Kita Perlu Berubah - Aku Boleh!

Rakyat Malaysia kini berada dalam fasa pemulihan (PKPP – Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) mulai 10 Jun sehingga 31 Ogos seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin.

Antara isu penting waktu PKPP ini ialah adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi situasi selepas berakhirnya moratorium. Cukupkah wang untuk menampung kehidupan dengan keadaan ekonomi keluarga yang tergugat? Tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku Oktober nanti, namun kita harus siap siaga untuk menghadapinya. Jangan biarkan ketidaksediaan kewangan kita berulang lagi seperti awal-awal kemunculan COVID-19 dahulu sehingga mencetuskan panik!

Masuk bulan Julai ini, kita masih ada tiga (3) bulan untuk menikmati lebihan bulanan hasil daripada penangguhan pembayaran balik hutang. Namun, ke mana lebihan ini berakhir—tabungan, pembayaran balik hutang atau sebagai modal mahu pun pusingan modal untuk berniaga kecil-kecilan? Apa pun tindakan kita, Oktober nanti semua pinjaman haruslah dibayar seperti biasa—ansuran kereta, rumah dan pinjaman peribadi.

Perkara paling penting sebelum mengatur apa sahaja langkah adalah bersedia dari segi mental dan kekal positif. Ia mungkin sukar bagi sesetengah daripada kita tetapi mencuba itu lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Pokok pangkalnya adalah bertenang kerana ia kunci kepada semua tindakan yang bijak. Bila tenang, minda akan bergerak lebih efektif dalam mengatur langkah.

Kenapa kita perlu mempunyai mental dan emosi yang kuat, tenang dan positif? Percaya atau tidak, kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran dalam keadaan kita cuba memperbaiki kehidupan. Pasca moratorium nanti dilihat sebagai cabaran kewangan bukan sahaja kepada kita sebagai individu peminjam tetapi kepada seluruh institusi dan agensi yang terlibat dalam pemberian moratorium.

Salah satu syarikat perbankan negara menjangkakan kesan penangguhan pembayaran balik pinjaman yang membabitkan nilai sekitar RM1 bilion hanya akan dapat dilihat pada suku kedua tahun ini. Meskipun tidak menjejaskan keuntungan kumpulan perbankan terbesar Malaysia itu, namun ia dijangka memberi kesan kepada aliran tunainya. https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/06/704471/maybank-tidak-bercadang-lanjut-tempoh-moratorium-pinjaman

Kesan pengambilan moratorium kepada individu pula dapat dilihat dalam masa terdekat, malah kewangan seseorang dijangkakan akan mengambil masa untuk kembali pulih. Janganlah kita terlalu selesa dengan kemudahan moratorium ini sehingga kita berubah daripada seorang peminjam yang teratur bayarannya (good paymaster), kepada seorang peminjam yang ingkar manakala CCRIS (laporan kredit Bank Negara Malaysia) pula yang selama ini dijaga menjadi tidak ‘cantik’.

Pasca moratorium, aturan kewangan kita akan kembali seperti sebelumnya, iaitu pembayaran balik pinjaman sebagai perbelanjaan tetap akan berjalan seperti biasa. Contohnya, ansuran pinjaman rumah melebihi seribu ringgit sebulan, ansuran kereta lapan ratus sebulan dan potongan pinjaman peribadi sebanyak lima ratus sebulan. Kad kredit pula selalunya dibayar antara empat ratus hingga enam ratus ringgit. Semua ini ialah tambahan yang signifikan kepada perbelanjaan tetap yang lain seperti belanja dapur, taska anak dan bil utiliti. Semua ini akan bermula Oktober nanti dan kita pasti akan mula berkira-kira. Oleh itu, berkira-kiralah mulai sekarang agar kita tidak terdesak.

Selain untuk mengawal diri, kekuatan mental juga perlu untuk memastikan pasangan kita berkongsi matlamat dan rancangan kewangan dengan kita. Cabaran daripada pengaruh ahli keluarga sendiri perlu ditangani dan tidak mustahil kita akan mengalah demi memuaskan hati semua pihak. Namun INGATLAH, ramai yang datang dekat bila kita senang, tetapi bila kita susah, ahli keluarga sendiri turut lari jauh. Kerana itu, kita perlu berubah dan yakin akan kemampuan kita. Lakukanlah apa yang betul demi kesejahteraan kewangan anda.

Kekuatan mental juga perlu untuk mencari kekuatan diri dan menguatkan emosi bila menangani cabaran. Mental dan emosi ialah dua (2) elemen yang berkait rapat. Perunding Psikiatri Sunway Medical Centre Velocity, Dr Lim Wai Jenn, berkata bahawa setiap perubahan yang berlaku dalam kehidupan boleh memberi tekanan hingga menyebabkan individu mengalami kebimbangan dan kemurungan. Inilah keadaan yang dilalui oleh sesetengah individu ketika pelaksanaan empat fasa PKP yang lalu. Kita turut menjangkakan perkara yang sama berlaku sebaik sahaja moratorium ini berakhir kerana kehilangan pekerjaan di negara ini dijangka akan meningkat daripada 50 peratus kepada 200 peratus sepanjang tahun ini berikutan penutupan banyak perniagaan dan syarikat akibat pandemik Covid-19. https://www.hmetro.com.my/utama/2020/06/586119/trend-hilang-kerja-dijangka-naik-200

Sebagai tambahan, laporan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati individu kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42 peratus bagi suku pertama tahun ini kesan daripada Covid-19.

Oleh itu, suka atau tidak, kita harus menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan membuat pengubahsuaian. Sekaranglah masa yang sangat sesuai untuk menguji potensi diri dalam merangka dan menjalankan pelan tindakan bagi menghadapi cabaran mendatang pasca moratorium. Ini harus dimulakan dengan membangkitkan Kekuatan Mental dan Emosi. Ayuh kita mulakan!