Mati Hidup Semula

Mati Hidup Semula

Julie menguak pintu bilik tidur anak-anaknya. Pilu dan sayu hatinya tatkala melihat wajah anak-anaknya yang sedang nyenyak tidur. Apalah yang mereka tahu akan kepayahan yang sedang dihadapinya. Sambil menutup kembali pintu bilik, Julie menangis tersedu-sedu. Tidak tahu ke mana lagi hendak dia pergi mengadu. Kering sudah air matanya mengenangkan nasib yang melanda. Tidak pernah terlintas di fikirannya kebahagiaan dan kegembiraan keluarganya direnggut sekelip mata. Bermacam-macam yang bermain di fikiran Julie. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu meneruskan kehidupan tanpa tempat bergantung. Suami dan ayah kepada anak-anaknya telah pergi meninggalkannya tanpa sebarang pesan. Romie sememangnya seorang suami dan ayah yang sangat bertanggungjawab. Julie sangat bertuah bersuamikan Romie yang bukan sahaja seorang yang penyayang tetapi sangat rajin dan juga pemurah. Walaupun tidak mewah, Romie akan cuba memenuhi kehendak anak-anaknya. Kehidupan mereka lima beranak sederhana tetapi penuh dengan kebahagiaan dan kasih sayang. Kematian Romie melumpuhkan semangat Julie. Dia tidak mahu hidup lagi malah pernah mencuba untuk membahayakan nyawanya sendiri, namun dia tidak mampu untuk melakukannya apabila mengenangkan nasib anak-anaknya.

Romie pergi dengan meninggalkan sebuah rumah. Walaupun ada tempat berteduh, Julie tidak mampu untuk menjelaskan bayaran bulanan memandangkan gajinya yang kecil sebagai pekerja kilang. Apa tidaknya; bukan sedikit belanja dapur, bil yang perlu dijelaskan, hal persekolahan anak-anak, sakit demam mereka sekeluarga dan perbelanjaan lain. Itu pun selepas Julie sehabis kudrat berusaha menambah pendapatan dengan bekerja lebih masa. Julie juga betul-betul berjimat dengan mengelakkan perbelanjaan untuk perkara yang tidak perlu, membekalkan makanan kepada anak-anaknya ke sekolah malah kadang-kadang menyediakan lauk telur sahaja untuk makan malam.

Belum pun sempat Julie membiasakan diri dengan kehidupan tanpa suami, Julie sekali lagi terduduk apabila menerima notis lelongan daripada pihak bank. Bukan Julie tidak mahu bayar tetapi pendapatannya yang ada hanya cukup untuk membayar sekadar yang mampu. Kalau Julie membayar ansuran sepenuhnya, tidak makanlah mereka anak beranak. Julie buntu. Di mana mereka hendak tinggal sekiranya rumah yang mereka diami dilelong? Julie malu hendak mengadu kepada ibu bapanya yang sudah tua. Mereka tidak pernah menyusahkannya. Adik beradik yang lain pasti mempunyai masalah mereka sendiri. Julie pula bukanlah jenis orang yang suka mengadu tentang keadaan dirinya. Sedang Julie tercari-cari jalan penyelesaian, kilang tempat Julie bekerja pula menghadapi masalah. Ibarat jatuh ditimpa tangga, Julie diberhentikan kerja. Dunia terasa gelap.

Akibat terlampau tertekan, Julie berkurung di dalam bilik. Anak sulungnya yang turut merasai keperitan Julie segera menghubungi kawan baik ibunya yang telah lama mengenali mereka sekeluarga. Azizah cuba memujuk Julie dengan kata-kata nasihat dan semangat serta turut mencadangkan agar Julie ke AKPK. Pada masa yang sama, Azizah berjanji akan turut membantu Julie mencari pekerjaan baharu. Terpancar sedikit keceriaan di wajah Julie. Sokongan dan dorongan Azizah berjaya membuka mata Julie bahawa ujian yang datang menjadikan kita manusia yang lebih kuat. Azizah turut mengingatkan Julie akan anak-anaknya yang masih memerlukannya. Hasil usaha Azizah, Julie berjaya mendapatkan pekerjaan baharu walaupun hanya sebagai seorang tukang cuci. Julie tidak kisah akan hal itu asalkan ada pendapatan. Anak sulungnya turut membantu meringankan beban Julie dengan menangguhkan dahulu pengajiannya.

Julie menarik nafas lega seolah-olah sebongkah batu besar baru sahaja dilepaskan dari atas bahunya! Setiap tutur kata kaunselor AKPK masih terngiang-ngiang di telinganya. Julie tidak akan lupa jasa baik Azizah yang membawanya ke AKPK. Pinjaman rumah Julie berjaya distrukturkan semula dan ansuran bulanan dikurangkan. Julie mampu membayar ansuran baharu itu dengan pendapatan baharunya walaupun tidak seberapa jika dibandingkan dengan pendapatannya dahulu sebagai pekerja kilang. Pendapatan anaknya juga turut membantu.

Bagi Julie, kaunselor yang bertugas telah membantunya lebih daripada apa yang dia harapkan. Mereka bukan sahaja bertindak sebagai kaunselor kredit tetapi juga sebagai ahli terapi minda. Kata-kata semangat dan motivasi untuk meneruskan perjuangan dalam “memerangi” hutang ialah satu usaha murni kerana bukan semua orang mampu melakukannya. Julie sangat bersyukur kerana masih ada agensi yang membantu orang sepertinya tanpa sebarang bayaran! AKPK merupakan sahabat kewangan baginya di saat dia hilang tempat bergantung. Julie berjanji pada dirinya bahawa bantuan ini tidak akan disia-siakan dan dia akan membayar ansuran bulanan dengan teratur dan tepat pada waktunya agar rumahnya tidak akan dilelong oleh pihak bank.
Sudahkah anda bersedia menghadapi pasca moratorium pada bulan September ini? Jika anda memerlukan khidmat nasihat kewangan, bertindak sekarang. Hubungi AKPK di talian 03-2616 7766 atau layari sesawang AKPK di www.akpk.org.my. 
AKPK untuk esok yang lebih baik.