URUS bersama Azraei Muhamad | Pengurusan Aliran Tunai

Pengurusan Aliran Tunai Oleh Azraei Muhamad


KESIHATAN KEWANGAN


Dalam Artikel 4 yang lepas, kita sudah bincangkan peranan tabung kecemasan dalam pengurusan kewangan kita dan bagaimana membinanya. Ia sememangnya satu topik yang hangat diperkatakan sepanjang pandemik ini, lebih-lebih lagi apabila ramai yang terkesan dan terpaksa bergantung kepada tabung kecemasan mereka untuk kelangsungan hidup.


Namun, komponen pertama dan utama dalam pengurusan kewangan peribadi kita sebenarnya bermula dengan perkara paling asas—menguruskan aliran tunai. Pengurusan aliran tunai peribadi adalah satu konsep yang mudah sebenarnya untuk difahami, tetapi tidak mudah untuk kita amalkan dalam kehidupan seharian jika tiada pengertian jelas tentangnya. Ia memerlukan kefahaman terperinci tentang duit masuk dan duit keluar, serta menguruskan lebihan (surplus) atau kekurangan (deficit) tunai yang berlaku.


Aliran tunai terdiri daripada dua komponen penting, iaitu pendapatan (income) dan perbelanjaan (expenses). Kita perlu melihat kepada berapa banyak duit yang masuk melalui pendapatan dan berapa banyak pula duit yang keluar melalui perbelanjaan. Pendapatan boleh dikira daripada gaji bulanan, upah, komisyen, dividen, bonus, keuntungan perniagaan, dan sumber pendapatan lain yang menambah aliran masuk ke dalam tunai kita. Perbelanjaan pula terbahagi kepada dua; perbelanjaan tetap adalah seperti sewa rumah, bil telefon, bayaran bulanan kereta, dan aliran tunai lain yang keluar secara tetap jumlahnya setiap bulan, manakala perbelanjaan tidak tetap adalah seperti makanan, hiburan, petrol, dan sebagainya.


Perkara pertama yang perlu kita dahulukan untuk mula merancang kewangan adalah mengenal pasti di mana kita berada sekarang. Persoalannya, sejauh mana kita tahu tahap sebenar kedudukan kewangan kita? Ada antara kita sekadar mencongak dan mengagak-agak bahawa tahap kewangan kita baik dan tiada masalah kerana tidak pernah mencatat atau menyusun sebaiknya. Namun, setiap hujung bulan kita mula tertanya-tanya ke mana pergi semua duit dan kenapa tidak pernah mencukupi.

Pergi ke belukar memasang pukat,

Pulangnya lewat di hujung petang,

Jikalau sentiasa berjimat cermat,

Rezeki secupak terasa segantang.


Tanpa memahami asas ini, kita tidak akan mampu bergerak maju dalam perancangan kewangan kita. Dan itulah sebenarnya yang terjadi kepada sebahagian daripada kita bila sebaik sahaja menerima gaji, terus sahaja mahu melabur tanpa mengetahui cara untuk menguruskan aliran tunai dan belajar menyimpan terlebih dahulu. Mereka yang terus melabur selepas mendapat gaji ini akan terpaksa mengeluarkan semula pelaburan setiap kali perbelanjaan bulanan tidak mencukupi. Akibatnya, selepas berbulan lamanya melabur, asetnya tidak juga berkembang.


TAMBAH PENDAPATAN


Penyata aliran tunai biasanya dibuat berkala—sama ada secara bulanan atau tahunan. Pendapatan bulanan yang ditolak dengan perbelanjaan bulan tersebut akan digunakan untuk melihat berapa baki yang tinggal. Sekiranya pendapatan melebihi perbelanjaan, maka lebihan ini dikenali sebagai ‘surplus’. Apabila pendapatan sama dengan perbelanjaan, kita akan mencapai ‘breakeven’. RM1,000 gaji yang masuk, RM1,000 juga perbelanjaan bulanan. Cukup-cukup. Tidak lebih, tidak kurang. Pendapatan yang kurang daripada perbelanjaan pula akan mengakibatkan ‘deficit’ atau ketidakcukupan dalam aliran tunai kita.


Selepas kita mengenal pasti di mana tahap kita berada, sama ada surplus, breakeven, ataupun deficit, barulah kita boleh merangka tindakan yang perlu diambil. Sekiranya ada lebihan, sebaiknya kita gunakan untuk mula menabung dan melabur. Yang berada di tengah-tengah atau ‘breakeven’—tiada baki dalam aliran tunai—bolehlah mula berusaha untuk mewujudkan baki tersebut, manakala yang mengalami defisit, harus berhati-hati. Anda mungkin berada dalam bahaya.


Strategi pengurusan aliran tunai ini bergantung pada dua taktik, iaitu menambah pendapatan DAN mengurangkan perbelanjaan. Ada yang cuma memilih salah satu sahaja, namun dalam hampir semua situasi, kita boleh menambah baik kedudukan kewangan kita dengan menggunakan kedua-dua kaedah ini sekaligus. Ia ibarat bernafas; ada udara masuk dan ada udara keluar. Sama seperti menguruskan berat badan, mengawal kalori masuk dan kalori keluar ialah caranya untuk mencapai berat badan yang ideal. Begitu juga dengan pengurusan kewangan.


Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menambah pendapatan. Sebahagian orang bekerja separuh masa pada waktu lapang mereka, manakala yang lain berniaga secara kecil-kecilan. Insya-Allah satu artikel khusus untuk topik ini akan dikongsi nanti. Secara asasnya, kita kena faham bahawa menambah pendapatan ialah elemen penting dalam membantu menjadikan aliran masuk tunai kita lebih banyak dan memudahkan kita mencapai matlamat kewangan.


KURANGKAN PERBELANJAAN


Namun begitu, meningkatkan pendapatan sahaja tidak cukup dalam perjalanan kewangan kita. Dalam pepatah Melayu ada menyebut, “Besar periuk, besarlah keraknya”. Inilah yang terjadi dalam kalangan kita. Apabila pendapatan bertambah, ada yang mula tergoda untuk menambah perbelanjaan juga.


Mengawal perbelanjaan ialah perkara yang penting tetapi bukan mudah untuk dilakukan. Hal ini melibatkan nafsu dan keinginan. Sebab itu pertama sekali kita harus mengenal pasti antara kehendak dan keperluan. Kita perlu pandai membezakan antara kos sara hidup dan kos gaya hidup. Secawan kopi setiap pagi untuk memulakan hari adalah satu keperluan untuk sesetengah orang, tetapi secawan kopi berharga RM20 setiap pagi akan menelan belanja sehingga RM500 sebulan. RM500 inilah sebenarnya yang boleh digunakan untuk perbelanjaan keperluan dan simpanan.


Sebab itu, amatlah penting untuk kita tahu garis pemisah antara keperluan berbanding kehendak ini tadi. Jujur dengan diri, dan asingkan kedua-duanya. Di bawah saya akan kongsikan tip-tip untuk kita membelanjakan wang dengan cara yang lebih sistematik dan berhemat. Yang paling utama, jauhi pembaziran. Nabi Muhammad s.a.w. pernah meninggalkan pesan yang amat mendalam dan wajar untuk kita teliti dan amalkan dalam kehidupan seharian.

“Jimatlah air, walau dalam sungai yang mengalir.”

Ringkas, tetapi cukup padat.


TIP-TIP BERBELANJA BERHEMAT


Berikut dikongsikan beberapa tip untuk kita susun perbelanjaan dengan cara yang lebih sistematik dan praktikal:

  1. Catat setiap perbelanjaan
    Apabila kita menulis setiap perbelanjaan yang dilakukan, ia membantu kita untuk menjejak ke mana wang kita pergi. Lama kelamaan, kita akan mula belajar menginsafi perbelanjaan yang membazir.

  2. Tunggu tiga hari
    Sekiranya kita ada kehendak atau keinginan untuk membeli sesuatu yang di luar kebiasaan atau bukan keperluan, tunggu tiga hari. Kebiasaannya, kehendak atau nafsu kita tadi hanyalah mainan perasaan sahaja. Boleh jadi, kita terpengaruh dengan iklan yang kita lihat sehingga kita merasakan perlu untuk medapatkan barangan tersebut. Selepas tiga hari, kalau masih ada rasa keinginan tadi, maka belilah. Namun, pastikan ia masih di bawah kemampuan kita.

  3. Asingkan 10% pendapatan sebelum berbelanja
    Setiap kali dapat gaji, asingkan siap-siap 10% daripada pendapatan kita tadi untuk tujuan simpanan. Ini bermakna, kita hanya ada 90% sahaja baki untuk diurus dan dibelanjakan. Dengan cara ini, kita terpaksa mencari jalan untuk berbelanja setiap bulan dengan baki yang tinggal. Mungkin sukar pada awalnya, namun ingatlah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.


Sebaik sahaja kita berjaya untuk mencapai lebihan atau surplus dalam aliran tunai kita, barulah kita boleh ke langkah yang seterusnya, iaitu menyimpan dan menabung. Dalam siri URUS Bersama Azraei Muhamad yang akan datang, kita akan lihat secara lebih terperinci bagaimana kita boleh mula menguruskan simpanan. Jumpa lagi!


Azraei Muhamad ialah penulis “Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima” dan sekuelnya, “Enam Angka Menjelang Disember”. Beliau menulis pengalaman kewangan untuk memberi inspirasi kepada anak muda dan sebagai rujukan generasi seterusnya. Beliau juga berkongsi tip dan video kewangan di Instagram / Twitter @azraeimuhamad.


Tulisan pengalaman menguruskan kewangan ketika pandemik ini diharap dapat menjadi panduan untuk generasi akan datang untuk mendepani cabaran mereka nanti.


Penulisan dalam artikel adalah pendapat penulis dan tidak mencerminkan pandangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)