Selamat Datang Norma Baharu!

Selamat Datang Norma Baharu!


Semakin ramai antara kita yang sudah mula bekerja seperti biasa. Begitu juga dengan para peniaga. Masing-masing ibarat bayi yang merangkak seperti waktu mula-mula masuk bekerja dan berniaga dahulu. Ternyata suasana bekerja tidak lagi seperti dahulu. Begitu juga dengan restoran dan kedai makan yang seharusnya mengamalkan penjarakan sosial. Melepak di kedai mamak atau mana-mana restoran dengan kemudahan wifi bukan lagi sesuatu yang biasa kita nampak. Anak-anak muda berkumpul sambil bermain gitar dan menyanyi manakala mereka yang gemar beriadah secara berkumpulan semakin jarang kelihatan. Rata-rata mengikut SOP yang telah ditetapkan. Ternyata ramai yang patuh pada perintah kawalan pergerakan; hanya segelintir yang tidak mengendahkan perintah tersebut. Walau bagaimanapun, pasti sukar untuk kita menerima norma baharu ini bahkan norma  baharu ini mungkin akan mengubah kehidupan kita secara tidak langsung.

Bagi mereka yang bekerja dan mempunyai anak-anak yang bersekolah, pasti tidak lagi terkejar-kejar menguruskan anak-anak, sekurang-kurangnya tidak seperti sebelum ini. Kita masih lagi menantikan pengumuman tarikh pembukaan sekolah buat semua pelajar. Walaupun mereka masih belum ke sekolah, buat masa sekarang, anak-anak perlu juga diuruskan memandangkan kita sudah mula bekerja. Maka, bermulalah aturan baru. Ada yang perlu dihantar ke taska, rumah pengasuh atau tinggal sementara di rumah datuk dan nenek. Ada yang mungkin juga ditinggalkan di rumah bersama adik beradik yang lain. Inilah norma baharu.

Suasana bekerja juga berbeza. Sesetengah syarikat terpaksa membenarkan sebahagian kakitangan sahaja yang masuk bekerja manakala bakinya WFH (work from home) atau bekerja dari rumah. Ada juga yang mengamalkan sistem rotation atau shift dan ada juga yang mengehadkan jumlah pekerja pada satu-satu masa. Ada kemungkinan kita tidak bertemu dengan rakan sekerja untuk tempoh tertentu kerana aturan kerja sebegini. Inilah norma baharu!

Warga pendidik dan juga mereka yang bekerja berlatarbelakangkan latihan dan pendidikan pasti terkesan juga dengan perubahan ini. Kebanyakkan program yang dijalankan sebelum ini lebih kepada FAL (facilitator assisted learning), iaitu program secara bersemuka dengan jurulatih dan dibantu oleh fasilitator. Akan tetapi, hari ini, kita masih tidak dibenarkan untuk menganjurkan apa sahaja jenis latihan, seminar, bengkel atau yang seumpamanya di mana-mana pusat latihan, hotel dan resort. Sekarang semua telah beralih kepada platform digital sepenuhnya. Pembelajaran dalam talian sememangnya telah lama bertapak namun penggunaannya tidaklah begitu ketara seperti hari ini. Kini platform ini diguna pakai dengan aktifnya memandangkan ia merupakan medium pengajaran yang efektif serta bersifat interaktif bagi menggantikan kelas normal sebelum ini. Webinar turut melonjak naik penggunaannya melalui aplikasi seperti Webex, Google Meet, Microsoft Team dan banyak lagi. Mungkin ada antara kita yang tidak pernah menggunakannya, namun kini semakin mahir. Inilah norma baharu!


Media sosial pula yang sebelum ini dilihat sebagai platform untuk tujuan entertainment dan posting semata-mata kini diguna pakai oleh kebanyakkan individu dan organisasi bagi tujuan latihan dan pembelajaran. Penggunaan FB dan IG Live bukan lagi merupakan platform bagi mereka yang bergelar artis atau insta famous sahaja tetapi ia dilihat sebagai satu platform untuk menyampaikan maklumat dan pembelajaran  manakala bagi sesetengah individu, ia merupakan platform bagi memastikan kerjaya mereka kekal relevan walaupun tidak ke pejabat. Jika sebelum ini ada yang tidak pernah atau jarang sekali aktif di media sosial, pandemik ini memaksa mereka untuk akur dengan kepentingan media digital ini.

Bagi mereka yang berniaga di gerai makan atau restoran mungkin boleh menarik nafas lega kerana dibenarkan beroperasi. Namun, jarak sosial yang disarankan menyebabkan had pelanggan terpaksa ditetapkan pada satu-satu masa. Hari ini kita dapat melihat hanya dua kerusi dibenarkan pada setiap meja dengan pelbagai tanda berwarna bagi mengingatkan tentang penjarakan sosial. Sama ada gerai kecil, sederhana atau besar, waima gerai kampung sekalipun, inilah aturan baharu dalam perniagaan makanan. Mula-mula duhulu, ia terasa agak pelik dan kekok malah ada yang marah-marah kerana tidak dibenarkan dine-in tapi kini ia sudah menjadi perkara biasa; bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Inilah norma baharu!

Banyak lagi norma baharu yang harus kita amalkan sama ada dalam kerjaya mahupun kehidupan seharian. Antara yang ketara ialah kebersihan diri, dan apa yang menarik ialah amalan penjagaan diri umat Islam hari ini diangkat sebagai yang terbaik.

Majalah Newsweek yang popular di Amerika Syarikat telah menerbitkan sebuah artikel pada 17 Mac 2020 yang bertajuk “Can The Power of Prayer Alone Stop A Pandemic Like The Corona Virus? Even The Prophet Muhammad Thought Otherwise” yang dikarang oleh Profesor Craig Considine yang beragama Kristian. Dalam artikel tersebut, beliau telah memuji Nabi Muhammad SAW yang telah mengamalkan kebersihan yang baik dan kuarantin atau pengasingan dalam menghadapi wabak.

Teringat saya akan amalan abah yang mandi setiap kali masuk waktu solat. Ini bermakna abah mandi lima kali sehari bermula seawal 5.30 pagi!

Hari ini kita harus biasakan yang betul dan betulkan yang biasa untuk membiasakan diri dengan norma baharu. Bukan hanya di Malaysia, malah banyak negara melakukan perkara yang sama. Pandemik ini telah mencipta sesuatu yang tidak pernah kita jangka. Kita harus patuh pada arahan dan elakkan melanggar larangan bagi memulihkan kembali keadaan negara—kerana untuk menang, kita harus akur. Jangan kita mensia-siakan segala pengorbanan mereka di barisan hadapan dengan sikap mementingkan diri sendiri. Untuk menang, kita harus bersatu dan marilah kita bersama-sama melakukannya.


#normabaharu

#kitaakanmenang