URUS bersama Azraei Muhamad | Tabung Kecemasan

Tabung Kecemasan Oleh Azraei Muhamad


PENGURUSAN KRISIS


Tabung kecemasan bukanlah terma baharu dalam kehidupan. Pepatah Melayu juga sering mengingatkan kita untuk “sediakan payung sebelum hujan.” Ini sebenarnya adalah sebahagian daripada pengurusan krisis.


Sebelum sesuatu yang tidak diingini menimpa, kita disarankan untuk mempersiapkan diri sekiranya perlu menghadapi hari tersebut. Dalam pengurusan risiko atau krisis, konsep “Hope for the best, but prepare for the worst” diamalkan untuk merancang persiapan menghadapi segala senario yang mungkin berlaku. Kita berharap yang terbaik tiba, tetapi harus bersedia untuk sebarang kemungkinan yang sebaliknya.


Ketika pandemik COVID-19 ini pula, krisis kesihatan yang memberi kesan kepada ekonomi memaksa kita untuk menggunakan tabung kecemasan yang terbina selama ini. Namun, ramai juga yang belum sempat mempersiapkan diri dengan tabung kecemasan dan akhirnya menanggung akibatnya apabila virus ini melanda diri dan poket kita. Ini menjadi pengajaran terbaik untuk kita tentang kepentingan mempunyai tabung kecemasan. Buat mereka yang telah menggunakannya untuk meneruskan kelangsungan hidup, pasca pandemik adalah masa yang terbaik untuk kita bina semula tabung kecemasan.


Kewangan berdisiplin dan berhemat yang bermula dari sekarang akan membantu kita mengharungi hari-hari mendatang, tanpa mengira apa jua cuaca yang datang melanda.


3, 6, ATAU 9 BULAN GAJI?


Walaupun situasi kewangan setiap orang berbeza, pakar-pakar mencadangkan untuk menyediakan beberapa bulan perbelanjaan bulanan seperti bayaran sewa, bil, makanan, dan keperluan asas sebagai persiapan tabung kecemasan. Salah satu peraturan umum (general rule of thumb) adalah untuk mempunyai sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan secara tunai di dalam tabung kecemasan kita.


Sebagai contoh, sekiranya perbelanjaan makan, sewa, bil, dan keperluan asas anda adalah RM2,000 setiap bulan, maka kita perlu menyimpan sekitar RM6,000 (tiga bulan) hingga RM12,000 (enam bulan) di dalam tabung kecemasan. Ini bertujuan untuk kita meneruskan kelangsungan hidup sekurang-kurangnya sehingga enam bulan sekiranya melalui masa sukar.


Fasa seterusnya adalah untuk menaikkan tahap simpanan kecemasan menggunakan kayu ukur gaji bulanan berbanding perbelanjaan bulanan. Apabila sudah mencapai simpanan kecemasan sehingga enam bulan perbelanjaan bulanan, cuba naikkannya menjadi enam bulan gaji pula. Sekiranya kita mempunyai gaji sekitar RM2,500 sebulan, cuba capai fasa seterusnya dalam tabung kecemasan dengan mencapai simpanan sekitar RM15,000 (enam bulan gaji).


Nampak banyak? Ya, memang banyak. Namun pandemik COVID-19 telah menunjukkan bahawa senario yang melanda mungkin berkekalan lama. Seperti yang dibincangkan dalam artikel awal dahulu, pandemik yang kini sudah 18 bulan lamanya mengakibatkan ramai hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.


Malah, ada juga pendapat yang mengatakan kita perlu sediakan simpanan kecemasan sehingga 12 BULAN atau SATU TAHUN GAJI! Ini mengambil kira faktor realiti yang menimpa kita ketika pandemik ini melanda. Memang banyak, dan lebih sukar untuk dilakukan.


Kaedah yang lebih praktikal pula adalah untuk kita meminimakan perbelanjaan kita bermula dari sekarang. Lagi rendah perbelanjaan bulanan kita, lebih panjang tempoh yang boleh digunakan untuk kita membelanjakan wang simpanan kita bagi tujuan kelangsungan hidup. Pandemik ini mengajar kita untuk mendefinisikan semula keutamaan dalam hidup kita dengan mendahulukan mana yang perlu dan mengemudiankan mana yang tidak perlu. Telefon sedia ada masih elok? Tak perlu dapatkan model yang baharu keluar. Guna sahaja dahulu apa yang ada.


Mengurangkan komitmen perbelanjaan bulanan adalah satu kaedah yang lebih lestari dan berhemat. Persoalannya, bagaimana kita nak bermula menyimpan untuk tabung kecemasan?


RM1,000 – EMPAT ANGKA PERTAMA


Kaji selidik yang dilakukan Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati 75 peratus daripada penduduk negara ini tidak mempunyai wang simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM1,000. Ya, hampir 3 daripada 4 akan mengalami kesulitan mendapatkan wang! Kajian yang dilakukan oleh AKPK terhadap tingkah laku kewangan pekerja dewasa turut mendapati dua daripada 10 rakyat Malaysia sukar untuk menyimpan dalam tempoh enam bulan.


Simpanan RM1,000 ini adalah bersamaan dengan satu bulan gaji minimum. Tidak dapat dinafikan ada beberapa faktor di luar kawalan seperti kadar gaji yang rendah serta kos sara hidup yang tinggi mungkin menghalang sesetengah daripada kita untuk mempunyai simpanan kecemasan ini. Namun, kita juga tidak boleh menafikan bahawa ada dalam kalangan kita yang tidak mempunyai simpanan wang kecemasan ini akibat kurang kesedaran atau perancangan rapi dalam menguruskan kewangan.


Perancangan yang terbaik adalah untuk menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan kita untuk tabung kecemasan. Dengan simpanan RM250 setiap bulanan (10% daripada RM2,500), kita akan mencapai simpanan satu bulan gaji dalam tempoh 10 bulan, dan mencapai matlamat enam bulan gaji dalam tempoh 60 bulan atau lima tahun. Mungkin ada yang merasakan ia satu tempoh yang lama, tetapi ia adalah jauh lebih baik daripada tidak mulakannya langsung.


Tidak mampu untuk menyimpan 10% daripada gaji? Jangan risau. Boleh mula dengan sekurang-kurangnya menyimpan RM100 dahulu setiap bulan. Walaupun kelihatan jauh untuk mencapai sasaran enam bulan simpanan, namun sekurang-kurangnya dalam masa 10 bulan atau kurang daripada satu tahun, kita akan dapat membina tabung kecemasan RM1,000 kita yang pertama.


Dan sekiranya RM100 juga masih dirasakan satu komitmen yang besar untuk kita mulakan, berusaha untuk mendisiplinkan diri dengan menyimpan serendah RM1 sahaja setiap hari. Ya, RM1 sahaja. Jumlahnya kelihatan agak kecil, namun menyimpan RM1 secara konsisten selama 100 hari atau tiga bulan akan membantu kita untuk mempunyai simpanan RM100 yang pertama. Dan menyimpan RM1 setiap hari selama 1,000 hari atau tiga tahun, ia dapat membantu untuk kita mencapai RM1,000 kita yang pertama. Alah bisa, tegal biasa. Sehari seringgit pun, lama lama boleh jadi bukit.


Yang penting, kita mula!


Sekarang, sudah nampak kepentingan untuk ada tabung kecemasan? Bagus! Insya-Allah, dalam siri URUS Bersama Azraei Muhamad yang akan datang, kita lihat secara lebih terperinci bagaimana kita nak mulakannya dengan mengurus aliran tunai kita. Jumpa lagi!


Azraei Muhamad ialah penulis “Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima” dan sekuelnya, “Enam Angka Menjelang Disember”. Beliau menulis pengalaman kewangan untuk memberi inspirasi kepada anak muda dan sebagai rujukan generasi seterusnya. Beliau juga berkongsi tip dan video kewangan di Instagram / Twitter @azraeimuhamad.


Tulisan pengalaman menguruskan kewangan ketika pandemik ini diharap dapat menjadi panduan untuk generasi akan datang untuk mendepani cabaran mereka nanti. 


Penulisan dalam artikel adalah pendapat penulis dan tidak mencerminkan pandangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)