2018 oleh Bank Negara Malaysia. Empat perkara yang membimbangkan tentang rakyat Malaysia ialah tahap pengetahuan kewangan, simpanan dan belanjawan, kesediaan menghadapi peristiwa yang tidak dijangka dalam kehidupan, dan perancangan untuk persaraan. Antara dapatan yang menarik untuk dikongsi dan dihayati secara bersama ialah rakyat Malaysia umumnya memiliki tahap keyakinan yang rendah terhadap pengetahuan kewangan mereka sendiri. Lantaran itu, satu daripada lima orang dewasa Malaysia yang bekerja tidak membuat simpanan dalam tempoh enam bulan sebelumnya. Manakala 84% rakyat pula menyatakan bahawa mereka mempunyai simpanan untuk jangka masa terdekat iaitu simpanan yang dikeluarkan pada akhir bulan untuk menampung perbelanjaan seharian. Terdapat 52% rakyat Malaysia pula yang merasakan sukar untuk menyediakan RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan.


Laman sesawang finder.com melaporkan bahawa empat negara yang mempunyai kadar simpanan peribadi (personal savings rate) yang tinggi pada tahun 2020 adalah Luxembourg (18.09%), Switzerland (17.47%), Sweeden (17.04%) dan Germany (10.47%). Maklumat ini dipetik daripada laporan Organization for Economic Cooperation and Development (OECD). Laporan Institut Penyelidikan Khazanah pula mendapati purata kadar simpanan isi rumah Malaysia antara tahun 2006 sehingga 2013 adalah pada kadar 1.6%. Berdasarkan dapatan di atas kita dapat membuat kesimpulan bahawa tabungan atau simpanan kebanyakan rakyat Malaysia masih belum mencukupi lebih-lebih lagi sekiranya berlaku sebarang kecemasan.


Pakar pengurusan kewangan peribadi telah memberi panduan bahawa setiap individu mahupun keluarga perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan yang diterima setiap bulan sebagai simpanan. Selain itu, mereka juga perlu mempunyai sekurang-kurangnya tiga (3) hingga enam (6) bulan perbelanjaan atau pendapatan yang dapat dijadikan sebagai simpanan untuk dana kecemasan. Walau bagaimanapun, ramai dalam kalangan rakyat yang mengeluh bahawa mereka tidak mengetahui kaedah untuk membuat simpanan dan ini merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada persoalan iaitu kenapa mereka tidak membuat simpanan atau tidak mempunyai amaun simpanan yang mencukupi. Berikut dibincangkan beberapa teknik yang boleh membantu anda dan keluarga untuk membuat simpanan untuk kegunaan masa hadapan dan kecemasan. Setiap teknik mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Pilihlah teknik yang sesuai dengan kemampuan dan keselesaan kedudukan kewangan anda.


1. Teknik Pemotongan Automatik (auto-deduction)

Teknik ini melibatkan arahan pemotongan automatik sebahagian daripada wang yang diterima (pendapatan) untuk tujuan simpanan, atau dalam bahasa yang mudah, potongan atau tolakan sejurus selepas gaji diterima. Ini bermakna pada tarikh gaji diterima setiap bulan, sejumlah amaun akan dipotong untuk tujuan simpanan; teknik ini juga dikenali sebagai teknik tanpa sedar. Teknik ini menyarankan anda untuk mempunyai dua akaun; akaun pertama untuk menerima gaji atau pendapatan dan akaun kedua untuk tujuan simpanan. Sebagai contoh, anda membuat potongan dalam amaun yang sama setiap bulan untuk simpanan di Tabung Haji atau akaun simpanan yang lain. Anda mempunyai pilihan iaitu pemindahan duit secara dalam talian atau arahan pemotongan automatik kepada bank. Ada sesetengah majikan menyediakan kemudahan potongan gaji untuk simpanan di akaun Tabung Haji dengan hanya mengisi borang buat pertama kali; potongan akan dibuat terus daripada akaun gaji mereka ke akaun Tabung Haji.


2. Teknik Paksa Rela

Teknik ini biasanya digunakan oleh mereka yang sukar untuk menyimpan atau tidak berdisiplin dalam menyimpan. Teknik ini memerlukan seseorang membuat pinjaman atau pembiayaan peribadi dengan bank. Kebanyakan teknik ini digunakan oleh mereka yang membuat pinjaman atau pembiayaan ASB (loan ASB). Setiap bulan seseorang itu terpaksa memperuntukkan sebahagian daripada gaji yang diterima untuk dibayar kepada bank (biasanya amaun yang sama setiap bulan) bagi suatu jangka masa tertentu. Bayaran yang dibuat ini sebenarnya ialah simpanan mereka. Jadi tiada lagi alasan bahawa mereka tidak boleh menyimpan.


3. Teknik Duit Syiling

Teknik ini sesuai bagi mereka yang tidak suka menggunakan duit syiling untuk membuat pembayaran. Alasan yang biasa diberikan ialah duit syiling ini berat dan dompet mereka pula tidak mempunyai ruang untuk menyimpan duit syiling. Oleh kerana itu, duit syiling mereka berterabur di merata tempat baik di rumah mahupun pejabat. Teknik ini menyarankan anda untuk mengumpul dan mengasingkan duit syiling mengikut nilai iaitu satu sen, lima sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen. Anda mempunyai pilihan sama ada untuk mengumpulkan semua jenis duit syiling tersebut dalam satu tabung khas atau menyediakan lima tabung berbeza mengikut jenis duit syiling (tabung tersebut perlu dilabelkan). Setiap kali berbelanja dan ada lebihan, masukkan duit syiling tersebut ke dalam tabung yang berkenaan.


4. Teknik Sampul Surat

Teknik ini juga dikenali sebagai teknik bajet yang menyarankan anda untuk membuat peruntukan perbelanjaan bulanan berdasarkan sampul surat. Pertama, anda perlu mengetahui berapa peruntukan yang akan diagihkan untuk setiap item perbelanjaan, misalnya, perbelanjaan untuk makan minum (RM400), bayaran utiliti (RM200), bayaran pinjaman (RM1,000), simpanan (RM300) dan perbelanjaan keperluan anak (RM400). Seterusnya, pada setiap sampul surat itu, anda perlu meletakkan label item perbelanjaan tersebut. Sekiranya pada akhir bulan ada lebihan daripada mana-mana perbelanjaan, anda boleh salurkan lebihan tersebut kepada sampul surat yang berkenaan. Pelabelan sampul surat juga boleh dibuat mengikut warna sampul surat.


5. Teknik Duit Ganjil

Teknik ini menggalakkan seseorang untuk menyimpan wang kertas yang mempunyai nilai wang yang ganjil iaitu RM1.00 dan RM5.00. Setiap kali anda berbelanja dan mempunyai baki, pastikan wang kertas yang bernilai ganjil tersebut diasingkan dan dikumpulkan di dalam album atau sampul surat. Andai kata anda menyimpan RM1.00 sehari, dalam masa sebulan jumlah simpanan yang terkumpul adalah sebanyak RM30.00, dan setahun anda dapat menyimpan sebanyak RM365.00. Sekiranya dalam masa seminggu anda dapat mengasingkan RM5.00, maka sebulan jumlah yang terkumpul adalah sebanyak RM20.00, dan setahun anda dapat menyimpan sebanyak RM240.00.


6. Teknik Warna Duit (Wang Kertas)

Teknik ini menyarankan seseorang untuk membuat simpanan berdasarkan warna wang kertas. Anda boleh mengasingkan wang yang diterima atau membuat simpanan wang kertas berwarna biru (RM1), berwarna hijau (RM5), berwarna merah (RM10), berwarna oren (RM20), berwarna biru laut (RM50) dan berwarna ungu (RM100). Wang yang diterima bolehlah diasingkan mengikut warna tersebut dan sekiranya salah satu warna itu menjadi warna kegemaran anda maka ianya lebih memotivasikan anda untuk menyimpan.


Berapa banyak wang yang boleh disimpan bukanlah menjadi ukuran dan juga bukan alasan untuk tidak menyimpan. Simpanan boleh dimulakan dalam jumlah yang kecil, dan yang paling penting ialah disiplin dan konsistensi dalam menyimpan. Selamat menyimpan dan menabung demi kesejahteraan masa hadapan anda dan keluarga. #jomsimpan


Artikel ini ialah hasil tulisan dan pandangan daripada Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri, Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Jaringan Industri & Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia. Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan AKPK.