Rancangan Perbelanjaan (Bajet): Kelebihan, Panduan dan Teknik

Rancangan Perbelanjaan (Bajet): Kelebihan, Panduan dan Teknik


Kajian bertajuk “Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Sudut Permintaan” oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2018 menunjukkan bahawa lebih daripada dua pertiga (76%) rakyat Malaysia mempunyai bajet untuk berbelanja, namun dua daripada lima orang menyatakan bahawa mereka sukar mengikut apa yang telah dirancang. Berdasarkan penyelidikan penulis berkaitan dengan tingkah laku pengurusan kewangan dalam kalangan isi rumah di Malaysia, antara jawapan yang sering diberikan oleh responden apabila diajukan soalan berkaitan bajet ialah mereka tidak mengetahui bagaimana hendak menyediakan bajet; bajet ada disediakan tetapi jarang mengikut apa yang telah dirancang (tidak berdisiplin); tiada panduan khusus untuk menyediakan bajet; pendapatan yang diterima tidak mencukupi; semua perbelanjaan tidak perlu dicatat kerana sudah ada dalam minda, dan pelbagai alasan lagi.


Dari segi takrif, rancangan perbelanjaan atau bajet merujuk kepada cara bagaimana seseorang perlu mengimbangi wang yang ada (diterima) dengan wang yang dibelanjakan. Ia merupakan satu rancangan untuk menguruskan kewangan dengan cara terbaik bagi mencapai keperluan dan kemahuan peribadi. Membuat anggaran atau peruntukan perbelanjaan bagi memenuhi sesuatu keperluan untuk suatu jangka masa tertentu, misalnya sebulan atau setahun, juga ialah akitiviti rancangan perbelanjaan. Tujuan utama penyediaan bajet adalah untuk memastikan wang yang dibelanjakan tidak melebihi wang atau pendapatan yang diterima di samping mengajar seseorang agar dapat berjimat dan menjadi pengguna yang berhemat.


Ramai orang yang tidak memahami bahawa rancangan perbelanjaan bukanlah bertujuan untuk menyekat perbelanjaan tetapi sebenarnya menggalakkan kita untuk membuat peruntukan keperluan hidup mengikut keutamaan dan kepentingan. Dalam bahasa yang paling mudah, ia membantu kita untuk hidup mengikut kemampuan masing-masing yang subjektif sifatnya. Antara kelebihan menyediakan bajet (rancangan perbelanjaan) adalah membantu menentukan kedudukan kewangan isi rumah, mengukur kemajuan matlamat kewangan yang telah ditetapkan, mengawal dan memantau perbelanjaan isi rumah, memupuk tabiat mengurus wang dengan baik, menyediakan dana kecemasan, dan membekalkan maklumat yang boleh digunakan untuk penyediaan cukai pendapatan.



Panduan Penyediaan Rancangan Perbelanjaan (Bajet)


Seorang pakar kewangan peribadi dan penulis buku yang terkenal, iaitu Dave Ramsey, telah mencadangkan peratus perbelanjaan yang boleh diperuntukkan mengikut kategori item perbelanjaan sebagai panduan. Beliau menyarankan agar pendapatan yang diterima boleh diagihkan mengikut item dan cadangan peratusan seperti berikut: simpanan (10%), makanan (10-15%), utiliti (5-10%), perumahan (25%), pengangkutan (10%), kesihatan (5-10%), insurans (10-25%), rekreasi (5-10%), perbelanjaan peribadi (5-10%), pemberian (10%) dan lain-lain (5-10%).


Selain itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya telah melancarkan panduan perbelanjaan yang dinamakan “Belanjawanku”. Belanjawanku ialah panduan yang menunjukkan perbelanjaan minimum bulanan atas setiap kategori barangan dan perkhidmatan untuk pelbagai isi rumah di Malaysia. Belanjawanku boleh digunakan untuk merancang perbelanjaan peribadi dan keluarga bagi mencapai taraf hidup yang baik. Ia berdasarkan pola perbelanjaan sebenar barangan dan perkhidmatan oleh isi rumah di Lembah Klang. Berikut merupakan cadangan belanjawan mengikut kategori isi rumah yang telah dikenal pasti:


Bujang (pengguna kenderaan awam) = RM1,870

Bujang (pemilik kereta) = RM2,490

Berkahwin (tiada anak) = RM4,420

Berkahwin (1 anak) = RM5,730

Berkahwin (2 anak) = RM6,620

Pasangan warga emas = RM3,090



Teknik Penyediaan Bajet


Terdapat pelbagai kaedah atau teknik yang boleh digunakan oleh pengguna untuk menyediakan rancangan perbelanjaan (bajet). Di sini dibincangkan beberapa teknik yang boleh digunakan sebagai panduan asas untuk merangka rancangan perbelanjaan anda. Setiap teknik mempunyai keunikan tersendiri, dan pemilihan teknik yang sesuai adalah bergantung kepada kedudukan kewangan dan gaya hidup seseorang.


1. Peraturan 70:20:10

Peraturan ini menyarankan agar pendapatan dibahagikan kepada tiga komponen utama, iaitu perbelanjaan untuk keperluan hidup, simpanan dan hutang. Mengikut peraturan ini, sebanyak 70% pendapatan perlu diagihkan untuk keperluan perbelanjaan bagi meneruskan kelangsungan hidup, contohnya, makanan, perumahan, pengangkutan, pendidikan, penjagaan anak, kesihatan, dan sebagainya manakala 20% pendapatan pula diagihkan untuk tujuan simpanan dan pelaburan. Ada juga pakar yang mencadangkan bahawa agihan 20% ini masih boleh diperincikan kepada tiga aktiviti lagi, iaitu persaraan (10%), kecemasan (5%) dan impian (5%). Baki 10% lagi adalah untuk tujuan bayaran pinjaman, misalnya kenderaan, pendidikan dan kad kredit.


2. Peraturan 60:20:20

Dalam peraturan ini, pendapatan dibahagikan kepada tiga komponen, iaitu keperluan hidup, matlamat kewangan, dan perbelanjaan budi bicara (discretionary expenses). Sebanyak 60% pendapatan diagihkan untuk keperluan perbelanjaan seperti sewa/pinjaman perumahan, barang runcit (groceries), utiliti dan pengangkutan. Manakala sebanyak 20% lagi pendapatan boleh digunakan untuk keperluan matlamat kewangan, misalnya pengurangan pinjaman (hutang), simpanan kecemasan dan pelaburan. Agihan 20% lagi boleh digunakan untuk perbelanjaan budi bicara, contohnya, hiburan, percutian dan makan luar.


3. Peraturan 60:20:10:10

Peraturan ini mencadangkan agar 60% pendapatan diperuntukkan untuk keperluan perbelanjaan kehidupan seperti perumahan, makanan, pengangkutan dan insurans/takaful termasuk hiburan. Sebanyak 20% perlu diagihkan untuk keperluan simpanan dan 10% lagi adalah untuk tujuan pelaburan. Baki 10% lagi dicadangkan untuk tujuan derma, sedekah dan pemberian kepada golongan yang memerlukan.


4. Peraturan 60:20:10:10

Peraturan ini mencadangkan agar 60% pendapatan diperuntukkan untuk keperluan perbelanjaan kehidupan seperti makanan, perumahan, kenderaan, sara hidup, utiliti, pendidikan dan pakaian. Sebanyak 20% perlu diagihkan untuk keperluan simpanan dan pelaburan. Sebanyak 10% pula diperuntukkan untuk keperluan insurans/takaful bagi perlindungan diri dan keluarga manakala baki 10% lagi dicadangkan untuk perbelanjaan budi bicara seperti makan luar, hiburan dan rekreasi.


5. Peraturan 60:40

Peraturan ini mencadangkan agar 60% pendapatan diagihkan untuk tujuan perbelanjaan penting, iaitu perbelanjaan untuk memenuhi keperluan kehidupan seharian. Perbelanjaan ini termasuklah perbelanjaan ke atas item seperti makanan, perumahan, pengangkutan, utiliti, insurans/takaful dan internet. Baki sebanyak 40% pendapatan pula perlu diagihkan untuk simpanan persaraan (10%), simpanan jangka masa pendek (10%), simpanan jangka masa panjang (10%) dan hiburan (10%).


6. Peraturan 50:30:20

Dalam peraturan ini, individu dan keluarga disarankan untuk membahagikan pendapatan mereka kepada tiga komponen utama, iaitu perbelanjaan untuk keperluan, kehendak dan simpanan. Pengagihan sebanyak 50% daripada pendapatan dicadangkan untuk tujuan perbelanjaan keperluan seperti makanan, perumahan, utiliti, penjagaan kesihatan, pengangkutan, insurans/takaful dan sebagainya manakala sebanyak 30% pula adalah untuk perbelanjaan bagi memenuhi kehendak seperti hiburan, rekreasi dan makan luar, iaitu perbelanjaan yang bukanlah penting. Sebanyak 20% pula diagihkan bagi tujuan simpanan dan pelaburan.


7. Peraturan Satu Per Tiga (1/3)

Peraturan ini mencadangkan agar pendapatan dibahagikan kepada tiga komponen utama, iaitu perbelanjaan tetap, perbelanjaan berubah dan simpanan. Dalam peraturan ini, satu per tiga daripada pendapatan perlu diagihkan untuk item perbelanjaan tetap isi rumah seperti sewa/pinjaman perumahan, pemberian kepada ibu bapa dan persekolahan anak-anak. Satu per tiga lagi untuk perbelanjaan berubah seperti makanan, pakaian, pengangkutan, utiliti dan hiburan manakala satu per tiga lagi seharusnya diagihkan untuk tujuan simpanan. Ia boleh diperincikan lagi, iaitu satu per tiga untuk simpanan kecemasan, satu per tiga untuk tujuan pelaburan dan baki satu per tiga untuk keperluan perlidungan (insurans/takaful).


Kesimpulannya, setiap individu dan isi rumah perlu menyediakan rancangan perbelanjaan (bajet) mengikut keselesaan dan kemampuan kedudukan kewangan masing-masing. Bagi isi rumah yang sudah berkeluarga, mereka disarankan agar berbincang bersama pasangan dan anak-anak dalam menentukan peruntukan yang sesuai untuk perbelanjaan keluarga. Teknik yang dibincangkan di atas adalah sekadar panduan untuk setiap individu dan isi rumah yang pastinya sudah mempunyai kaedah atau teknik yang biasa diamalkan. Menurut Beniratio Finances, “No matter how financially stable you think you are; you still need a budget”.


Disediakan oleh:


Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri, pakar kewangan pengguna dan kini menjawat jawatan sebagai Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Jaringan Industri & Masyarakat) di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.