URUS bersama Azraei Muhamad | Menghadapi Pandemik Seterusnya

Pasca COVID-19: Menghadapi Pandemik Seterusnya Oleh Azraei Muhamad

MEMPERSIAPKAN HARI ESOK, HARI INI

Pandemik COVID-19 sesungguhnya telah mengubah landskap dunia secara menyeluruh. Cara kita melihat kehidupan mungkin berbeza berbanding sebelum ini. Semangat kemerdekaan negara yang ke-65 pada tahun 2021 ini juga dirasakan berbeza, terutama bagi generasi muda yang lahir selepas 1957. Erti kebebasan dapat dihayati dengan lebih baik dan mendalam akibat kekangan yang dihadapi seluruh dunia ekoran wabak ini.

Kenapa penting untuk kita menghayati jiwa bebas dan merdeka ini terlebih dahulu? Kerana pandemik dan krisis yang akan kita hadapi seterusnya memerlukan kita untuk faham erti pengorbanan dari sekarang supaya kita dapat mempersiapkan diri sebaiknya.

Persoalannya, bila agaknya pandemik COVID-19 ini akan berakhir? Hakikatnya, kita mungkin perlu belajar untuk menerima hakikat bahawa kita perlu hidup bersama dengannya. Menurut Yonatan Grad, Profesor Madya Imunologi Dan Penyakit Berjangkit Melvin J. and Geraldine L. Glimcher dari Harvard T.H. Chan School of Public Health, maksud pandemik ini akan memasuki fasa endemik bererti virus ini tidak akan lenyap, namun jangkitan dan impaknya akan berkurangan berikutan pertahanan imunisasi badan manusia bertambah baik hasil vaksinasi. Ini juga seiring dengan saranan pakar-pakar kesihatan seluruh dunia yang meletak sasaran fasa pandemik COVID-19 akan berakhir dengan endemik yang lebih terkawal.

Seperti kebanyakan negara maju lain yang bersiap sedia untuk memasuk fasa baharu ini, Malaysia meletakkan sasaran penghujung Oktober atau awal November 2021 untuk kita juga beralih ke fasa ini. Ini bermaksud norma baharu dan SOP akan menjadi sebahagian daripada hidup kita, dan begitu jugalah norma dan SOP baharu yang perlu kita terapkan dalam pengurusan kewangan. Persoalannya, bilakah pula krisis seterusnya akan berlaku?

KITARAN YUSUF / YUSUF CYCLE

Krisis ekonomi bukanlah perkara yang asing dalam tamadun manusia. Kitab Al-Quran ada mencatatkan sejarah kisah tafsiran mimpi Raja Mesir oleh Baginda Nasi Yusuf a.s. pada zaman Mesir Purba berkaitan kitaran ekonomi negara tersebut. Mesir melalui keadaan pertanian yang subur selama tujuh tahun, kemudian disusuli dengan tujuh tahun kemarau di mana tanaman tadi tidak dapat mengeluarkan hasil yang baik. Hanya selepas itu, datangnya tahun di mana turunnya rahmat hujan, dan mereka dapat beroleh hasil daripadanya.

Ini menunjukkan satu situasi penting dalam perjalanan ekonomi negara Mesir pada ketika itu. Hasil daripada tafsiran mimpi tadi mengajar kita untuk menguruskan sumber kita dengan baik. Pada musim subur atau keadaan ekonomi yang baik, kita disarankan untuk bekerja bersungguh-sungguh dan menyimpan hasil kita (tanaman, gaji, keuntungan perniagaan) kecuali sedikit untuk dimakan, dibelanjakan dan digunakan. Apabila musim kemarau tiba, hasil yang disimpan ini tadi dapat digunakan untuk mengharungi zaman kemelesetan yang tiba. Keadaan akan kembali pulih untuk kita bangkit semula selepas berakhirnya kemarau tadi.

Teori ini bukanlah asing dalam bidang ekonomi. Simon Sim di dalam bukunya, The Joseph Cycle serta kitab-kitab agama lain juga ada menceritakan garis masa tujuh tahun yang hampir sama. Maka, kitaran ekonomi tujuh tahun ini boleh dijadikan panduan sebagai permulaan untuk kita membuat persiapan.

KITARAN EKONOMI

Apa itu kitaran ekonomi? Kitaran ekonomi boleh kita terjemahkan sebagai turun naik semulajadi ekonomi di antara tempoh pengembangan (pertumbuhan) dan penguncupan (kemelesetan). Faktor-faktor seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pengangguran, perbelanjaan, dan indeks harga pengguna boleh menentukan peringkat semasa kitaran ekonomi. Dari sudut individu pula, kitaran ekonomi boleh dibandingkan sebagai kitaran kewangan dan ekonomi peribadi kita.

Beberapa siri krisis ekonomi yang pernah melanda negara sebelum ini menunjukkan corak sekitar 7 hingga 10 tahun bagi setiap kitaran. Malaysia mengalami krisis ekonomi pada tahun 1973 akibat kenaikan harga minyak, dikenali sebagai kejutan minyak pertama akibat perang. Kejutan minyak kedua pula berlaku pada tahun 1978 kesan daripada revolusi Iran. Pada tahun 1985, ekonomi Malaysia menguncup akibat kejatuhan harga komoditi kesan daripada kelembapan ekonomi dunia. Tahun 1997 menyaksikan krisis kewangan Asia yang bermula di Thailand merebak ke negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia, Jepun dan Republik Korea. Akhir sekali, berlaku krisis gadai janji subprima pada tahun 2008 di Amerika Syarikat yang memberi kesan global. Kini, 12 tahun kemudian, wabak akibat virus COVID-19 pula melanda dunia yang mengakibatkan ekonomi terpalit sama.

CAHAYA DI HUJUNG TEROWONG

Apabila berada di dasar paling bawah, satu-satunya jalan yang ada adalah untuk naik kembali ke atas. Dan itulah apa yang akan berlaku pasca pandemik. Seperti tahun hujan rahmat yang menanti rakyat Mesir Purba selepas kemarau, jalan keluar kita selepas COVID-19 ini adalah untuk kembali pulih semula, baik dari segi ekonomi, mahupun kewangan peribadi.

Sebaik sahaja sesebuah pandemik, wabak, atau perang tamat, pemulihan ekonomi akan berlaku. Lambakan projek, sama ada untuk pembaikan, pemulihan, atau pembukaan sektor baru menanti. Ini bermaksud, suntikan modal akan berlaku, aliran wang tunai kembali rancak, dan peluang pekerjaan akan dibuka semula untuk memenuhi permintaan ini tadi.

Dari sudut faktor luaran, pemulihan ekonomi ini akan membuka peluang kepada kita untuk menstruktur semula kerugian kewangan yang kita alami sepanjang pandemik melanda. Sekarang, bergantung kepada faktor dalaman pula—diri kita sendiri—sama ada kita hendak mengambil peluang ini atau tidak.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna. Mungkin sebelum semua ini berlaku, kita mengambil enteng atau tidak mengendahkan hal-hal berkaitan pengurusan kewangan dengan baik. Untuk kita menyesal sekarang, sudah tiada gunanya lagi. Kita boleh ambil iktibar daripada COVID-19 ini sebagai pengajaran untuk kita menambah baik pengurusan dan keupayaan diri.
Memetik kata-kata Nelson Mandela, “I either win, / I learn. I never lose.” Inilah masanya untuk kita ambil tindakan demi masa depan yang lebih gemilang! Tapi, bagaimana?

Insya-Allah, dalam siri URUS Bersama Azraei Muhamad, kita akan mulakan langkah demi langkah, cara untuk kita menambah baik pengurusan kewangan kita untuk kehidupan yang lebih baik. Malah, sekalipun pandemik atau krisis ekonomi berlaku lagi nanti, sekurang-kurangnya kita sudah bersedia dari sekarang.

Nantikan penulisan akan datang dengan langkah pertama – Tabung Kecemasan. Ayuh kita mula!



Azraei Muhamad ialah penulis “Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima” dan sekuelnya, “Enam Angka Menjelang Disember”. Beliau menulis pengalaman kewangan untuk memberi inspirasi kepada anak muda dan sebagai rujukan generasi seterusnya. Beliau juga berkongsi tip dan video kewangan di Instagram / Twitter @azraeimuhamad.

Tulisan pengalaman menguruskan kewangan ketika pandemik ini diharap dapat menjadi panduan untuk generasi akan datang untuk mendepani cabaran mereka nanti.


Penulisan dalam artikel adalah pendapat penulis dan tidak mencerminkan pandangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)